Monday, September 19, 2011

Akidah bersih personaliti Muslim

Contohi sifat intelektual Rasulullah SAW ketika berfikir

PEMBENTUKAN dan pengembangan peribadi Muslim yang dikehendaki Allah SWT ialah sahsiah yang soleh dari segi tutur kata serta perbuatan. Walaupun peribadi mulia yang diterjemahkan setiap manusia berbeza, al-Quran tetap menggariskan prinsip sama sejak mula diikuti umat Islam.
Umat Islam perlu membina peribadi teguh dalam dunia tanpa sempadan kerana jika tidak, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan kepemimpinan. Jika kita tidak mengejar masa, sudah tentu kita ketinggalan dan lemah, sedangkan umat Islam kuat kerana ilmu.
Peribadi soleh termasuk kekuatan fizikal yang memungkinkan umat Islam menjalankan ibadah dan perintah Allah dengan sempurna tanpa bergantung kepada bantuan orang
Untuk membina personaliti Muslim dihormati ialah dengan akidah yang bersih. Muslim perlu mempunyai ikatan kuat dengan Allah SWT supaya mereka percaya kepada qada dan qadar serta dunia selepas kiamat.

Muslim juga yakin dan cekal dengan ujian Allah SWT jika mereka mempunyai akidah bersih serta tidak berpatah arang menghadapi cabaran mendatang. Mutakhir ini, persoalan akidah menjadi semakin kritikal apabila segelintir Muslim menukar akidah dan memilih cara hidup bertentangan Islam.

Hakikat ini perlu ditangani dengan teliti kerana ia bukan saja memerlukan pengertian keesaan Allah SWT semata-mata tetapi bagaimana untuk meneguhkan keimanan dan ketakwaan. Seterusnya setiap Muslim perlu menunaikan ibadah hakiki kepada Allah SWT seperti diajarkan Rasulullah SAW.

Beza kehambaan kepada Pencipta bukan diukur dengan pakaian buruk dan jalan tunduk, tetapi keikhlasan beribadah serta tidak berbangga dengan perbuatan baik yang dilakukan atau mempunyai niat sebaliknya.
Peribadi soleh termasuk kekuatan fizikal yang memungkinkan umat Islam menjalankan ibadah dan perintah Allah dengan sempurna tanpa bergantung kepada pertolongan atau bantuan orang. Jika mempunyai kesihatan baik, umat Islam tentu dapat menjalankan amanah dengan baik.

Muslim sentiasa berdepan cabaran dan tohmahan Barat yang sering mengacau keharmonian dan kemakmuran umat Islam di seluruh dunia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Peribadi Muslim juga perlu kepada cara berfikir yang intelek kerana salah satu sifat Rasulullah ialah cerdas dan tangkas dalam membuat keputusan disebabkan keintelektualan Baginda. Setiap apa yang dilakukan, diperkatakan atau diam sekalipun, ia bermula dengan berfikir. Sebab itu individu Muslim yang cemerlang ialah yang bijaksana dan bertimbang rasa.

Satu aspek lain tidak kurang pentingnya dalam membina peribadi seorang Islam ialah mesti berjuang memerangi hawa nafsu yang jahat. Sebagai manusia, kita mempunyai kecenderungan kepada yang baik atau buruk dan jika terdorong melakukan maksiat, daya juang melawan hawa nafsu akan menyelamatkan tetapi jika sebaliknya, kita tidak akan mampu membina peribadi Muslim sepatutnya.

Dalam kesibukan melakukan tugas seharian, setiap Muslim perlu memastikan peribadi mereka terjaga dengan menepati masa. Allah mengingatkan manusia supaya menjaga masa kerana dengan jumlah masa yang sama ada antara kita untung dan ada yang rugi. Waktu yang pergi tidak kembali.

Muslim juga perlu berdisiplin dan profesional dalam sesuatu urusan. Mereka mesti tekun, bijak berinteraksi, berintegriti dan amanah. Jangan orang Islam dijadikan contoh ikutan tidak baik dalam kalangan manusia pelbagai agama dan bangsa sedangkan Islam adalah agama yang sempurna.

Kuasa pula mempunyai impak luar biasa. Amar makruf dan nahi mungkar juga boleh direalisasikan jika kita mempunyai kuasa. Muslim harus mempunyai kuasa supaya peribadi mereka tidak terhalang oleh doktrin kuasa lain yang membantutkan kegemilangan tamadun Islam.

Setiap Muslim mesti memastikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Kebajikan, kebaikan dan amalan baik dilakukan perlu saling dirasai oleh umat Islam lain khasnya atau seluruh manusia amnya.

Dunia akan gelap gelita jika tidak ada umat Islam kerana sebagai bangsa terpilih adalah satu unit penting dalam hierarki alam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...