Tuesday, May 3, 2011

Tutur kata baik pengerat hubungan masyarakat

 

image

RASULULLAH saw bersabda maksudnya: “Bukanlah (golongan ini) daripada orang beriman yang sempurna imannya - orang yang suka mengecam, suka melaknat, yang suka bercakap kufur dan yang suka mencarut.”

Orang yang berbudi mulia akan sentiasa berusaha menjauhkan dirinya daripada terbabit dalam pertelingkahan yang selalunya tidak berlandaskan pemikiran rasional.

Hal ini kerana perbuatan itu adalah tindakan yang tidak produktif dan tidak berfaedah. Malah, hanya akan berakhir dengan perpecahan dengan hidup saling bermasam muka antara satu sama lain.

Islam menyuruh kita agar hidup bersatu padu, merendah diri dan tidak berlagak sombong.

Sifat itu akan memudahkan perhubungan dan kasih sayang sesama umat Islam. Pemimpin masyarakat dan organisasi yang sebegini akan disenangi oleh pengikut dan kakitangannya. Mereka juga akan mudah mendapat kerjasama daripada mereka.

Demikian juga kita dilarang menceritakan keburukan orang lain dengan melaknat, mengecam, mencemuh, mencarut dan sebagainya. Hal ini kerana perbuatan itu akan menyebabkan pergaduhan dan hilang rasa hormat antara sesama anggota masyarakat. Maka berlakulah ketegangan yang sebenarnya merugikan keseluruhan umat Islam itu sendiri.

Satu lagi perkara yang boleh menyebabkan hubungan sesama umat pecah ialah perbuatan suka mencarut.

Mencarut di sini boleh jadi dengan mengeluarkan kata-kata keji yang berbaur kehinaan kepada seseorang itu. Begitu juga mencarut dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan berbau lucah.

Perbuatan begitu bukan saja memalukan orang lain, malah tidak sesuai didengar oleh kanak-kanak.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjaga mulut daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung orang lain, seterusnya menjadikan orang itu terhina.

Islam menggalakkan umatnya supaya menuturkan kata-kata baik terhadap sesama insan. Melalui cara itu, dapat memupuk persaudaraan lebih erat dalam sesebuah masyarakat.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...