Kerja ni nampak mudah saja. Tapi entah Kenapa, dah berbulan-bulan saya buat belum siap lagi? Hurmmmm, apa nak jadi ni. Lepas satu, satu masalah timbul! Dah buat dahhhhh! Problem lama pun tak selesai lagi, dah dating pulak problem lain. Bertimpa-timpa. Tension! Tensionnya akuuuu!!!”
Beginilah antara bunyi keluhan dan luahan manusia lewat persinggahannya di dunia nan sementara cuma. Keluhan yang membayangkan betapa kusut jiwanya. Betapa rimas naluri fitrahnya. Betapa berserabut akal mindanya. Betapa kelam derap langkahnya. Betapa buntu dan sukar bilah-bilah harinya.
Sama ada sedar mahupun tidak, boleh dikatakan ramai manusia baik secara individu mahupun berkelompok telah pun menghadapi situasi sukar dan sulit ini. Namun, post mortem yang dibuat hanya berjaya menyentuh dan mencungkil faktor-faktor lahiriah semata-mata. Tidak pada factor rohaniah yang menjadi subjek nilaian, perhatian dan pemantauan Allah s.w.t. hasilnya, masa terus berlalu dan segalanya masih sukar, sulit dan serba tak menjadi.
Demi Allah! Sungguh menakjubkan, bagaimana seseorang manusia mendapati pintu-pintu kebaikan dan kemaslahatan tertutup rapat bagi dirinya. Jalannya sebelum itu amat mudah baginya. Benarkah yang ia langsung tidak tahu-menahu dari sumber manakah yang membiakkan segala kesukarannnya?
Dosa dan maksiat, itulah sebab tersungkurnya kita dalam menghadapi kehidupan di dunia ini. Sukar yang terjadi bukan kerana bukan kerana sesuatu kerja itu sukar akan tetapi palitan dosalah yang bertindak menyukarkannya. Susah yang berlaku bukan kerana sesuatu urusan itu susah, sebaliknya kumbahan maksiat dirinya yang sarat melimpahnya segala najis dan sampah sarap kesusahannya itu. Kenapa manusia masih sombong untuk mengaku dan tunduk pasrah kepada Allah dan dirinya sendiri bahawa dosa dan kederhakaannyalah yang menjadi asbab kepada segala kesukaran dan kesulitan yang tidak bertepi ini. Betapa berlepas tangan al-Khaliq daripadanya.
Firman Allah : “Dan… apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka ia disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri..” (as-Syura : 30)
Firman Allah lagi : “(Azab) yang demikian adalah disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri dan Allah sekali-kali tidak menganiaya hamba-hambaNya”. (al-Imran : 182)
Namun, bukan semua jenis manusia akan terheret ke dalam kancah kesusahan dan kesukaran yang bukan kafarah ini! Ia cuma putaran malapetaka yang hanya akan menghambat dan memburu ahli maksiat dan si pelaku dosa yang terus-menerus kekal melakukannya.
Orang bertaqwa insyaAllah, tidak akan menghadapi igauan buruk sedemikian. Allah menjamin tidak akan mempersia dan membiarkannya seorang diri. Sekiranya ia menghadapi kesusahan dan kesukaran sekalipun, pasti Allah akan memudah dan meringankan untuknya.
Kesedaran terhadap perkara ini harus ada dalam setiap diri kita. Jika tidak, kita akan menghadapi stress (tekanan yang melampau) hingga membawa kepada mudarat yang membinasakan. Sangka kita, tekanan-tekanan itu berpunca dari soal-soal lahiriah semata, rupanya ia terhasil dari dosa-dosa kita kepada Allah dan sesama manusia. Sekiranya kita tidak sedar hakikat ini kita akan terus-menerus terkurung dan terperangkap dalam penjara yang kita bina sendiri. Bagaimana sikap kita apabila banyak kerja yang kita lakukan serba tidak menjadi serba semakin berterabur? Apakah sebab-sebab teknikal akan terus kita jadikan sebagai alas an untuk kesekian kalinya?
Tidak syak lagi, factor terpenting dalam apa jua urusan dan kerja, adalah factor manusia itu sendiri. Sekiranya sudah dikenal pasti tiada masalah pada subjek teknikal seperti soal system, modal dan prasarana, maka kembalilah merujuk kepada masalah manusianya. Bukankah telah menjadi pengalaman rohani kita semua, “Apabila dosa melingkari diri, semua kerja tidak menjadi”. Justeru, kejernihan batinnya perlu dipulih dan dikembalikan dengan taubat dan istighfar. Inilah syarat utama yang dibentangkan Allah lah-Rahman. Syarat yang tidak berubah sampai bila-bila.
Firman Allah s.w.t : “Maka barangsiapa bertaubat sesudah ia melakukan kezaliman (kejahatan) itu dan memperbaiki dirinya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya”. (al-Maidah : 39)
SUMBER : Majalah ANIS