Monday, April 4, 2011

Mencari nikmat abadi

 

image

SESUNGGUHNYA kebahagiaan di dunia ini adalah bersifat sementara. Bahagia dengan pangkat besar, rumah mewah dan sebagainya hanya bagi tempoh terhad. Orang yang dilimpahi nikmat kekayaan juga akan berakhir dengan mati.Dalam hal ini Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia) bahawa kehidupan dunia sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit. Maka menjadi subur kerananya tumbuhan di muka bumi. Kemudian tumbuhan itu menjadi kering dan diterbangkan angin. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Al Kahfi: Ayat 45)

Islam amat menggalakkan umatnya berusaha bagi mencari kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat. Rasulullah S.A.W juga menganjurkan kita supaya sentiasa berdoa seperti yang terdapat dalam Al Quran yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami berilah kami kebaikan di dunia dan akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.”
(Surah Al Baqarah: Ayat 201)

Para ulama mentafsirkan kalimah hasanah dunia dan hasanah akhirat dengan pengertian berikut:

Kesihatan badan dan jiwa.

Ilmu yang bermanafaat.

Amalan yang soleh.

Keimanan yang teguh.

Ikhlas beramal dan mendapat keredaan Allah.

Disenangi umat manusia.

Hidup bahagia dengan rezeki dan harta.

Rumah tangga yang bahagia dan mendapat anak yang soleh.

Selamat dari seksaan kubur.

Dapat masuk syurga dengan segala kenikmatan yang abadi.

Islam memperingatkan sesiapa yang hanya mencari kebahagiaan dunia akan hilang kenikmatan itu kerana ia bersifat sementara. Keadaan ini jelas dinyatakan Allah dengan Firman-Nya yang bermaksud:

“Kesenangan di dunia ini hanya sementara dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa dan Kami tidak akan anianya sedikit pun.” (Surah an Nisa’: Ayat 77)

Sesungguhnya kebahagiaan di dunia dan akhirat boleh dicapai dengan berpegang teguh dan yakin kepada tuntutan al-Quran dan sunnah rasul yang menjadi pedoman hidup manusia sama ada untuk dirinya,keluarga, jiran dan masyarakat.

Al-Quran berulang kali memperingatkan keimanan yang teguh serta amalan soleh dan ikhlas kepada Allah yang dapat memberi kebahagiaan abadi.

Keadaan ini jelas kalau kita perhatikan Firman Allah yang bermaksud:

“Barang siapa mengerjakan amal soleh, lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
(Surah An Nahl: Ayat 97)

Untuk mendapat kebahagiaan abadi, kita perlu mengamalkan prinsip-prinsip berikut:

Menjadikan diri orang yang baik dan patuh kepada segala perintah Allah. Kita hendaklah bersikap ramah dalam pergaulan, gembira dan bersyukur atas segala nikmat dan tidak berdendam serta bersabar atas qada dan qadar.

Bersungguh-sungguh mengerjakan ibadat siang dan malam agar mendapat keredaan Allah dalam kehidupan.

Menjauhkan diri daripada sifat munafik, noda dan dosa yang menyebabkan masuk neraka di akhirat kelak.

Bersifat murah hati menderma dengan mengeluarkan harta atau sedekah, tidak kikir. Firman Allah s.a.w bermaksud: “Dan belanjalah (harta benda mu) di jalan Allah dan janganlah kamu men jatuhkan diri sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.”
(Surah Al Baqarah: Ayat 195)

Mentauhidkan Allah iaitu mengesakan-Nya tanpa syirik kepada-Nya dengan segala yang lain. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.” (Surah Al Baqarah: Ayat 163)

Menjauhi zina kerana ia perbuatan mungkar, keji dan hina serta terkutuk dan berdosa besar. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu perbuatan keji dan suatu jalan
yang buruk.” (Surah Al Israk: Ayat 32)

Tidak membunuh iaitu tidak membunuh terhadap diri sendiri dan terhadap orang lain yang halal darahnya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah, melainkan dengan hak. Dan barang siapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah berikan kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli itu melampau batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang ang mendapat pertolongan.” (Surah Al Israk: Ayat 33)

Sesungguhnya kebahagiaan selalunya datang secara kebetulan saja. Kebahagiaan bukan seperti sebuah rumah yang dapat dibangunkan dengan tangan. Kebahagiaan itu
laksana lagu merdu yang didengari ketika sedang memanjat tanah tinggi dan apabila turun dari sebelah sana bunyi itu akan lenyap dari telinga kita. Dan hidup bahagia yang abadi ialah hidup yang diredai Allah dan Rasul-Nya serta disenangi semua manusia.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...