Tuesday, December 20, 2011

TRANSFORMASI JIWA DAN ROHANI



Oleh: Amru Al-Haz Bin Adnan

Awal Muharram menjelma lagi. Semangat Hijrah yang berlalu beribu tahun dahulu ditagih oleh seluruh Umat Islam serata dunia. Semangat inilah yang akan memberi suntikan dan inspirasi kepada seluruh umat Islam melakukan perubahan dan transformasi ke arah hidup yang lebih cemerlang sama ada dari aspek spiritual dan material. Pihak kerajaan khususnya sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran dan pengurusan kerajaan melalui agenda transformasi. Transformasi menurut kamus dewan edisi keempat bermaksud perubahan bentuk (sifat,rupa atau keadaan). Dalam erti kata yang lain ia merupakan satu proses peralihan dari satu dimensi ke satu dimensi yang lain, lain daripada keadaan senario sedia ada yang sudah berlegar di ruang pemikiran ke satu ruang yang lain, lebih baik atau lebih sempurna.

Menurut perspektif Islam proses transformasi atau perubahan ini tidak terhasil melainkan perubahan terbitnya dalam diri setiap individu. Atas dasar inilah Allah berfirman di dalam surah al-Nahl ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

Sebagai umat Islam transformasi dalam diri kita bukanlah hanya setakat dalam aspek ibadah semata-mata tetapi ia melingkupi segenap aspek, sama ada perubahan dalam meningkatkan taraf kehidupan, ekonomi, penguasaan ilmu pengetahuan dan malah lebih luas daripada itu.

Walaubagaimanapun transformasi jiwa dan rohani sebenarnya adalah menjadi tunjang dan asas yang utama. Apabila transformasi jiwa dan rohani telah berlaku dalam diri manusia maka sebarang transformasi sama ada melibatkan pentadbiran, ekonomi, pendidikan malah politik dapat dicapai dengan mudah.

Di samping usaha kerajaan memantapkan aspek ekonomi, perpaduan dan pembangunan negara, transformasi pembangunan modal insan perlulah diletakkan sebagai priority yang utama. Masyarakat perlu dilibat dan didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan program yang dapat mendidik rohani dan akhlak mereka. Sebaliknya,hiburan-hiburan dan aktiviti-aktiviti yang tidak mendatangkan faedah haruslah disekat atau digantikan dengan program alternatif yang membina perpaduan, menerapkan semangat patriotik seterusnya mendidik jiwa rakyat.

Media cetak dan elektronik pula disarankan untuk memperbanyakkan filem dan rancangan harian berunsurkan pengajaran, pembinaan jatidiri, penghayatan agama dan pencerdasan minda. Dengan cara ini sedikit sebanyak melahirkan rakyat yang cemerlang dan seimbang antara aspek duniawi dan ukhrawi.

Allah berfirman di dalam surah al-A’raaf ayat 96 yang bermaksud:

“Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Peranan Ketua Keluarga juga adalah besar sekali dalam proses transformasi membentuk keluarga yang cemerlang dengan menjadikan rumah sebagai ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan. Ia dapat dicapai dengan sentiasa melazimi solat berjemaah sekeluarga di samping menerapkan amalan membaca al-Quran atau bertadarus bersama-sama. Ibu bapa perlu peka mengawasi pergerakan anak-anak mereka.

Sebagai Ketua Keluarga, suamilah yang mencorakkan kehidupan sesebuah keluarga. Jika keluarga dicorakkan dengan acuan kehidupan ala barat, maka begitulah jadinya. Tetapi jika suami mempunyai kesedaran roh Islam, sudah pasti akan terdidiklah ahli keluarga mereka dengan syariat Islam yang sebenar. Anak-anak dilahirkan fitrahnya suci bersih, maka ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan anak mereka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud

"Tiap-tiap anak dilahirkan berkeadaan fitrah (suci bersih), maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi'"

(Riwayat Bukhari)

Dalam proses transformasi diri, Setiap individu haruslah dari masa ke semasa berusaha memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti jiwa dan rohani dan Islam menganjurkan umatnya bermuhasabah. Bermuhasabah bererti kita menilai dan hasil amalan yang kita lakukan sehari-hari, sekiranya terdapat kekurangan kita perbaiki dan sekiranya sudah baik kita tingkat dan tambah amalan.

Kesimpulannya, proses transformasi bukan merupakan satu proses mudah yang dapat dilihat hasilnya sekelip mana. Kita tidak mahu perubahan yang berlaku itu hanya pada permulaannya sahaja dan ia kemudian akan kembali kepada sediakala. Transformasi di sini ialah perubahan yang bermula dan berkekalan selama-lamanya. Justeru bagi merealisasikan usaha transformasi ini tercapai ia memerlukan pengorbanan, kesabaran dan gerak kerja yang berterusan dan istiqamah.

Sumber : Masjid Negara
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...