Friday, December 9, 2011

RIWAYAT HIDUP IMAM AHMAD BIN HAMBAL



Imam Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hambal dilahirkan di Baghdad pada tahun 164H/781M. Ayahnya seorang mujahid Islam dan meninggal dunia pada umur 30 tahun. Ahmad kemudiannya di besarkan oleh ibunya Saifiyah binti Maimunah. Ahmad bin Hambal menghafal Quran sejak kecil dan pada umurnya 16 tahun dia sudah juga menjadi terkenal sebagai penghafal hadith. Ahmad bin Hambal meneruskan pengajian hadithnya kepada sekian ramai guru dan beliau di akhir hayatnya dijangkakan telah menghafal lebih dari sejuta hadith-hadith, termasuk barisan nama-nama perawinya. (Even though we do not deny that Imam Ahmad had memorised hadith since young age, but the amount saying more than a million is only an assumption according to an ustaz who teaches this book. There is no confession from Imam Ahmad himself.)

Pada tahun 189H/ 805M Ahmad bin Hambal berhijrah ke Kota Basrah untuk menuntut dan tidak lama kemudian ke Mekah dan Madinah pula. Di sanalah beliau sempat duduk berguru dengan Imam Shafie. Sebelum itu guru-gurunya yang masyhur ialah Imam Abu Yusuf, Husyain ibn Abi Hazim al-Washiti, Umar ibn Abdullah ibn Khalid, Abdul Rahman ibn Mahdi dan Abu Bakar ibn ‘Iyasy. Pada tahun 198H, Ahmad bin Hambal ke Yaman pula untuk berguru pula dengan Imam Abdur Razzak ibn Human (pengarang kitab hadith ‘Musnad Abdur Razak’). Dalam perjalanannya ini, Ahmad mula menulis hadith-hadith yang dihafalnya setelah sekian lama.

Ahmad bin Hambal kembali semula ke Baghdad dan kini mula mengajar dan bertindak sebagai guru. Kehebatannya sebagai penghafal hadith dan pakar fiqh menarik perhatian orang ramai dan mereka mula mengerumuninya untuk belajar bersama. Antara anak muridnya yang kemudian berjaya menjadi tokoh hadith terkenal ialah Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Abu Daud. Al-Qasim ibn Salam berkata : Ahmad bin Hambal adalah orang yang paling ahli dalam bidang hukum, dan aku tidak melihat ada orang yang lebih mengetahui tentang as-Sunnah selain dia. Dia tidak pernah bersenda gurau, dia selalu berdiam diri, tidak memperkatakan apa-apa selain ilmu.

Imam Ahmad bin Hambal mengalami berbagai pengalaman hidup dalam penjara kerana kekerasannya menentang fahaman Mu’tazilah yang menyatakan al-Quran itu adalah suatu makhluk. Lebih memburukkan lagi ialah apabila fahaman ini diterima oleh pemerintah Abbasid ketika itu dan dia memaksa Imam Ahmad untuk mensahkan pendapat tersebut. Imam Ahmad tetap menentang dan dia dipukul dan dirotan dalam penjara sehingga tidak sedarkan diri.

Ketegasan Imam Ahmad dan tekanan dari orang ramai akhirnya menyebabkan pihak pemerintah terpaksa membebaskan beliau. Imam Ahmad kemudian meneruskan pengajarannya kepada orang ramai sehinggalah kematiannya pada tahun 241H/856M. pada usia 77 tahun. Imam Ahmad meninggalkan kepada dunia Islam kitab hadithnya yang terkenal iaitu Musnad Ahmad yang mengandungi 50,700 riwayat-riwayat hadith Rasulullah s.a.w. dan athar-athar para sahabat ra-anhum. Dua orang anaknya yang utama meneruskan perjuangan Imam Ahmad, iaitu Abdullah ibnu Ahmad ibnu Hambal dan Saalih ibnu Ahmad ibnu Hambal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...