Dalam Islam sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu boleh mencegah seseorang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Atas alasan ini, iblis dan syaitan itu akan memperhebatkan seseorang itu supaya tidak mendirikan sembahyang atau mendirikan sembahyang tetapi dalam keadaan tidak sempurna, mengganggunya, seperti yang saudara alami. Inilah yang dinamakan ``was was syaitan''.
Apabila seseorang itu berdiri mendirikan sembahyang, iblis sama berdiri, ikut orang itu sembahyang. Ikut rukuk ketika rukuk dan sebagainya. Ketika itu ia akan menyelinap dalam ingatan dan mendatangkan berbagai-bagai gambaran serta ingatan dalam fikiran contohnya diperingatkan kembali kerja-kerja yang belum sempurna, masalah yang sedang dihadapi, gambaran indah yang telah berlaku dan lain-lain lagi.ingatan datang menyelinap itu berlaku ketika sedang bersembahyang kerana sembahyang merupakan faktor utama yang boleh mencegah seseorang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.
Atas alasan inilah maka iblis itu datang untuk merosakkan sembahyang, tidak diterima Allah dan akhirnya menjadi sia-sia. Iblis pernah bersumpah di hadapan Allah, yang dia akan menipu manusia, menggoda dan menyesatkan kecuali mereka yang ikhlas di kalangan umat manusia.
Ibadah sembahyang memerlukan tumpuan yang lebih dan menyeluruh berbanding dengan orang yang sedang makan dan minum atau hendak tidur iaitu pada rukun qauli (yang melibatkan perkataan) dan fi'liy (perlakuan). Oleh kerana itu khayalan atau ingatan seumpama itu tidak seharusnya terjadi ketika sembahyang, tetapi ia tetap terjadi. Hal demikian menunjukkan adanya gangguan ketika seseorang itu sedang sembahyang.
Godaan syaitan yang sering terjadi ketika seseorang itu bersembahyang ialah ketika berniat, iaitu dengan mendatangkan rasa waswas yang boleh menyebabkan seseorang itu membatalkan niatnya dan mengulanginya lafaz niat beberapa kali. Selain menyebabkan tumpuan seseorang kepada pelbagai gambaran dan khayalan, iblis juga menggoda manusia dengan mendatangkan keraguan dan ketidakpastian terhadap bacaan dalam sembahyang, terutamanya dalam bacaan al-Fatihah.
rasa waswas seperti ini adalah akibat gangguan iblis dan syaitan dalam usaha merosakkan ibadah manusia. Apabila keraguan itu timbul, seseorang itu akan lebih berusaha mengulanginya berulang kali, menyebabkan timbulnya rasa tidak yakin terhadap keseluruhan sembahyang.iblis dan syaitan itu sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan dan menahan manusia daripada melakukan kebaikan. Keturunan iblis dan syaitan yang dinamakan Thibr mengambil peranan khas untuk menggoda dan membisikkan pada manusia supaya melakukan kebinasaan, merobek dan mengoyak baju, menampar muka dan menjerit-jerit dengan teriakan seperti yang dilakukan oleh manusia pada zaman jahiliah apabila berlaku kematian.
A'war bertindak mendesak, menggoda dan mendorong manusia melakukan zina. Mabsut bertindak mendorong manusia agar sentiasa berdusta. Dasim pula sentiasa menggoda manusia supaya bersengketa dengan saudara- mara, yang menyebabkan berlakunya pergaduhan dalam keluarga, manakala Zalanbur pula sentiasa berlegar-legar di pasar, merangsang manusia agar melakukan penipuan, sentiasa menipu timbang, nilai barang, ingkar janji, menyorok barang untuk menaikkan harga dan sebagainya.
Imam Muslim dalam sahihnya daripada hadis Uthman bin Abdul Asy menyatakan. Aku telah bertanya kepada Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah menghalangi antaraku dengan sembahyangku, mengelirukan sembahyangku.
Rasulullah menjawab: Itu adalah perbuatan syaitan yang dinamakan khinzab.Kerana itu, apabila engkau merasakan berlaku gangguan, engkau hendaklah berlindung kepada Allah daripada gangguannya dan tiup di sebelah kiri tiga kali. Aku telah melakukan apa yang disuruh oleh baginda. Maka Allah telah menghilangkan rasa waswas itu daripada sembahyangku.
Selain itu, gangguan iblis dan syaitan juga sering berlaku ketika seseorang itu sedang mengambil air sembahyang. Dalam sebuah hadis dijelaskan: Bagi wuduk itu ada satu kumpulan syaitan dinamakan al-Wilhan, maka berhati-hatilah.Akibat daripada gangguan makhluk jenis ini, seseorang itu boleh terganggu akibat waswas yang menyelinap dalam dirinya, menyebabkan orang yang berkenaan mengulangi bacaan niatnya berkali-kali, membasuh anggota wuduk berkali-kali, terasa air tidak sampai pada kulit anggota wuduk, tidak tiba pada hujung dahi, tepi telinga dan sebagainya. Terasa juga air tidak sampai pada celah-celah kuku dan sebagainya. Semuanya itu berlaku akibat daripada waswas syaitan yang boleh menyebabkan seseorang itu mengambil wuduk hingga basah dan mengambil masa yang begitu lama.