Monday, September 5, 2011

Angkuh



Angkuh atau sombong merupakan satu akhlak mazmumah yang wajar dihindari.Kerana keangkuhan jualah, iblis dicampakkan oleh Allah dari syurga.Angkuh dan ingkar dengan perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam a.s kerana merasakan bahawa penciptaannya daripada api jauh lebih mulia berbanding Adam yang diciptakan dari tanah :

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

(Surah Al-Baqarah :ayat 34)


Di dalam Al-Quran, Allah banyak menyebut tentang persoalan angkuh dan sombong ini.Sebagai contoh, terlalu penceritaan di dalam Al-Quran yang membuka pekung keangkuhan kaum Yahudi.Betapa kaum Yahudi merupakan satu kaum yang cukup angkuh dan sering merasakan bahawa mereka adalah satu kaum pilihan Allah berbanding kaum-kaum yang lain.Kaum Yahudi menganggap mereka adalah umat pilihan, yang tidak akan dikenakan azab seksaan oleh Allah :

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari Yang tertentu”. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu Yang tidak kamu mengetahuinya?”
(Al-Baqarah :ayat 80)

Atas dasar itu jualah, mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa Rasul terakhir yang diutuskan Allah bukanlah daripada kalangan mereka.

Al-Quran mendedahkan bagaimana kaum ini menolak ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW dan tidak terkecuali penolakan mereka terhadap nabi-nabi mereka yang terdahulu sehingga mereka pernah melampaui batasan bila mana mereka bertindak membunuh nabi yang diutuskan kepada mereka.

Kaum ini bertuhankan nafsu dan kemahuan mereka sendiri.Sentiasa merasakan bahawa mereka adalah golongan yang terbaik.Mereka dihijab dengan keujuban dan nafsu mereka sendiri.Mereka seringkali mengkhianati janji yang diikat.Kesombongan dan keengkaran kaum ini yang telah Allah dedahkan di dalam Al-Quran dan ini boleh dirujuk di dalam Surah Al-Baqarah ; ayat 90-93.
90. Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri Dengan mengingkari Al-Quran Yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki Bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang Yang kafir itu akan beroleh azab sengsara Yang menghinakan.
 
91. dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab: “Kami hanya beriman kepada apa Yang telah diturunkan kepada Kami (Taurat)”. dan mereka ingkarkan (Kitab) Yang lain Yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat Yang ada pada mereka. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa Yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang Yang beriman?”.
 
92. dan Sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang Yang zalim.
 
93. dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia Dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) Yang Kami berikan kepada kamu itu Dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (Apa Yang diperintahkan kepada kamu Dengan mematuhinya)”. mereka menjawab: “Kami dengar, dan Kami menderhaka”. sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di Dalam hati mereka, Dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (Wahai Muhammad):” amatlah jahatnya apa Yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang Yang beriman”.

Ungkapan mereka “Kami dengar, dan Kami menderhaka” menjelaskan kepada kita betapa ungkapan keimanan itu hanya sekadar bermain di bibir namun tidak dibuktikan dengan perbuatan.Penderhakaan itu menjadi satu manifestasi keingkaran dan kedegilan mereka.Ungkapan yang telah dilafazkan kaum Yahudi ini menunjukkan kepada kita betapa dasar penting yang terkandung di dalam ajaran Islam perlu mematuhi dua elemen iaitu, iman dan Islam.Keimanan kepada Allah perlu dibuktikan melalui amal ibadah yang mana ibadah itulah yang menjadi manifestasi kepada keimanan seseorang hamba.Sebagai pelengkap, ia perlu dihadirkan bersama dengan ihsan, yakni sentiasa merasakan diri diawasi oleh Rabb, selaku pencipta.Tiada nilainya kita mengakui beriman kepada Allah dengan sepenuh hati andai dalam masa yang sama tidak diiringi dengan amal soleh, malah lebih teruk dari itu sekiranya lafaz keimanan itu diucap bersama dengan kemaksiatan yang dilakukan.Contoh paling mudah, bagaimana mungkin seorang wanita Islam yang berpakaian mendedahkan aurat mengisytiharkan bahawa dirinya adalah hamba Mukminah kerana memiliki keimanan yang tinggi di dalam hati, walhal tindakan yang dilakukan adalah jauh menyimpang dari ungkapan yang terlafaz di bibir?

Berbalik kepada persoalan angkuh, mari kita renungkan sejenak..Adakah kita layak untuk memiliki sikap angkuh ini?Tidak kira sama ada keangkuhan kita terhadap sesama manusia apatah lagi terhadap Allah?Bagaimana mungkin kita boleh bersikap angkuh sesama makhluk Allah sebagaimana keangkuhan seorang kaya terhadap yang miskin atau keangkuhan seorang yang dikurniakan rupa paras yang cantik terhadap seorang hamba yang cacat dan serba kekurangan?Semua kita adalah sama sahaja di sisi Allah.Allah tidak pernah sesekali memandang kepada rupa paras mahupun harta kekayaan kita namun taqwa sahajalah yang akan menjadi ukuran dan timbangannya. Untuk apa kita angkuh dan bermegah dengan kekayaan yang dimiliki walhal harta itu adalah pinjaman semata.Kita hanyalah sebagai pemegang amanah sahaja dan Allah berkuasa menyempitkan rezeki kita mengikut kemahuan-Nya.Begitu juga dengan rupa paras elok yang dimiliki..kerana Allah dengan kudrat dan iradat-Nya berupaya menarik balik kecantikan tersebut bila-bila masa sahaja dan paling tidak pun, kecantikan tersebut akan tetap pudar dimamah usia.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu, dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu” amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa hanya ketaqwaan sahaja yang menjadi ukuran tahap kemuliaan seseorang di sisi Allah, bukan paras rupa mahupun harta.

Bagaimana pula kita boleh angkuh kepada Allah SWT sedangkan kita adalah hamba-Nya.DIA yang menciptakan kita dan hanya DIA yang berkuasa ke atas segalanya.

“Tidakkah Engkau mengetahui Bahawa Sesungguhnya Allah Yang Menguasai Segala alam langit dan bumi? dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun Yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.”

(Surah Al-Baqarah : ayat 107)


Allah berfirman lagi ;

“Allah jualah Yang menciptakan langit dan bumi (dengan Segala keindahannya); dan apabila ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” lalu menjadilah ia.”

(Surah Al-Baqarah : 117)

 
Andai terasa ingin jua mempamerkan keangkuhan terhadap Allah, perhatikan seketika.Adakah kita mampu untuk hidup di bumi ini tanpa berpijak atas muka bumi milik Allah?Adakah kita mampu terus bernafas tanpa sesaat pun kita menghirup udara milik Allah?Dan apakah kita berkuasa untuk terus bertahan tanpa memakan sesuap pun makanan dari rezeki Allah?

Lantas, tiada satu pun dalil yang mampu membenarkan tindakan kita untuk terus hidup dengan angkuh di atas dunia ini.Segalanya perlu dikembalikan kepada Allah.Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadaNya jua kita kembali :

Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan Yang memiliki dan Menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

(Surah Yaasin : ayat 83)


Kita hanyalah hamba yang terlalu kerdil di sisiNya. Tiada daya dan keupayaan kita untuk melakukan sesuatu melainkan dengan keizinanNya jua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...