Tuesday, March 1, 2011

Ibadat mudah,tapi ganjaran besar

 

image

Al-QURAN adalah kitab cukup hebat diturunkan kepada manusia dan menjadi sumber rujukan terpenting sepanjang zaman.
Rasulullah s.a.w dalam banyak hal mengingatkan kita melalui hadis baginda mengenai kepentingan berpegang teguh dengan kitab Allah itu.

Ketika khutbah Haji Perpisahan, Rasulullah berucap (seperti diriwayatkan Al-Hakim bersanadkan Ibnu Abbas): “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian (satu peninggalan berharga), seandainya kamu berpegang dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”

Hadis itu memberi pengertian yang cukup jelas mengenai kepentingan mendekati al-Quran dan ajaran peninggalan Rasulullah serta berpegang teguh kepadanya.

Wahyu Allah itu mukjizat yang berkekalan sehingga Hari Kiamat. Allah menempatkan pelbagai mutiara ilmu tersurat dan tersirat di dalamnya seperti diperkatakan Imam Suyuti di dalam kitabnya ‘Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran’.

Selain itu, Allah memuatkan dalam al-Quran dengan syariat, pengajaran, penawar kehidupan dunia dan akhirat serta rahmat buat golongan yang beriman.

Firman Allah, maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu (al-Quran) pengajaran daripada Tuhanmu, penyembuh buat hati manusia, petunjuk dan rahmat buat golongan yang sebenar-benar beriman.” (Surah Yunus: 57)

Sebagai mukmin yang mengaku beriman kepada Allah, kita sewajarnya berusaha mendekati al-Quran kerana ia bakal menjadi sahabat setia di akhirat kelak kepada sesiapa yang mengenali, mendekatinya dan beramal dengannya.

Rasulullah berkata: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat bagi penatapnya.”

“Orang yang diberi kepada mereka kitab, mereka sudah membaca dengan sebenar-benar bacaan, maka mereka golongan yang beriman dengannya dan bagi mereka kufur terhadapnya, maka mereka golongan yang rugi.” (al-Baqarah: 121)

Menurut ahli tafsir, yang dimaksudkan dengan ‘sebenar-benar bacaan’ ialah membaca al-Quran dan memahami kehendak ayat yang dibaca.

Dalam memupuk minat menghayati al-Quran, mari kita merenung bagaimana situasi, pengamatan dan contoh yang ditunjukkan sahabat.
• Abdullah bin Mas’ud sering membaca al-Quran di hadapan Rasulullah dan baginda pernah menangis apabila Abdullah membaca ayat 41 surah al-Nisaa’ lantaran terharu dengan maksud ayat berkenaan.
• Zaid bin Thabit terkenal sebagai seorang penulis wahyu, penghafal al-Quran dan panel semakan yang terkenal di kalangan sahabat.
• Ummu Salamah dapat menghurai dengan terperinci cara bacaan Rasulullah.
• Ubay bin Kaab menangis ketika Rasulullah membacakan ayat pertama surah Al-Baiyyinah di hadapan beliau.
• Saidina Ali mengetahui bukan sekadar kedudukan ayat di dalam al-Quran, malah beliau mengetahui secara mendalam sebab penurunan ayat dan tempat diturunkan ayat al-Quran.
• Saidina Umar tertarik memeluk Islam selepas terdengar bacaan ayat al-Quran daripada surah Taha.
• Rasulullah terpesona dengan kelunakan suara Abu Musa al-Asyaari dan memuji suaranya umpama suara Nabi Daud a.s.

Demikian secebis daripada ribuan kisah sahabat yang begitu mencintai al-Quran. Umat Islam akan diberi kekuatan dan rahmat sekiranya membaca, mentadabbur (mengamati) dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Membaca al-Quran adalah ibadat yang paling mudah berbanding ibadat sunat lain. Berdasarkan sabda Rasulullah seperti termaktub dalam ‘At-Tibyan Fi Adab Hamalah al-Quran’, amalan membaca al-Quran adalah penyumbang pahala paling agung di akhirat nanti.

