Tuesday, March 8, 2011

Hidup perlukan kasih sayang

 

image

KISAH yang dipaparkan minggu ini memang sesuai dibaca oleh kaum wanita dan jadikan iktibar, kerana ia merupakan luahan hati, perasan dan curahan rasa seorang suami terhadap isterinya dan kehidupan yang dilaluinya selama ini.

Dalam e-mel pendek yang dihantar oleh Affandi kepada penulis, dia lebih senang berjumpa dan bercerita daripada menulis. Kerana dia mahu apa yang disuarakan itu ikhlas dari hatinya sendiri.

Namun bukan mudah Affandi melahirkan dengan kata-kata, setelah memusing ke kiri ke kanan barulah apa yang ingin diceritakan terlantun keluar. Bagaimanapun katanya, perasaannya ini terpaksa dipendamkan di lubuk hatinya. Dia tidak mahu rumah tangganya runtuh, kerana dia amat sayangkan anak-anaknya.

Untuk tidak membuang masa, ikuti cerita Affandi. Katanya, perasaan orang lelaki tak sama seperti kaum wanita yang suka bercerita pada orang lain dan menagih pendapat, atau mungkin mencurahkan isi hati mereka tetapi kepada kebanyakan lelaki mereka lebih suka menyimpan segala-galanya dalam hati dan kemudian apabila sudah tidak tertahan, mereka bertindak hingga sukar dikawal.

“Namun saya agak lain sikit. Saya rasa saya tidak akan bertindak keras hingga boleh merosakkan masa depan anak-anak, kerana saya sayangkan mereka dan saya tak mahu kerana perbuatan saya seorang boleh memusnahkan harapan mereka.

“Sebenarnya perkahwinan saya sekarang bukan berdasarkan cinta sama cinta, ia lebih merupakan perkahwinan yang diatur keluarga, kahwin dulu cinta kemudian. Memang benar kalau anda kata mana ada orang zaman ini berkahwin seperti saya, tetapi itulah yang terjadi. Semua ini berlaku gara-gara cinta pertama saya gagal di tengah jalan.

“Cinta pertama saya putus apabila gadis yang saya cintai setengah mati berpaling arah. Saya berkorban segala-galanya untuk dia, tetapi bila saya meminta sedikit kesabarannya dia tidak sanggup berkorban. Maklum saya tak ada kerja tetap waktu itu.

“Masa sama-sama menuntut di U dulu saya berkorban tolak tawaran ijazah kepada diploma untuk bersamanya. Lepas belajar saya dapat tawaran bekerja di utara, tetapi dia bekerja di KL. Katanya, dia tak sanggup berpisah dengan saya. Kerana sayang juga sekali lagi saya berkorban menolak tawaran kerja tersebut untuk mencari kerja di KL.

“Nak jadikan cerita terjadi gawat tahun 1987, kerja sukar didapati. Saya lakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk hidup, maklum duduk di KL kalau tak berduit memang susah. Saya buat dua kerja untuk bayar sewa rumah.

“Tahun pertama memang kekasih saya Roslah boleh sabar, masuk tahun kedua dia mula desak saya cepat cari kerja, lepas tu dia mencari alasan keluarganya desak dia kahwin segera dengan orang senegerinya, dan lamaran jejaka pantai timur itu telah pun diterima.

“Kerana cinta yang teramat, hampir setengah tahun saya jadi tak betul, kerana saya amat sayang dan kasihkan Roslah. Pada saya cinta saya tak ada pada gadis lain selain dia. Akhirnya saya buat keputusan tak mahu bercinta lagi. Kerana saya masih terdengar-dengar janjinya “sehingga luruhnya hatiku. Aku tetap mencintaimu“ kata-kata hikmatnya membuat saya merana dan akhirnya memakan diri.

“Setelah setahun bekerja tetap, keluarga mendesak supaya saya kahwin, tak guna tunggu orang yang tak sayang. Namun cinta sukar dijual beli, jiwa tetap merana, namun permintaan ibu bapa dan keluarga sukar ditolak, akhirnya setelah lebih tiga tahun merana, saya terpaksa mengikut kehendak mereka.

