Tuesday, September 20, 2011

Israiliyyat: Izrail adalah nama Malaikat Maut



Para ulama’ telah membahagikan Israiliyyat kepada tiga iaitu :

1. Bahagian yang selari dengan syariat dan Al-Quran ; seperti kisah Al-Jassasah yang diceritakan oleh Tamim Ad-Dariy dan diperakui oleh Nabi S.A.W. (hadith dalam Sahih Muslim, kitab Fitnah, bab Kisah Al-Jassasah). Antara lain ialah kisah Nabi Musa a.s. bersama Nabi Khidir, kisah Juraij seorang ‘abid dan sebagainya yang turut diceritakan di dalam Al-Quran dan hadith Nabi S.A.W. Maka kisah-kisah sebegini berfungsi sebagai sokongan kepada apa yang telah disebutkan oleh keduanya.

2. Bahagian yang bertentangan dengan syariat dan Al-Quran : seperti mencemar maruah kenabian dalam kisah Nabi Yusuf a.s. apabila menyebutkan bahawa baginda yang berkeinginan kepada isteri pembesar Al-Aziz, kisah Nabi Daud dan sebagainya yang mengaitkan para nabi dengan dosa syirik, zina dan sebagainya.

3. Bahagian yang tidak terdapat dalam syariat dan Al-Quran samada selari atau bertentangan: Bahagian ini paling banyak kedapatan pada zaman sekarang namun tiada larangan padanya dan tidak juga mendustakannya. Hadith Nabi S.A.W. ada menyebutkan:

Maksudnya: Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Basyar telah menceritakan kepada kami Usman bin Umar telah mengabarkan kepada kami Ali bin Al Mubarak dari Yahya bin Abu Katsir dari Abu Salamah dari Abu Hurairah berkata, ‘Ahli kitab membaca Taurat dengan bahasa ibrani dan menafsirkannya dengan bahasa arab untuk pemeluk Islam! Spontan Rasulullah s.a.w bersabda: “Jangan kalian benarkan ahli kitab, dan jangan pula kalian mendustakannya, dan katakan saja (Kami beriman kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu).” (Hadith Riwayat Imam Bukhari)

Nama Izrail tergolong dalam bahagian ke-3 ini. Soalan yang mengatakan bahawa adakah boleh kita gunakan nama Izrail ini. Maka, jawapannya ialah kita tidak diperbolehkan untuk menafikannya dan begitu juga mengiakannya secara pasti.


Kita tidak boleh menetapkan dan meyakini dengan pasti bahawa nama malaikat maut adalah Izrail kerana ia tiada dalam Al-Quran dan hadith. Kita juga tidak boleh menidakannya (atau mengingkarinya) dengan penuh kepastian kerana mungkin barangkali riwayat-riwayat Israliyyat itu benar. Tapi kaedah yang paling terbaik, kita serahkan hakikatnya kepada Allah Ta’ala, lalu kita menamakannya dengan nama yang telah Allah sandangkan untuknya, iaitu “Malakul Maut.”

Allah Ta’ala berfirman:

Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan.” (Al-Sajdah: 11)

Imam Ibnu katsir rahimahullaah berkata dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (1/49), “Adapun malaikat maut, tidak didapatkan keterangan jelas tentang namanya di dalam Al-Quran, tidak pula dalam hadith sahih. Penamaannya terdapat dalam sebahagian atsar yang disebut dengan Izrail, wallahu a’lam.”

Imam al-sindi berkata, “Tidak ada hadith marfu’ yang menyebutkan namanya.”

Al-Munawi dalam al-Faidh al-Qadir (3/32) setelah menyebutkan bahwa malaikat maut yang namanya masyhur dengan Izrail berkata, “Aku tidak mendapatkan penamaan itu dalam khabar (hadith).”

Syaikh al-Albani dalam ta’liqnya terhadap perkataan Imam al-Thahawi, “Dan kita mengimani malaikat maut yang ditugaskan untuk mencabut nyawa alam semesta,” beliau rahimahullah, “Aku katakan: Ini adalah namanya (yang disebutkan) dalam Al-Quran. Sedangkan menamakannya dengan Izrail, sebagaimana yang tersebut di tengah-tengah manusia, tidak memiliki landasan (dasar). Sesungguhnya penamaan tersebut berasal dari riwayat-riwayat Israiliyyat.”

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin berkata, “Malakul maut (malaikat pencabut nyawa) telah masyhur namanya dangan Izrail, tapi itu tidak benar. Sesungguhnya nama ini disebutkan dalam riwayat-riwayat israiliyyat yang tidak mengharuskan kita untuk mengimani nama ini. karenanya kita menamakan malaikat yang ditugaskan mencabut nyawa dengan “malakul maut”, sebagaimana yang Allah ‘Azza wa Jalla telah menamakannya dalam firman-Nya,

“Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan.” (Fatawa Ibnu al-Utsaimin: 3/161) wallahu a’lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...