Thursday, March 17, 2011

Kasih sayang Allah

 

image

Tanda-tanda kasih sayang Allah SWT.
1) Suka untuk bertemu yang dikasihi secara terbuka dan terang-terangan di darul salam. Tidak tergambar oleh kita bagaimana hati mengasihi seseorang melainkan suka untuk melihat dan berjumpa dengan yang dikasihi.

Apabila diketahui bahawa untuk bertemu itu tidak mungkin tercapai melainkan dengan meninggalkan dunia dan mati, maka sepatutnya ia suka untuk mati yang pastinya sudah tidak boleh dielakkannya itu. Seorang pengasih tidak merasa penat untuk bermusafir dari tanahairnya menuju kediaman kekasihnya agar dapat menatapi wajah kekasihnya. Mati itu adalah kunci pertemuan dan pintu masuk kepada penyaksian. Rasulullah s.a.w bersabda: ertinya; “Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah suka bertemu dengannya.”

2) Antara tandanya juga adalah dia mendahulukan apa yang dikasihi Allah berbanding apa yang dia kasihi secara zahir mahupun batin. Ia beriltizam dengan kesusahan amal, menjauhkan diri dari menuruti kehendak nafsu, meninggalkan sifat malas, terus menerus mentaati Allah dan bertaqarrub kepada Allah dengan amalan-amalan sunat. Sentiasa menuntut kelebihan darjat di sisi Allah sepertimana seorang kekasih menuntut kedekatan hati dengan kekasihnya. Kadangkala Allah menyifatkan mereka yang berkasih sayang ini dengan sifat ithar. Firman Allah, ertinya: “ Mereka mengasihi orang yang berhijrah kepada mereka, di dalam dada mereka tidak ada apa-apa keperluan dari apa yang mereka berikan. Mereka mengutamakan yang lain berbanding dirinya sekalipun mereka pun mempunyai keperluan sendiri.”

3) Tenggelam dalam zikrullah. Lidahnya dan hatinya sentiasa mengingati Allah. Orang yang menyukai sesuatu tentu sekali akan sentiasa mengingatinya. Oleh kerana itu antara tanda-tanda kasihkan Allah ialah suka mengingatinya (zikir), sukakan Al-Quran kalamullah, sukakan Rasulullah s.a.w serta suka apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah.

4) Kegembiraannya dengan berkhalwat dengan Allah, munajatnya kepda Allah, sentiasa mentilawahkan kitab Allah. Dia juga sentiasa melakukan tahajjud, menggunakan ketenangan dan keheningan malam untuk menghapus segala rintangan yang ada. Darjat cinta terendah adalah merasai kenikmatan berada bersama yang dikasihi dan mampu bermunajat kepadaNya. Maka sesiapa yang tidur dan berbual-bual itu lebih seronok lebih baik kepadanya berbanding munajat kepada Allah, maka bagaimanakah nasib kaih sayangnya??

5) Tidak bersedih di atas kehilangan apa-apa selain Allah. Lebih sedih dan pedih hatinya apabila berlalu setiap saat tanpa zikrullah dan tanpa mentaatinya. Selalu menghitung diri di atas kealpaan dengan mohon simpati, hisab diri dan juga taubat.

6) Merasa nikmat dengan melakukan ketaatan dan tidak merasa keberatan atau kepenatan. Kata al-Junaid; “Tanda orang yang mengasihi adalah berterusan aktiviti. Dengan syahwat fizikalnya lemah namun dengan hati dia tidak akan lemah”

7) Merahmati dan mengasihi seluruh hamba Allah. Tegas terhadap seluruh musuh Allah dan sesiapa yang mengundang kebencian Allah. Firman Allah; ertinya: “Orang-orang yang tegas terhadap kuffar dan saling merahmati di antara mereka.” Tidak menjejaskan mereka sebarang celaan manusia dan tidak ada sesuatu yang boleh mengalih mereka kepada kemurkaan Allah. Kasihnya disertai takut di bawah kehebatan dan kebesaran Allah. Ada yang mengatakan takut itu bertentangan dengan kasih.

Sebenarnya tidak betul. Malah memahami kebesaran itu akan melahirkan perasaan hebat sebagaimana menyelami keindahan melahirkan rasa cinta. Khusus bagi orang yang bercinta itu ada beberapa ketakutan pada maqam cinta. Lebih dahsyat dari itu takut terhijab cinta. Lebih dahsyat dari itu lagi adalah takut menjauhkan diri. Makna-makna ini digambarkan oleh Allah di dalam surah Hud yang telah disifatkan oleh Rasulullah sebagai telah memutihkan kepala baginda s.a.w, ertinya: “Hud telah memutihkan kepalaku.”

Ungkapan ini disebut oleh Rasulullah ketika mendengar potongan ayat, ertinya: “Alangkah jauhnya kaum Thamud. Alangkah jauhnya ahli Madyan sebagaimana jauhnya kaum Thamud”

Pemerhatian terbesar pada alamat-alamat dan sebab-sebab ini ialah kebanyakannya itu adalah perbuatan-perbuatan dalam komunikasi kemanusiaan, berkait dengan masyarakat, manusia pada kehidupan dan akhlak mereka.

Saudaraku, sama-samalah kita gapai cinta Allah yang abadi. Beriltizamlah dengan amalan-amalan fardhu dan tambahkanlah dengan bekalan-bekalan sunat. Ikutilah jejak langkah Nabi s.a.w. jadilah orang yang bermanfaat untuk orang lain. Sertai mereka dalam kehidupan mereka. Ziarahi mereka. Belanjakan untuk mereka. Berikan khidmat untuk mereka. Isikan hajat dan keperluan mereka. Masukkanlah kegembiraan dalam hati mereka.
Lakukanlah semua ini, nescaya Allah akan memanggil Jibril untuk memberitahu bahawa Dia mengasihi dirimu...

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...