“Kerana calon isteri pilihan adik-beradik tentulah mereka carikan yang terbaik. Kini perkahwinan saya sudah menjangkau usia lebih 13 tahun. Anak dah tiga, yang tua dah masuk sekolah menengah rendah. Malangnya jiwa saya kosong, cinta yang dicari tidak kesampaian, isteri saya tidak tahu menilai cinta saya.

“Secara kasar memang adik-beradik dan ibu nampak saya bahagia, tetapi sebenarnya jiwa saya memberontak, bukan kesal cinta pertama yang kecundang, sebaliknya kerana saya tidak mendapat kasih sayang seorang isteri. Saya kesal tidak mencari cinta sejati, mencari orang yang benar-benar cinta dan sayangkan saya.

“Isteri saya Izan tidak ambil berat akan diri saya, tidak mencintai saya. Oleh kerana saya pandai mengurus rumah tangga, semua dia lepaskan pada saya, sampai mencuci pakaian, memasak dan berkemas rumah saya lakukan.

“Memang saya suka memasak dan berkemas rumah, tetapi sebagai suami saya mahu makan masakan air tangan isteri dan saya mahu lihat cara dia berkemas rumah, sebaliknya dia mahu saya melayan dia. Kadang tu saya pesan, tolong panaskan lauk saya nak makan balik malam nanti, dia kata ya, bila balik saya lihat dia dah tidur atas katil. Sementelah saya pandai masak, nak makan pun kena masak sendiri.

“Masa mula-mula kahwin dulu saya fikirkan dia penat, begitu juga masa anak masih kecil fikirkan biarlah saya bantu, tetapi akhirnya semua benda saya terpaksa uruskan. Masa dalam pantang sayalah uruskan rumah, jaga anak dan siapkan makan minum dia. Dia tak buat apa pun, semua tunggu saya balik pejabat bereskan.

“Sebagai suami, saya pun teringin dibelai, dipujuk dan disayangi isteri, tetapi Izan tak ambil tahu langsung. Usahkan nak masak makanan kegemaran saya, nak hulurkan air ketika saya kehausan pun susah, alasannya penat, suruh saya ambil sendiri.

“Apa penatnya kalau kebanyakan urusan rumah saya yang bereskan, dan rumah kami bukan banglo dua tingkat mungkin penat nak menyapu atau turun naik tangga. Kalau dia penat saya pun penat juga, kita sama-sama bekerja.

“Kalau isteri lain balik kerja kena ke dapur memasak, suami duduk baca paper, tapi saya turun tangan bantu ke dapur, hingga mandikan anak-anak pun saya bereskan. Kalau ikutkan rasa saya yang kecewa ini mahu saya tinggalkan rumah dan mencari cinta sejati, mencari orang yang sayangkan kita dan layan kita sebagai suami, tetapi bila lihat muka anak-anak semua perasaan yang terluka terpaksa saya telan semuanya. Saya tak mahu anak-anak menderita hidupnya kerana saya ingin mencari cinta dan kasih sayang.

“Sebenarnya jiwa saya amat sepi ketandusan kasih sayang, tetapi sampai bila saya boleh sabar? Kebimbangan saya kalau jiwa saya yang kesepian ini diisi oleh wanita lain. Saya tak mahu keluarga hancur, tetapi apa lagi boleh saya lakukan. Saya juga mahu merasa dikasihi, disayangi dan dibelai. Itulah kehendak seorang suami.

“Tak kira lelaki atau perempuan bila jiwa kosong tidak dikasihi oleh pasangannya dan ada pula orang di luar yang memahami dan tahu mengambil hatinya, sudah pasti jiwanya cepat tersentuh menjadi syahdu, bagaikan orang kehausan di padang pasir, setitik air sudah cukup bermakna dan boleh membuatnya hidup semula.

“Begitulah dengan jiwa saya yang secara kebetulan bertemu dengan seorang wanita (isteri orang) yang senasib dengan jiwa saya. Saya kehausan kasih sayang isteri, dia pula menderita kerana suami. Kami senasib, bila bertemu bagaikan api disiram minyak terus terbakar. Bermula dengan pertolongan yang sedikit akhirnya saya menyedari hati dan jiwa kami serasi kerana masing-masing kecewa.

