Friday, December 23, 2011

ALLAH MENEGUR RASULULLAH



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Mukadimah
SURAH ini termasuk dalam surah makkiah. Diturunkan selepas surah al-Najm. Dalam surah terdahulu dinyatakan berkenaan hari kiamat, manakala dalam surah ini pula menceritakan perihal orang yang mengambil manfaat daripada peringatan itu.

Firman Allah SWT: Ia memasamkan muka dan berpaling, kerana ia didatangi orang buta.

Ibn Ummi Maktum datang menghadap Nabi Muhammad SAW di Mekah. Ketika itu baginda asyik bercakap-cakap dengan pemimpin-pemimpin Quraisy seperti Utbah dan Syaibah, kedua-duanya ialah anak Rabi’ah, Abu Jahl Ibn Hisham, Abbas Ibn Abd al-Mutallib, Umayyah Ibn Khalaf dan al-Walid Ibn al-Mughirah untuk diajak kepada Islam, diberi peringatan tentang kedatangan hari kiamat, kekuasaan Allah SWT dan diharapkan sebagai orang yang akan menerima balasan baik jika menganut Islam.

Manusia yang baik adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.

Rasulullah SAW amat mengharapkan agar seruannya itu diterima kerana baginda mengetahui andainya mereka menganut Islam pasti ramai yang akan mengikut mereka.

Ini kerana kuasa kepimpinan bangsa Arab terletak di tangan mereka. Ketika baginda asyik bercakap-cakap, tiba-tiba Ibn Ummi Maktum mencelah, katanya: “Ya Rasulullah, bacakan dan ajarkanlah aku apa yang telah diajarkan oleh Allah SWT kepada tuan”.

Berulang kali ucapan itu disampaikan tanpa dia mengetahui kesibukan baginda bersama-sama tokoh kaum yang sedang berbicara sehingga baginda berasa tidak senang hati apabila percakapannya disampuk dan nampak rasa kurang selesa pada raut wajah baginda lalu berubah mukanya menjadi masam lantas ia berpaling.

Firman Allah SWT: Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui (tujuannya, Wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepada-Nya.


Syed Qutb berkata: Tahukah engkau barangkali hati lelaki akan disinari nur Allah yang akan mengubahnya menjadi rumah nur yang sentiasa menerima nur dari langit?

Kebajikan ini akan menjadi kenyataan apabila ada hati yang membuka pintunya untuk menerima hidayah dan apabila hakikat iman terpacak kukuh di dalam hatinya. Inilah persoalan agung dalam neraca pertimbangan Allah SWT.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al-Quran). Maka Engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal Engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).


Ibn Kathir berkata: Engkau tidak dituntut melakukan hal tersebut jika ia tidak membersihkan dirinya.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang segera datang kepada-Mu. Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Al-Maraghi berkata: Ternyata engkau mengabaikan permintaannya.

Firman Allah SWT: Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya. Wasiat ini berlaku sama kepada seluruh umat manusia dalam menyampaikan ilmu baik antara orang mulia mahupun orang yang hina.


Qatadah dan al-Suddi mengatakan: Iaitu al-Quran. Ini bagi yang sentiasa mengingati Allah.

Firman Allah SWT: (ayat-ayat suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan, yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan), (terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz (malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.

Al-Maraghi berkata: Peringatan itu telah dicantumkan dalam kitab Allah SWT yang mulia lagi tinggi, suci dari sebarang kekurangan, tidak bercampur dengan unsur-unsur kesesatan dan diturunkan kepada nabi melalui para malaikat, kemudian peringatan itu diteruskan kepada seluruh manusia.

Penutup

Syed Qutb berkata: Ayat-ayat al-Quran itu mulia dalam semua pertimbangan dan mulia dalam suhuf-suhufnya. Ia dijunjung tinggi dan suci.

Ia diserahkan kepada utusan-utusan para malaikat ang tertinggi, mulia dan taat setia untuk dikirimkan kepada para rasul yang terpilih di bumi supaya disampaikan kepada penghuni-penghuninya.

Itulah sifat malaikat yang mulia dan taat setia. Ayat-ayat itu amat mulia dan suci dalam segala perkara yang dibicara dan disentuh olehnya.

Ayat-ayat tersebut sungguh mulia dan tidak ditawarkan kepada orang-orang yang enggan menerimanya dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak memerlukannya. Ia untuk orang yang mengiktiraf kemuliaannya dan mahu membersihkan diri dengannya.

Penjelasan ayat ini merupakan neraca Allah untuk pertimbangan manusia dan kedudukan mereka dan hanya Dia yang mampu mengatur segala-galanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...