KAAB bin Ujrah menceritakan suatu kisah menarik daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hampiri mimbar! Lalu kami semua menurutinya, ketika Baginda melangkah ke tangga pertama, Baginda mengatakan: Amin. Apabila melangkah tangga kedua, Baginda mengatakan: Amin, begitulah apabila melangkah tangga ketiga. Lalu kami bertanyakan maksud perbuatannya itu, Baginda menjawab: Aku didatangi Jibrail mengatakan kepadaku: Jauhlah (rugilah) orang yang sempat dengan Ramadan tetapi tidak mendapat pengampunan. Aku menyahut dengan berkata: Amin. Di tangga kedua Jibrail mengatakan: Jauhlah orang yang apabila disebut namamu (Muhammad) dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu, aku pun menyahut Amin. Di tangga ketiga Jibrail mengatakan: Jauhlah orang yang sempat dengan kedua-dua orang tuanya yang sudah uzur atau salah seorang mereka, tetapi mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Aku pun mengatakan: Amin."
Huraian
Berapa ramaikah manusia hari ini yang bersyukur kerana diberi kesempatan serta peluang mendapat sesuatu nikmat atau rahmat. Lantas apabila peluang itu berlalu pergi mereka merasa menyesal dan ternanti-nanti peluang seterusnya.
Dan berapa ramai pula orang langsung tidak menyedari peluang yang datang dan pergi pada mereka. Biarpun mereka menyedarinya, namun sedikitpun mereka tidak merasa kerugian atau terkilan kerana mensia-siakannya.
Inilah sifat orang disebutkan dalam hadis. Sesungguhnya peluang untuk mendapat kebaikan sangat banyak, wujud di mana-mana dan dalam setiap perkara. Cuma tabiat manusia tidak suka merebut peluang disebabkan hati dan fikiran sudah dijajah nafsu membuatkan hati menjadi keras.
Seharusnya kita bersyukur apabila diberikan peluang kerana tidak semua manusia diberikan kesempatan sama sebaliknya kita hendaklah merasa malu kepada Allah kerana gagal menggunakan peluang dan tawaran-Nya yang begitu berharga dengan sebaiknya.