Friday, April 29, 2011

Banyak berselawat lebih dekat dengan Nabi

 

BANYAK hadis yang menyatakan bahawa faedah atau kelebihan berselawat kepada Nabi Muhammad saw. Ramai juga ulama yang menyusun kitab dan risalah khas untuk menerangkan faedah yang ternyata daripada hadis itu.

Jelasnya sesiapa yang berselawat kepada Nabi Muhammad, maka dapatlah dia menerima:

Berganda-ganda rahmat yang dilimpahkan Allah kepadanya. Rahmat Allah adalah satu perkara yang sangat dikehendaki dan yang sungguh-sungguh dipohon oleh setiap mukmin. Hal ini kerana sebarang nikmat – ilmu pengetahuan, anak pinak, harta benda, pengaruh dan kebesaran – kalau tidak disertai oleh rahmat Allah, akan menjadi ’niqmat’ dan ‘bala’ bencana. Oleh sebab itu, Tuhan menyuruh kita bergembira dengan rahmat kasih sayang-Nya saja. (Surah Yunus, ayat 58).

Tempat yang berhampiran Nabi Muhammad, pada hari kiamat kelak di mana saja Baginda berada.

Keutamaan beroleh syafaat khas daripada Nabi Muhammad pada hari kiamat.

Doa selawat malaikat yang sentiasa berselawat kepadanya selama dia berselawat kepada Nabi Muhammad.

Jaminan terpelihara dan terselamatnya daripada segala apa yang mendukacitakan dan membimbangkannya daripada perkara dunia dan akhirat.

Habuan yang menyelamatkan dia daripada ditimpa keburukan yang menimpa orang yang tidak berselawat kepada Nabi Muhammad yang disebutkan terdahulu.

Semuanya di atas, kecuali faedah atau kelebihan terakhir, ditegaskan oleh hadis berikut:

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali selawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmizi, Abu Daud, Nasa'i, Imam Ahmad dan Ibn Hibban)

Daripada Anas bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia...” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Dari Ibn Mas'ud, bahawa Rasulullah bersabda: “Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Daripada `Amir bin Rabi'ah bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat, sentiasalah malaikat berdoa untuknya selama dia berselawat kepadaku.

“Oleh itu, terpulang kepada seseorang sama ada dia hendak berselawat sedikit atau banyak.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah)

Daripada Ubai bin Ka ab, katanya: ...”Ya Rasulullah. Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak peruntukkan masa berselawat bagi tuan, maka sebanyak mana yang elok aku peruntukkan?”

“Baginda menjawab: “Sekadar mana yang engkau suka.”

Aku berkata: “Aku hendak peruntukkan sesuku daripada masaku.” Baginda bersabda: “Sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu.”

Aku berkata: “Kalau begitu aku peruntukkan setengah daripada masaku.”

Baginda bersabda: “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu.”

“Aku berkata: “Kalau demikian. Aku peruntukkan dua pertiga daripada masaku.”

Baginda bersabda: “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu.”

Aku berkata: “(Kalau begitu. Aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan.”

Baginda bersabda: “Jika demikian, terpelihara dan terselamatlah engkau daripada apa yang mendukacita dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu...” (Hadis riwayat at-Tirmizi, Imam Ahmad dan al-Hakim)

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...