Apakah istidraj itu? Patutkah atau tidak kita jauhi istidraj? Inilah yang akan saya ulas dalam risalah ini. Tajuk ini adalah amat penting, terutama kepada anak-anak dan generasi muda kita agar tidak terkeliru dengan risalah ini. Pemikiran kebanyakan umat Islam di zaman moden ini nampaknya jelas kelihatan kian jauh menyimpang dari pemikiran seseorang Islam di zaman silam. Pemikiran manusia di zaman serba maju ini telah dihanyutkan oleh arus keadaan dan diselaputi oleh kebendaan.
Itulah sebabnya kita lihat masyarakat pada hari ini berbeza dengan masyarakat dahulu. Bagaimana masyarakat pada hari ini? Mereka telah terpengaruh dengan apa yang ada dengan suasana sekelilingnya. Mereka tidak memandang jauh sepertimana orang-orang dahulu. Padahal orang dahulu tidak belajar tinggi sehingga ke universiti. Kita sekarang cerdik, ada ijazah, ada PhD dan macam-macam, tapi bodoh.
Manusia tersebut telah tertipu dengan kekuasaan, pangkat, kebesaran dan kekayaan yang diperolehi. Lantas mereka tidak faham lagi dengan nikmat Allah. Jika dia berkuasa, dia gunakan kekuasaannya untuk menindas orang-orang bawahannya kerana dia tidak tahu menggunakan nikmat kekuasaan yang ada padanya. Dia tidak faham tentang nikmat dan rahmat Allah S.W.T.
Kuasa Dan Kekayaan Untuk Maksiat
Kalau dia ada kebesaran, dia menzalimi orang dibawahnya. Kekayaan yang ada padanya digunakan bukan untuk kebaikan dirinya dan orang lain, tetapi untuk berbuat maksiat kepada Allah S.W.T. Manusia golongan ini telah terkeliru dengan fahaman mereka sendiri. Mereka tidak faham dan tidak dapat membezakan nikmat pemberian Allah kepada hambaNya yang setia dengan hambaNya yang derhaka.
Saya pernah ditanya oleh seorang mahasiswa, “Ustaz, betulkah atau tidak, saya dengar ustaz bersyarah, ulama’-ulama’ kalau bersyarah menyatakan bahawa barangsiapa yang mahu mendapatkan kebahagian di dunia dan di akhirat hendaklah mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W dan berpegang teguh kepada agama Islam. Betulkah ustaz?” Saya jawab, “Betul.” “Minta maaf ustaz, saya tidak percaya, sebab apa yang saya lihat realitinya tidak begitu. Orang-orang yang mengikut jejak langkah Rasulullah inilah yang teruk.”
Dia kemudian menyebutkan beberapa contoh, “Mak dan ayah saya, bukan sahaja sembahyang sehari semalam lima waktu, tapi tengah malam pun bangun sembahyang tahajjud. Rumah kami roboh juga. Puasa bukan sahaja puasa Ramadhan, Isnin mereka puasa, Khamis pun mereka berpuasa. Tapi kami makan sebulan sekali daging pun susah. Ayah saya, orang belum azan sudah pergi ke masjid. Begitu azab mak dan ayah saya yang berpegang teguh kepada agama.”
“Tapi, bapa saudara saya (adik mak saya), tak pernah sembahyang seumur hidupnya. Rumahnya rumah batu. Puasa pun tidak pernah. Kalau kita tanya, pakcik tak ingat mati? Bukan saya seorang sahaja yang mati, katanya. Kalau masuk neraka pun ramai juga orang lain yang masuk. Dia hidup kaya, hidup mewah, kita yang sembahyang ni, hidup susah.”
Sebenarnya, hendaklah kamu tahu tentang nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada makhluk-makhlukNya. Pemberian nikmat Allah kepada hambaNya yang setia (yang dikasihiNya) ialah pemberian yang diredhaiNya, tetapi pemberian nikmat Allah kepada manusia yang melakukan maksiat dan kejahatan adalah pemberian yang tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan ISTIDRAJ.
Pemberian yang redha ini seperti pemberian ayah kepada anaknya. Ketika si ayah hendak sembahyang, tiba-tiba lalu si penjual aiskrim. Si anak merengek minta dibelikan. Si ayah pun membelikannya kerana tidak mahu anaknya mengacau dia sembahyang. Dengan senyum mesra diberikannya aiskrim itu dengan layanan yang baik. “Makan baik baik nak, jangan bising-bising, ayah nak sembahyang.”
Kemudian, baru saja nak sembahyang, si anak menjerit-jerit minta tambah aiskrim lagi. Si ayah naik darah. Dengan perasaan marah, dibelikan juga aiskrim tersebut kerana takut sembahyangnya tidak khusyuk. Tetapi pemberiannya pada kali ini tidak disertai dengan kemesraan. Pemberian inilah yang dikatakan sebagai pemberian yang tidak redha.
Begitu juga Allah S.W.T. dengan kita. Kadang-kadang manusia mendapat nikmat yang diredhai Allah dan kadang-kadang tidak. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diIstidrajkan oleh Allah S.W.T.” (Riwayat At-Tibrani, Ahmad dan Baihaqi)
Akan tetapi manusia derhaka yang terkeliru dengan pemikirannya berpendapat bahawa dengan nikmat yang datang mencurah daripada Allah S.W.T kepadanya itu walaupun dia sentiasa melakukan maksiat, dia menyangka itu adalah bukti yang menunjukkan bahawa Allah kasih dan berserta dengan perbuatan maksiat mereka.
