Tuesday, September 6, 2011

Tiada Paksaan



“Mai..kenapa pakai seksi-seksi dan dedah aurat macam ni? Sebagai wanita Islam, kita wajib tutup aurat,”lembut nasihat seorang ibu kepada anak gadisnya.“Alah..ibu ni kolot betul. Ni kan fesyen terkini.Lagipun, suka hati Mai la, nak pakai seksi ke nak pakai apa, bukanke tidak ada paksaan dalam agama?” jawab si anak kasar.
 
Pasti tersentak jantung si ibu mendengar jawapan yang cukup biadab diucapkan oleh anak kesayangan. Di hati kecil, si ibu sedih kerana anak yang diasuh selama ini tega menderhaka dan engkar terhadap hukum Allah atas alasan tidak ada paksaan dalam agama.

Kerapkali mereka yang dangkal pemikirannya dan lemah pula imannya menggunakan dalil Surah Al-Baqarah ayat 256 tersebut sebagai satu hujjah membenarkan kejahatan dan kemaksiatan yang dilakukan.


Ayat di atas perlu difahami dan diperhalusi sebaik mungkin. Hadamkan makna yang terkandung di dalamnya.Konsep tidak ada paksaan dalam agama ini lebih menjurus kepada golongan non-muslim, di mana kita tidak berhak untuk memaksa mereka untuk memilih Islam. Sebagai Muslim, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan adalah dengan sentiasa menyebarkan dakwah melalui pendekatan berhikmah, menunjukkan teladan yang baik dan bersabar dalam usaha tersebut. Tidak perlu mendesak mahupun memaksa.Biar segalanya datang daripada keikhlasan sendiri, dan akhirnya mendorong mereka menganuti Islam yang suci ini.

Hidayah adalah urusan Allah dan DIA berkuasa memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. DIA juga berupaya menyesatkan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.Rasulullah SAW sendiri amat berdukacita atas ketidakupayaannya mengislamkan bapa saudaranya Abu Talib yang selama ini menjadi pelindung dan tulang belakang perjuangan baginda selama ini.

Bagaimana pula dengan kita yang sudah bergelar Muslim? Adakah konsep tidak ada paksaan ini turut terpakai buat kita? Tatkala kita mengakui Allah itu Tuhan dan Nabi Muhammad SAW itu Rasul Allah maka secara automatiknya kita adalah terikat dengan hukum-hakam ataupun peraturan yang terkandung di dalam Islam merangkumi solat, puasa, menutup aurat, berzakat dan pelbagai lagi kewajipan yang difardhukan ke atas kita.Selagi bernama Muslim, kita diharamkan berzina, minum arak, merogol, mencuri, membunuh dan yang sewaktu dengannya.

Mengapa perlu merasa terkongkong dengan syariat yang ditetapkan Allah ini?Adakah kerana nafsu kita teruja untuk menikmati kehidupan yang bebas tanpa batasan? Tanpa ada larangan untuk meneguk air kencing syaitan, bersekedudukan dengan yang bukan muhrim,meraih rezeki dengan jalan rasuah ataupun tiada halangan untuk menzalimi pihak lain? Yakinkah kita bahawa akan wujud jaminan kebahagiaan dan ketenangan andai itu jalan hidup yang kita pilih? Hakikatnya, Allah tidak akan mencampakkan sakinah atau ketenangan ke dalam hati hamba-hamba yang terpesong dan derhaka kepadaNya.

Adalah lebih baik andai kita dapat bersabar seketika dalam menghadapi penjara dunia (andai merasakan syariat itu sebagai satu sekatan) berbanding kedahsyatan penjara akhirat iaitu azab neraka yang amat pedih.Biar kita terkongkong sebentar daripada diseksa selama-lamanya di akhirat kelak.

Kita tidak akan merasakan hukum Allah sebagai satu kekangan mahupun bebanan andainya kita benar-benar memahami hakikat diri kita sebagai hamba.Menunaikan solat tidak dianggap sebagai melepaskan tanggungjawab semata tetapi dilaksanakan dengan penuh khusyuk dan tawadhuk atas dasar kita sebagai hamba Allah.Solat ditunaikan untuk mengekspresikan rasa rendah diri, syukur dan berterima kasih atas nikmat dan perlindunganNya selama ini. Jiwa terasa bahagia tatkala mengadapNya, ibarat seorang lelaki yang tidak sabar bertemu insan yang dicintai.

Islam agama yang mudah dan tidak sesekali membebankan penganutnya namun ajarannya tidak boleh sesekali dipandang mudah.Dua perkara yang cukup berbeza untuk diperhalusi oleh kita semua.Allah lebih mengetahui tentang diri kita kerana DIAlah Pencipta kita.Segala apa yang disyariatkanNya bukan bertujuan menyusahkan ataupun membebankan kita melainkan terkandung seribu satu maslahah untuk direnungkan dan difikirkan bersama.

Allah tidak menanggung sebarang kerugian atas penderhakaan kita kerana DIA maha Berkuasa atas segalanya namun kita sebenarnya seakan menzalimi diri sendiri andai perintahNya kita ingkari. Latihan yang konsisten, keazaman yang tinggi dan hati yang ikhlas pasti berupaya memacu kita untuk terus mematuhi syariatNya tanpa ada sekelumit pun rasa terpaksa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...