Monday, April 4, 2011

Selat Gibraltar laluan Islam sebarkan dakwah ke Eropah

 

image

SELAT Gibraltar adalah laluan terpenting kapal dagang yang berulang alik antara Laut Atlantik dan Mediterranean.

Difahamkan, lebih 70,000 kapal menggunakan selat itu setiap tahun. Di sebalik kepesatan pengangkutan di Gibraltar, tersingkap pelbagai peristiwa silam yang menjadi bukti kedatangan Islam di bumi Eropah. Kisahnya bermula apabila 500 tentera Islam pimpinan Abu Zurah Bin Malik al-Nakha Ei atau lebih dikenali Tarif menyeberangi selat berkenaan untuk ke Sepanyol. Diriwayatkan, gerombolan tentera Islam dibantu Gabenor Visigoth, Julian. Julian pada mulanya bersama-sama Raja Visigoth, Roderick tetapi berpaling tadah disebabkan Roderick mencabul anak perempuannya, Florinda. Selepas mendarat di selatan Sepanyol, tentera Tarif yang berketurunan Barbar terus ke Algeciras. Di situ mereka bertempur dengan tentera Visigoth. Dalam peperangan, kemenangan berpihak kepada Islam. Perkara itu amat merisaukan pemimpin kerajaan Visigoth yang sudah menakluki Semenanjung Iberia sejak 414 masihi. Kemaraan tentera Islam kian meluas di Sepanyol. Pada 711 masihi, Gabenor Afrika Utara, Musa Bin Nusair menghantar Tariq Bin Ziyad bersama-sama 7,000 tentera ke Sepanyol. Julian yang berdendam dengan Roderick sekali lagi membantu tentera Islam termasuk membantu menyediakan kapal untuk menyeberangi Selat Gibraltar. Bagaimanapun, berita itu sampai kepada Roderick, lalu beliau terus menghantar tentera bagi menyekat kemaraan tentera Islam. Namun, tentera pimpinan Tariq tetap hebat dan berjaya menewaskan tentera Visigoth. Dalam peperangan itu juga, Roderick terbunuh. Kemenangan ini melebarkan lagi dakwah Islam di bumi Sepanyol. Malah, ia membolehkan Tariq Bin Ziyad membawa risalah tauhid ke Cordoba. Untuk Cordoba, kemaraan mereka pada mulanya ditentang hebat tentera Visigoth di Ecija. Tentera Islam kemudian dibantu kaum Yahudi yang tidak sukakan corak pemerintahan Visigoth dan akhirnya berjaya mengalahkan Visigoth. Kemenangan ini membolehkan Islam bertapak di Toledo dan Cordoba yang pernah menjadi pusat pemerintahan Visigoth. Berikutan sambutan dan sokongan penduduk tempatan, Musa Bin Nusair terus memperhebatkan perkembangan Islam di Sepanyol. Pada 712 masihi, 18,000 tentera Islam berketurunan Arab dihantar ke Seville. Setahun selepas itu, dakwah Islam turut disebar ke Wilayah Madrid. Tidak hanya di bumi Andalusia, tentera Islam juga mahu menakluki Perancis. Usaha itu dilakukan Abdul Azizi, Gabenor Afrika Utara yang menggantikan Musa Bin Nusair. Bagaimanapun, dalam pertempuran di selatan Perancis, Abdul Azizi terbunuh. Tragedi itu menyebabkan tentera Islam berundur ke ke Narbonne bagi mengatur strategi baru. Difahamkan, tentera Islam menjadikan Narbonne benteng terakhir mereka. Tirai kegemilangan Islam di Sepanyol, bagaimanapun, tamat menjelang kurun ke-13 selepas tentera Castile pimpinan Ferdinand menakluk Cordoba. Faktor utama kemerosotan empayar Islam di situ adalah masalah dalaman, di samping sikap pemimpin Islam yang berbalah sesama sendiri dan suka mengumpul kemewahan. Keadaan ini memberi ruang kepada tentera Castile menawan kembali Cordoba, sekali gus menamatkan penaklukan 525 tahun pemerintahan Islam di Cordoba. Ketika zaman kegemilangan Islam, diriwayatkan Cordoba memiliki hampir 1,000 masjid, 800 hamam atau tempat mandi awam, 70 kutub khanah (perpustakaan) dan beberapa universiti.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...