Monday, September 5, 2011

Hubbud Dunya Wa Karahiyatul Maut





CINTAKAN DUNIA DAN TAKUTKAN MATI

Manusia di akhir zaman sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW ibarat buih yang terapung di dalam air.Bilangan yang banyak namun kualitinya amat rendah.Manusia lemah kerana kelemahan jiwa mereka lantaran dibelenggu dua penyakit iaitu hubbud dunya (cintakan dunia) dan karahiyatul maut (bencikan mati).

Apabila rasa cinta terhadap dunia merajai hati, apa jua tindak-tanduk yang dibuat hanya bermatlamatkan keuntungan dunia yang fana semata-mata. Manusia menjadi silau dengan keindahan dan kemewahan dunia yang sementara.Islam diukur berasaskan material. Nilai keikhlasan dan daya juang makin terhakis dalam diri. Segala kerja dakwah yang disumbangkan harus diganjari dengan wang ringgit atau pangkat.

Tiada lagi timbul kesedaran dalam diri bahawa tugas dakwah adalah amanah dan kewajipan yang akan dipersoalkan di hadapan Allah, sama ada ditunaikan atau diabaikan?Sanggupkah kita memberikan jawapan kepada Allah Yang Maha Berkuasa di hari akhirat kelak bahawa kita tidak dapat menunaikan amanah itu kerana tiada balasan wang ringgit? Sanggupkah?

Kerana cintakan dunia juga, manusia meminggirkan hukum.Harta diburu tanpa mengira sama ada halal atau haram.Tidak peduli rezeki berkat atau tidak, yang penting kemahuan dan nafsu dapat dipenuhi.


Bencikan kematian?Mengapa harus kita benci?Ia pasti datang menjemput kita.Usah kita menjadi seperti sebahagian kaum Yahudi yang tidak pernah bercita-cita untuk mati malah memohon supaya dihidupkan lebih lama lagi kerana mereka risau tentang pembalasan Allah terhadap dosa-dosa yang dilakukan :

“Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, Dengan sebab dosa-dosa Yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang Yang zalim itu.”
(Al-Baqarah ; ayat 95)


Untuk apa memohon dipanjangkan usia andai sekadar untuk dipenuhi dengan maksiat dan kejahatan semata yang bakal mengundang kemurkaan Allah? Biarlah usia kita singkat, namun penuh dengan berkat.
Penghujung kepada kehidupan dunia adalah qiamat.Justeru, qiamat perlu diyakini.Terlalu banyak surah-surah di dalam Al-Quran yang menjelaskan persoalan qiamat seperti Surah As-Sa’ah, Al-Qariah, Al-Haqqah, Al-Zalzalah dan sebagainya.Tidak cukup dengan penerangan di dalam Al-Quran, kajian astronomi turut membenarkan kandungan Al-Quran berhubung hakikat kiamat ini melalui teori bahawa semua benda pasti akan binasa.Tiada satu pun yang kekal, segalanya akan rosak dan musnah.Petanda alam juga cukup untuk menguatkan keyakinan tentang adanya qiamat.Peristiwa tsunami, gempa bumi, banjir, tragedi tanah runtuh dan sebagainya menjadi sebahagian alamat untuk kita fikirkan tentang qiamat PASTI berlaku.

Usah bertangguh.Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan serahkan segalanya kepada Allah :

“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan ” taubat Nasuha”, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
(Surah At-Tahriim : ayat 8 )


Tingkatkan pelaburan amalan kita untuk dituai di alam akhirat.Kuatkan mujahadah menepis segala godaan dan bisikan syaitan yang cuba menjerumuskan kita ke lembah kehinaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...