Friday, April 29, 2011

Air - Anugerah Allah yang unik

 

image

SECARA saintifiknya, kejadian air terhasil daripada proses pemejal-wapan molekul-molekul hidrogen dan oksigen di muka bumi oleh matahari, yang menghasilkan awan hitam yang tebal di ruang angkasa.

Apabila ikatan molekul hidrogen dan oksigen ini menjadi berangkai atau berat, maka terjadilah hujan yang kita lihat hari ini.

Begitu juga salji, proses saintifik yang sama dilalui, hanya perbezaan suhu di bawah setakat 0 darjah celsius atau lebih dikenali di bawah setakat beku yang mengakibatkan molekul hidrogen dan oksigen yang bercantum itu turun secara membeku.

Walaupun bagi negara-negara yang dituruni salji ini jarang kelihatan matahari di tempat mereka, namun peredaran angin dan udara itu mengakibatkan pengumpulan awan terjadi di tempat lain dan berarak ke suatu kawasan yang akhirnya ia jatuh sebagai salji.

Tiadakah engkau tahu, bahwa Allah menghalau awan, kemudian menjadikannya bertompok-tompok, lalu engkau lihat hujan turun dari celah-celahnya. Allah menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung yang sejuk, lalu Allah menumpahkan air itu kepada orang yang dikehendaki-Nya dan menjauhkannya daripada orang yang dikehendaki-Nya. Cahaya kilatnya hampir menyambar pemandangan manusia. (An-Nur : 43).

Begitulah kajian saintifik yang selalu dikaitkan dengan apa jua kejadian yang berlaku ke atas muka bumi ini.

Namun yang lebih penting bagi kita manusia, apapun kejadian dan hukum alam ini adalah satu ibrah yang perlu difikirkan bersama untuk kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah s.w.t. yang mengaturkan setiap kejadian alam ini.

Mari kita merenung sejenak kepada tiga teras utama dunia; air, tanah dan udara yang merupakan kaitan yang besar dengan kejadian manusia.

Air adalah proses pembenihan insan, tanah merupakan asal kejadian dan udara ialah oksigen yang membantu pernafasan manusia, tiga faktor utama antara dunia atau bumi dan manusia.

Meskipun kita mengetahui bahawa cakerawala ini terdiri daripada beberapa buah planet, namun manusia dan kehidupan mampu hidup di Planet Bumi, iaitu salah satu planet yang mempunyai tiga asas kejadian ini.

Kajian terperinci banyak dilakukan oleh pihak Barat mengenai kesahihan wujudnya kehidupan di planet-planet yang lain, namun sebagai umat Islam, sejarah kewujudan makhluk bernama manusia dan insan hanya wujud di alam yang bernama bumi ini.

Air dan tanah dizahirkan kepada manusia dengan cara kita dapat melihat dan merasainya. Namun bagi udara, ia hanya dapat dihirup tanpa dapat kita melihat dan merasainya.

Itulah uniknya kejadian alam yang kadang-kala kita sendiri tidak pernah memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah itu.

Air merupakan satu limpah kurnia Allah Maha Kaya yang tidak terhingga nilainya kepada manusia. Bumi yang dijadikan-Nya mengandungi 70% air, sama juga peratusannya di dalam badan setiap manusia.

Dan Dia yang menjadikan manusia daripada air, lalu Dia menjadikan manusia itu (mempunyai) keturunan dan hubungan saudara. dan adalah Tuhanmu Maha Kuasa. (Al-Furqan : 54)

Namun apabila manusia meninggal dunia, akan kembalilah ia kepada asal kejadiannya, iaitu daripada tanah, sebagaimana kejadian pertama manusia, Nabi Adam a.s.: Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada tanah, kemudian daripada air mani, kemudian daripada segumpal darah, kemudian daripada sepotong daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, supaya Kami terangkan kepada kamu. Dan Kami tetapkan dalam rahim apa yang Kami kehendaki hingga waktu yang ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu menjadi sebagai bayi, kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampai kepada kedewasaan. Dan antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) antara kamu yang dipanjangkan umurnya sehingga pikun supaya ia tiada mengetahui lagi sesuatupun yang telah diketahuinya.Dan kamu melihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan pelbagai macam tumbuhan yang indah. (Al-Haj: 5)

Pastinya udara atau lebih saintifiknya oksigen yang dihirup setiap saat itu merupakan penyebab kepada kehidupan manusia. Jantung berfungsi mengepam darah di dalam tubuh manusia dan dengan adanya oksigen di dalam badan, maka selagi itulah manusia bernyawa.

