Thursday, December 22, 2011

TAHAP KETENANGAN HATI



SEJAK zaman Rasulullah s.a.w, malah sejak awal sejarah manusia, Allah menjadikan hati hamba-hamb-Nya yang menerima Islam tenang tenteram dengan menurunkan berita gembira (busyra) melalui wahyu. Sebenarnya kedatangan para rasul bersama dengan agama Allah itu membawa berita gembira, membawa kesejahateraan, kepada umat manusia.

Antara kandungan berita gembira itu ialah tentang janji (wa'ad) Allah akan memberi ganjaran pahala yang berlipat ganda dan balasan syurga kepada hamba-hamba-Nya yang taat, tentang darjat kemuliaan yang tinggi dan kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat dan tentang sifat-sifat kemurahan, keampunan, keluasan rahmat dan limpah kurnia Allah 'Azza wa Jall yang tidak terhingga ke atas hamba-hamba-Nya. Penyampaian berita gembira itu adalah untuk mencetuskan rasa harapan (raja`) atau rasa optimis di kalangan umat Islam.

Akan tetapi perlu diketahui, di samping berita gembira itu, disampaikan juga berita sebaliknya yang mengandungi ancaman atau amaran (indzar) tentang janji (wa'id) Allah dalam hal pembalasan azab neraka untuk mencetuskan rasa bimbang dan takut (khauf) atau rasa pesimis di hati para hamba Allah.

Dengan yang demikian, hati umat Islam akan sentiasa di dalam keseimbangan antara dua pengalaman rasa hati tersebut rasa optimis dan pesimis. Yakni, tidak terlalu optimistik yang menyebabkan mereka lupa daratan dan tidak terlalu pesimistik yang mengakibatkan mereka kecewa atau putus asa.

Hal keseimbangan atau kesederhanaan dalam melayani kedua-dua pengalaman rasa itu amat penting untuk manusia mempertahankan ketenangan hati rohaniah mereka. Justeru, para rasul diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan berita gembira dan amaran tersebut kepada manusia. Allah berfirman, maksudnya :

Dan tidaklah Kami utuskan para rasul melainkan sebagai pembawa berita gembira (mubasysyirin) dan sebagai pemberi amaran (mundzirin). (al-Kahfi : 56).

Sebagai contoh, dalam ayat berikut (dan ayat-ayat lain selepasnya yang berkaitan) terdapat kedua-dua unsur berita tersebut, iaitu unsur amaran dan unsur berita gembira. Perhatikan :

Katakanlah, sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuki ke jalan-Nya kepada orang-orang yang bertaubat. (al-Ra'd : 27).

Allah swt memerintah Rasul-Nya agar menyampaikan berita gembira, khususnya kepada hamba-hamba pilihan-Nya sebagai-mana yang tersebut dalam ayat berikut :

Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh kepada Allah, iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah bergementarlah hati mereka; orang-orang yang sabar terhadap apa (musibat) yang menimpa mereka; orang-orang yang mendirikan shalat dan orang-orang yang menafkahkan (mengeluarkan zakat/sedekah) sebahagian daripada apa yang Kami rezeikan kepada mereka. (al-Hajj : 35).

Berdasarkan ayat di atas, selain mendapat ketenangan hati rohaniah melalui berita gembira, hamba Allah berpeluang menempah ketenangan hati rohaniah melalui amal ibadat kepada Allah (ibadat zahir dan batin, ibadat yang wajib dan yang sunat) yang dikerjakan dengan penuh keikhlasan (semata-mata kerana Allah). Antara amalan sunat untuk mendapat ketenangan jiwa (hati rohaniah) itu ialah zikrullah (menyebut dan mengingati Allah). Allah berfirman, maksudnya:

Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi aman tenteram! (al-Rad : 28).

Dan firman-Nya lagi :

Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik, iaitu kitab (al-Quran) yang serupa lagi berulang-ulang, bergementarlah kerananya kulit orang-orang takut kepada Tuhan mereka. Kemudian menjadi tenang kulit dan kalbu mereka sewaktu mengingati (janji) Allah. (al-Zumar : 23).

Dalam ayat di atas terdapat isyarat tentang keseimbangan antara khauf dan raja` (rajak)_dua unsur pengalaman rasa hati yang tersebut. Sebaik-baik lafaz zikir_selain zikir yang dimaksudkan dengan "mengingati Allah / janji Allah"_ialah kalimah tauhid / kalimah takwa (kalimatul-taqwa) atau kalimah syahadah. Diriwayatkan : Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesungguhnya mendapat kemenanganlah sesiapa yang mengucapkan kalimah 'La ilaha illallah' ( ).

Ketenangan dan keteguhan hati rohaniah atau kemantapam iman, termasuk takwa dan sebagainya itu merupakan kurniaan Allah yang berkaitan dengan nikmat yang disebut petunjuk atau hidayah, iaitu satu nikmat paling besar daripada Allah "Azza wa Jall kepada hamba-hamba pilihan-Nya.

Antara manusia pilihan Allah yang diberi petunjuk ialah para rasul, anbia, aulia, orang-orang yang berilmu (ulamak), orang-orang beriman (mukminun/mukminat) dan orang-orang bertaubat. Allah berfirman, maksudnya:

Dan, sesungguhnya Allah adalah Petunjuk ke jalan yang lurus kepada orang-orang yang beriman. (al-Hajj : 54).

Dan barang siap yang beriman kepada Allah, nescaya Dia memberi petunjuk kepada hatinya. (al-Taghabun : 11).

Nikmat hidayah tersebut menjadi pokok atau asas utama dalam perkembangan hati rohaniah. Tanpa hidayah, hati itu menjadi kosong dan akan segera dipenuhi oleh jerbu kesesatan dan kelalaian. Allah berfirman, maksudnya :

Sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk, dan barang siapa dan sesiapa yang disesatkan-Nya, maka engkau tidak dapati seorang pun pemimpin yang memberi petunjuk kepadanya. (al-Kahfi : 17)

Orang-orang yang beriman, di samping diberi petunjuk, diturunkan pula ketenteraman ke dalam kalbu mereka agar bertambah lagi keimanan mereka, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud :

Dialah (Allah) yang telah menurunkan ketenangan (iman) ke dalam kalbu orang-orang yang beriman supaya mereka menamabahkan lagi keimanan di samping keimanan mereka. (al-Fath : 4).


Ternyatalah, kemantapan iman adalah menjadi asas bagi ketenangan hati rohaniah. Ketenangan hati rohaniah ini bertimbal balik pula dengan keteguhan hati rohaniah dan kemantapan iman itu.

Tahap-tahap pencapaian dalam laluan ke puncak ketenangan hati rohaniah banyak dan pernah dibincangkan dengan panjang lebar. Antara pengalaman-pengalaman lahir dan batin yang perlu ditempuh dan dikuasai terlebih dulu sebelum menakluki puncak ketenangan hati rohaniah itu ialah : Iman, ilmu, takwa, rajak, khauf, taubat, ibadat dan zikrullah. Wallahu a'lam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...