Tuesday, March 15, 2011

Kerana Dosa Diri Terhalang

 

image

Seringkali kita didorong dan dibantu Allah untuk berbuat kebaikan. Macam-macam ketaatan yang kita lakukan. Bukan saja orang lain berasa kagum, kita sendiri pun hairan. Ketika itu, hati rasa amat bahagia. Lalu kita kembalikan segunung kesyukuran pada Allah s.w.t. Siapalah kita tanpa pimpinan, dorongan dan pertolongan-Nya.

Tetapi tidakkah kita terasa apa-apa, jika pada waktu yang lain, tiada apa kebaikan pun kita lakukan? Apa jua kebaikan dan amal soleh tidak berdaya dibuat dan bagaikan terhalang. Bukan terhalang untuk tempoh sehari dua. Adakalanya ia berlanjutan berbulan-bulan dan bertahun-tahun. Hati memang rasa sebu dan sesak. Hidup tidak keruan dan ketahuan. Contohnya macam solat sunat qabliah, ba’diah dan mengisi tabung masjid, paling tidak setiap Jumaat.

Yang malangnya kita tidak rasa terpanggil untuk melihat dan mengaitkan kesan serta natijah itu dengan faktor Tuhan. Ramai di kalangan kita yang mampu merasai rahmat dan bantuan Allah, sebaliknya tidak ramai orang yang mampu untuk menghidu dan mengecam bentuk-bentuk kemurkaan Allah al-Jabbarul Muntaqim. Kita hanya melihatnya sebagai factor biasa, seperti saintis barat yang melihat sesuatu fenomena alam biasa apabila bertembung dengan keajaiban ciptaan Allah s.w.t di angkasa.

Sebenarnya factor dosalah yang menjadikan diri kita sentiasa terhalang dari berbuat ketaatan serta kebaikan. Apabila berdosa, Allah pun murka. Kerana murka kita ditinggalkan dan tidak dibantu-Nya. Apabila Allah tidak tolong kita, ketaatan yang paling kecil dan ringan pun tidak berdaya hendak kita lakukan. Kita pun tidak dipermudahkan Allah untuk membuat amal. Walhal solat sunat ini, berapa minitlah sangat. Derma RM5 seminggu apalah sangat.

Itulah analoginya dan pengalaman kita. Andainya tiada hukuman dan denda bagi setiap dosa, maka kesan dosa dalam menghalang seseorang dari melakukan ketaatan pun sudah cukup menjadi hukuman kepada pelaku dosa. Perhatikanlah, bahawa nanti satu demi satu ketaatan akan terhalang dan ‘menjauh’ dari kita.

Bagi golongan Muqarrabin, derita terhalang daripada berbuat ketaatan sudah sukup dirasakan bagai tahi bintang yang akan menimpa kepala. Terhalang dari ketaatan itu adalah satu bencana dan malapetaka besar dalam memburu cinta Yang Esa. Kenapa dan mengapa? Kerana mereka melihat setiap satu daripada ketaatan tersebut lebih berharga dan lebih bernilai dari dunia serta segala isinya. Ada di kalangan Sahabat yang tertinggal Takbiratul Ihram dalam jemaah bersama Rasulullah s.a.w, berasa amat menderita lalu telah bertindak mendermakan kebun kurmanya kepada jalan Allah. Fi sabilillah!

Justeru, mereka selalu memantau dan ‘update’ hubungan dengan Allah s.w.t. bukan sekadar itu. Bagi mereka ‘sesaat’ hati berpaling dari Allah (tidak mengingati dan mensyukurinya) sudah cukup menjadikan tubuh mereka ‘demam’. Jauh sangat kita dari sudut ini. Apa tidaknya. Sudah berbuat dosa besar pun, masih menunjuk muka ‘biasa’, masih selamba dan nampak ketawa berjenaka.

image

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...