Manusia menghirup oksigen dan menghasilkan karbon dioksida. Sedangkan tumbuh-tumbuhan pula proses pengudaraannya adalah sebaliknya, iaitu ia memerlukan karbon dioksida dan menghasilkan oksigen yang diperlukan manusia.

Itulah kepentingan dan hubung kait antara manusia dan tumbuh-tumbuhan yang bukan sahaja bermanfaat sebagai sumber pemakanan tetapi yang penting adalah pertukaran sistem pengudaraan yang diperlukan oleh manusia.

Tidakkah mereka melihat ke bumi, berapa banyak Kami tumbuhkan bermacam-macam tumbuhan yang baik di atasnya? Sesungguhnya tentang demikian itu, menjadi ayat (tanda kekuasaan Allah). Tetapi kebanyakan mereka tidak mahu beriman. (Asy-Syuara : 7 -8).

Kalau dunia hari ini digerunkan oleh tahap lapisan ozon atau lapisan pengudaraan oksigen di ruang angkasa dunia yang semakin tipis, maka secara saintifiknya dapat kita fikirkan mengapa ia terjadi?

Namun yang lebih penting bagi kita umat Islam, bahawa dunia yang dijadikan Allah ini pastinya akan sama dengan peredaran kejadian manusia yang akhirnya akan punah dan binasa.

Penulis tertarik untuk berkongsi pengalaman ketika meredah bumi-Nya yang luas, yang mempunyai bentuk geografi yang berbeza-beza antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Pastinya bagi kita di Malaysia, sumber-sumber air itu terdapat di merata-rata kawasan. Sungai-sungai bersimpang siur tanpa pernah kering. Hujan merupakan perkara lumrah bagi kita.

Namun bagi negara-negara yang kurang sumber air, air laut yang masin disuling dan dijadikan bahan minuman.

Jangankan sungai, parit-parit kecil di tepi jalan juga tidak kelihatan di sesetengah bandar. Jalan-jalan raya menjadi laluan air ketika musim hujan.

Kadang-kala bagi negara-negara yang menerima hujan bermusim, sungai-sungainya kering kontang pada musim panas. Tetapi apabila turun hujan, berlakulah banjir besar yang banyak meragut nyawa manusia.

Ada pula sesetengah kawasan, meskipun tiada hujan yang turun, namun akibat salji yang mencair di kawasan pergunungan atau bahagian-bahagian tanah tinggi mengakibatkan berlakunya banjir di hilir-hilir sungai. Begitulah kejadian yang sungguh unik untuk kita renungi bersama.

Dan inilah yang penulis temui apabila menziarahi makam Nabi Ayub a.s. di Salalah, Oman yang letaknya kira-kira 1,800km ke barat bandaraya Muscat dalam pengembaraan memasuki Yemen.

Teringat beberapa ayat di dalam al-Quran:

Ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya : Sesungguhnya aku diganggu syai-tan dengan kesusahan dan seksaan (penyakit yang disebabkan oleh syaitan). (Firman Allah kepadanya): Pukullah (hentaklah) kakimu, (lalu terbit mata air). Inilah air yang sejuk untuk mandi dan minum (penyembuh penyakit). (Shaad : 41-42).

Jika dilihat pada kedudukan di atas bukit yang tanahnya tandus dan kering, pastinya tahap ketinggian air bawah tanah tidak tercapai.

Namun atas kebesaran Allah, terpancarlah mata air sebagaimana yang diterangkan pada ayat di atas.

Begitu juga ketika laluan di beberapa buah negara di sebelah selatan Semenanjung Arab dan Utara Afrika, meskipun tanahnya kering, sesekali kelihatan rimbunan pohon-pohon kaktus yang tumbuh di celah-celah batu.

Apa yang menariknya ialah pohon-pohon kaktus ini menghasilkan buah yang banyak ketika musim panas.

Buah-buah kaktus ini jika dimakan akan terasa sejuk kandungan airnya hingga ke perut.

Begitulah keseimbangan yang dihasilkan oleh buah kaktus dengan tubuh manusia ketika musim panas di negara-negara tersebut.

Begitu uniknya ciptaan Allah untuk hamba-Nya dalam ilmu kesihatan yang pastinya ia dapat mengelakkan daripada berlakunya kekurangan kandungan air dalam badan.

Berbalik kepada buah kaktus itu sendiri, penulis tertanya-tanya jua bagaimana pada musim panas dan di kawasan yang kering, pohon yang berduri itu dapat menghasilkan buah yang tinggi kandungan airnya?

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya : ``Jadilah!'' Maka terjadilah ia. (Yasin : 82).

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...