Ketahuilah sesungguhnya tiada manusia yang maksum di muka bumi ini kecuali Nabi dan sesungguhnya perbuatan mencari-cari kesalahan orang lain lebih-lebih lagi dengan cara mengintip (maksiat peribadi) adalah dilarang dalam Islam, seperti yang diamalkan majoriti sekarang.
Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din. telah menyebut mengenai rukun-rukun pelaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud pelaksanaan Al-Amr bi Al-Ma‘ruf (menyuruh kepada kebaikan) apabila jelas ia ditinggalkan, dan Al-Nahy ‘An Al-Munkar (pencegahan kemungkaran) apabila jelas ia dilakukan. Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Taala telah melarang hal ini. Kisah Umar dan Abdul Rahman bin Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab Al-Suhbah (Adab-adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar.
Lelaki tersebut telah membantah Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara.” Umar bertanya: “Apa dia?” Dia berkata: “Allah Taala telah berfirman maksudnya: ‘Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain’. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman maksudnya: ‘Masukilah rumah melalui pintu-pintunya’. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman maksudnya: ‘Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya’. Sesungguhnya engkau tidak memberi salam.” Maka Umar pun meninggalkannya. Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut.” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).
Yusof Al-Qaradawi telah menyebut perkara yang hampir sama. Beliau dalam bukunya Min Fiqh Al-Daulah fi Al-Islam telah menyatakan:
“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintip atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya.” Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat.
Hisab ini bukan menjadi sewenangnya seseorang di dunia, sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya, bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih yang bermaksud: “Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan dosanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Justeru, tiada seorang pun mempunyai hak sewenang-wenangnya untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya maksiat hati seperti riak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kikir dan lain-lainnya. Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Adapun hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah. Lalu Yusof Al-Qaradawi menyebut kisah Saidina ‘Umar tadi. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
Dalam tafsir Al-Quran, ketika menafsirkan firman Allah yang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani” (Al-Hujurat ayat 12).
Sayyid Qutb menyebut: “Namun perkara ini kesannya lebih jauh dari itu. Ia adalah prinsip Islam yang utama dalam sistem kemasyarakatannya, juga dalam urusan perundangan dan pelaksanaannya. Sesungguhnya bagi manusia itu kebebasan, kehormatan, kemuliaan yang tidak boleh dicerobohi dalam apa bentuk sekalipun. Tidak boleh disentuh dalam apa keadaan sekalipun. Dalam masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup dalam keadaan aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia mereka dan aman pada keaiban mereka. Tiada sebarang justifikasi atas apa alasan sekali pun untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah, rahsia dan keaiban. Sekalipun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya, tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai.
Hukum manusia berasaskan apa yang zahir. Tiada diberi hak sesiapa untuk mencari-cari rahsia orang lain. Seseorang tidak akan diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang nyata dari mereka, demikianlah nas ini (larangan tajassus) menempatkan dirinya dalam sistem pelaksanaan dalam masyarakat Islam. Ia bukan sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia telah menjadi dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan manusia. Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama”. (Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al- Syuruq).
Dalam hadith Muslim, seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad s.a.w dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.” Lalu Umar Ibnu Khattab berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu.” Nabi Muhammad s.a.w tidak berkata apa-apa, lalu lelaki itu bangun dan pergi. Rasulullah s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Rasulullah s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.
Dalam satu riwayat daripada Zaid bin Wahb, katanya: Dibawa seorang lelaki kepada Abdullah bin Mas‘ud, lalu diberitahu kepadanya: “Lelaki ini menitis arak dari janggutnya.” Kata Abdullah bin Mas‘ud: “Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”. (Riwayat Abu Daud).