Berikut sebahagian daripada maksud dan pengertian hadis mengenai keistimewaan yang bakal diraih pembaca al-Quran:
• Membaca satu huruf sudah mengundang 10 gandaan pahala (Riwayat Tirmidzi). Menurut Imam Majah setiap huruf disediakan lipatan pahala sehingga 400 pahala dan menurut Ibu Jauzi akan digandakan sehingga 700 pahala.
• Menyucikan diri dan hati daripada noda maksiat. (Riwayat Baihaqi)
• Hati yang tidak diisi dengan ayat al-Quran umpama rumah kosong. (Riwayat Tirmidzi, al-Darimi dan Hakim)
• Penghafal al-Quran dapat membebaskan 10 orang ahli keluarganya dari neraka. (Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Darimi)
• Tingkatan syurga juga dinilai berdasarkan reputasi pembacaan al-Quran. Seorang yang banyak membaca al-Quran mendapat tingkatan lebih tinggi dalam syurga. (Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Abu Daud, Nasaii, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
• Waris kepada anak yang menghafal al-Quran akan dianugerahi mahkota khas dalam syurga. (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)
• Memperoleh ‘nur’ (kebahagiaan dan cahaya) di dunia dan bekalan bermanfaat di akhirat. (Riwayat Ibnu Majah)
• Al-Quran menjadi penolong dan penghujah. (Riwayat Ibnu Hibban dan Hakim).
• Satu ayat yang dibaca dengan tadabbur lebih baik daripada 100 rakaat solat sunat. (Riwayat Ibnu Majah)
• Seorang yang membaca 10 ayat pada malam hari tidak tersenarai dalam golongan yang lalai. (Riwayat Hakim)

Berdasarkan hadis tadi, Allah akan memberikan ganjaran yang tidak terhitung nilainya terhadap amalan penghayatan al-Quran.

Dalam ‘Himpunan Hadis dan Athar Yang Menerangkan Kelebihan Surah al-Quran’ karangan seorang alim al-Azhar, Dr Ibrahim Ali As-Sayyid Ali Isa, mengetengahkan dalam karya itu kelebihan ayat dan setiap surah yang disediakan Allah khas buat pembaca al-Quran.

Sekiranya kita meneliti sejarah ulama, mereka amat gigih membaca al-Quran demi mencapai kelebihannya.

Misalnya, Imam Shafie khatam al-Quran sehari sekali, Imam Warash sanggup meninggalkan tanah airnya, Sepanyol, untuk berhijrah ke Madinah seketika demi mempelajari dan membaca al-Quran bersama gurunya Imam Nafi’ dan Khalifah Umar Abdul Aziz melazimi membaca al-Quran sebelum tidur.

Marilah kita kembali kepada pangkuan al-Quran. Pastikan keluarga, orang bawahan dan masyarakat secara amnya, mempratikkan perkara ini, mudah-mudahan Allah memberikan ganjaran baik kepada kita, iaitu membaca al-Quran, mendalami ilmunya seperti tafsir dan ulum al-Quran, mempelajari tajwid dan paling penting mengamalkan kandungannya.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk beramal dengan wahyu Ilahi ini dan menurut kitab ‘Fadhail al-Quran’ karangan Maulana Muhammad Zakaria, pengamatan dan pembudayaan al-Quran mencetuskan naijah positif.

Antaranya, melahirkan insan istimewa, jiwa yang tenang, menjadi pelindung daripada syaitan dan penjamin keselamatan, mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat, mendapat reda Allah, mendapat sumber keindahan, kebahagian dalam kehidupan dan terjamin rezeki.

Penghayatan al-Quran bererti kita menunaikan tuntutan agama. Malangnya dewasa ini umat Islam semakin jauh daripada Kitabullah. Ramai tidak tahu membacanya. Lebih malang mereka tidak berusaha mempelajarinya.

Mudah-mudahan Allah mendorong tindakan kita ke arah mendekati al-Quran demi merealisasikan kebahagiaan dunia dan akhirat.

“Sebaik-baik kamu ialah seorang yang mempelajari al-Quran dan menyampaikan kepada orang lain.” Renungilah sabda Rasulullah ini.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...