“Salha selalu sugul ke pejabat, sering minta bantuan saya membayarkan bil dan sewa rumahnya. Saya hairan mengapa tak meminta bantuan suaminya, kata Salha, dia pasti bilnya tidak berbayar dan duitnya dihabiskan pada wanita lain.

“Bermula dari bertanya inilah saya tahu dia menderita sebab suaminya tak bertanggungjawab. Bukan setakat memasak, mengurus rumah dia mesti bereskan, dia juga terpaksa bayar bil dan sewa rumah, Sementelah gajinya lebih besar daripada suaminya.

“Saya menderita bukan dipukul seperti Salha, tetapi jiwa tertekan, bila masing-masing mencurahkan perasaan maka bersemailah kasih sayang dan cinta antara kami. Namun bukan bermakna saya nak kahwin dengannya, tetapi luka di hati ini terasa terubat, kerana ada orang yang sayang, ambil berat. Hubungan kami bersandarkan emosi dan perasaan yang kecewa bukan berlandaskan nafsu, tetapi kasih sayang dan hati.

“Namun kami sedar sampai bila kami harus macam ini. Berkongsi kasih sayang dengan isteri dan suami orang. Tapi bukan salah kami, salahnya kerana kami tidak mendapat kasih sayang di rumah daripada suami dan isteri masing-masing.

“Kata Salha, nasib dia lebih malang, bukan setakat tak dapat kasih sayang, malah lebih menderita kerana dipukul dan didera, hingga dia hampir-hampir mengalami masalah sakit jiwa. Kini setelah tujuh tahun persahabatan kami hidupnya banyak berubah kepada kebaikan, saya yang banyak membantu dia kerana kami saling berkongsi masalah. Hubungan kami setakat melahirkan isi hati masing-masing yang tertekan, tidak pernah terlanjur kepada zina, sekadar keluar makan, berpegangan tangan dan bergandingan itu adalah.

“Kami memahami masalah masing-masing kerana itu dia lebih dekat dengan saya berbanding orang lain, sebab masalah kami sama. Justeru, ada perkongsian kasih sayang antara kami. Namun Salha tetap mahu menjadi ibu dan isteri yang baik kepada keluarganya, walaupun dia dipukul dan didera psikologi, tetapi dia tetap gigih teruskan hidup demi anak-anak, sama seperti apa yang saya lakukan.

“Dalam pada itu saya tak mahu merosakkan nama baik saya kerana hubungan kami ini. Kerana saya adalah pemimpin masyarakat di kawasan perumahan saya, malah saya menjadi role-model bukan sahaja kepada masyarakat setempat, tetapi kepada adik-beradik saya mereka begitu menghormati saya kerana rumah tangga kami aman.

“Penyertaan saya dalam persatuan sukarela, belia, masyarakat, masjid dan PIBG adalah untuk mengisi hati saya yang sunyi dan kosong, kerana saya tak mahu ikutkan perasaan. Pada saya inilah saja jalan untuk mengubat hati saya.

“Bila memikirkan ini, tidak hairanlah ramai suami senasib saya beralih kasih, kahwin dua atau bercerai-berai. Kerana isteri tidak tahu membelai jiwa suami mereka. Lainlah suami yang memang mempunyai motif tertentu. Jiwa saya yang kosong tetap tidak diendahkan oleh Izan yang lebih pentingkan diri sendiri, kerana dia tahu saya tidak akan tinggalkan dia kerana anak-anak. Tapi sampai bila? Dan saya bersyukur Salha memahami jiwa saya.“ Demikian cerita Affandi tentang jiwanya yang kosong tidak dibelai oleh isterinya.

Dia pulang ke rumah hanya untuk memenuhi syarat dan menunaikan kewajipannya, tetapi hidupnya tidak bermakna. Hanya anak-anak mengubat hatinya.

Sepatah kata Affandi, dia mencari kasih sayang di luar dengan isteri orang. Padanya itu tidak berdosa kerana isteri orang ini juga menderita hidupnya, dan dialah tempat mengadu, malah dialah yang memberi kekuatan agar tidak sakit jiwa. Apa pandangan pembaca semua? Bolehkah kita membantunya?

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...