Manusia Istidraj? Manusia Yang Lupa Daratan
Walaupun dia membuat maksiat, tapi dia merasakan Allah menyayanginya. Manusia seperti ini kadang-kadang memandang hina kepada orang-orang yang suka beramal dan ke masjid. Apatah lagi orang yang selalu ke masjid itu hanya berselipar jepun atau berterompah kayu, sedangkan dia naik kereta jenis mewah.
“Alah, siang malam ke masjid, ke surau, tapi basikal buruk pun tak ada. Tengok aku. Aku nak ke kelab malam dengan kereta mewah. Walaupun aku tidak pernah sembahyang, tapi Allah sayangkan aku. Kalau kau sikit ibadat, tentu kau juga akan kaya macam aku.” Katanya sombong. Inilah jenis manusia yang tidak sedar akan dirinya sendiri. Dia melakukan maksiat pagi petang, siang malam, dia sangka Allah sayangkannya.
Maka mereka yang berpendapat sedemikian, baik mereka yang mengaku muslim, lebih-lebih lagi orang yang sudah nyata kafirnya, berterusanlah mereka menggunakan nikmat pemberian Allah yang berupa harta kekayaan, kebesaran, pangkat dan kuasa mereka untuk melakukan penindasan dan kezaliman serta maksiat (derhaka) kepada Allah yang berpanjangan.
Sesungguhnya mereka tidak faham dan tidak sedar sama sekali bahawa pemberian nikmat itu adalah istidraj daripada Allah. Dengan pemberian nikmat yang tidak diredhaiNya itu mereka akan lalai dari mengingati Allah. Akhirnya mereka akan menemui kehancuran dan kemusnahan.
Kadang-kadang Allah S.W.T memberikan manusia nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semut itu dengan dua sayapnya.” (Daripada kitab Nasa’ibul ‘Ibad)
Anai-anai misalnya, kalau tidak ada sayap selamatlah dirinya. Dia akan duduk diam di bawah daun atau merayap di celah-celah batu. Jika Allah hendak membinasakannya, Allah beri ia sayap. Anai-anai kalau sudah bersayap namanya akan berubah menjadi kelkatu. Otaknya menjadi otak kelkatu. Kelkatu, bila dapat nikmat dia cuba nak lawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, dia cuba hendak melawan Allah.
Pemimpin-pemimpin Yang Dilaknati Allah
Buktinya telah banyak kita lihat dan kita dengar. Berapa banyak pemimpin-peminpin yang dahulunya gagah dan sombong telah dilaknati Allah. Tidak kurang juga jumlahnya kerajaan yang besar lagi utuh telah pun hancur dan musnah.
Firaun yang gagah mengaku Tuhan, Namrud yang sombong membakar Nabi Allah Ibrahim, Qarun yang kaya, Tha’labah yang bakhil dan banyak lagi, semuanya telah musnah akibat kesombongan dan keangkuhan mereka!
Nikmat Allah yang diberikan kepada Firaun tidak terkira banyaknya. Bersin pun tidak pernah. Jangan kita ingat kita sihat Allah sayang kita. Firaun lagi sihat, tetapi dengan nikmat kesihatan itulah Allah binasakannya. Orang lain selalu sakit, tetapi Firaun tidak. Orang lain mati, sedangkan dia belum juga mati-mati hingga dia merasa besar diri, sombong dan takbur. Akhirnya dia mengaku dirinya Tuhan.
Namrud begitu sombong dengan Allah hingga membakar Nabi Ibrahim. Berapa besar pangkat Namrud? Bagaimana dia menemui ajalnya? Kematiannya hanya disebabkan oleh seekor nyamuk yang masuk ke lubang telinganya!
Tidak ada seorang pun manusia pada hari ini yang sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya saja 40 ekor unta membawanya. Akhirnya Allah tenggelamkan hartanya dengan dirinya sekaligus. Hingga kini harta itu tidak timbul-timbul. Harta Qarun itulah yang kita cari-cari sehingga lupa sembahyang! Kalau kita kaya, kita sangka Allah sayang. Qarun lagi kaya, akhirnya Allah jahanamkan harta kekayaannya dengan dirinya sekali.
Di mana dan bagaimanakah keadaan mereka itu sekarang? Tanyalah pada tanah! Tanah yang mereka pijak semasa mereka diistidrajkan oleh Allah yang akan memberikan jawapan.
Kita baru naik kereta sudah sombong. Rasulullah S.A.W naik ke langit pun tidak sombong. Kita kalau berjumpa dengan orang besar sikit sudah sombong dan merasa bangga. Kalau menteri senyum kepadanya dia merasa bangga. Rasulullah S.A.W berjumpa dengan Allah S.W.T di langit, tetapi baginda tidak pun sombong. Kejadian seperti ini akan terus berlaku sepanjang zaman. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Sunnah Allah tidak pernah berubah atau bertukar.”
Apabila kita tinjau semua ini, akan hilanglah segala persoalan yang tidak terjawab dan yang menjadi keraguan selama ini yang sentiasa mengganggu fikiran kita. Mengapa orang-orang kafir kaya raya? Mengapa orang-orang yang sentiasa membuat maksiat hidup mewah? Tidakkah kita hairan mengapa orang-orang yang selalu ke masjid hanya berbasikal buruk? Yang ke kelab malam naik kereta mewah?
Cara Untuk Menentukan Nikmat Yang Diredhai Allah
Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu. Adakah pemberian itu diredhai Allah atau tidak? Caranya ialah hendaklah dia sentiasa mengkaji dengan teliti nikmat yang diterimanya itu dan bagaimana serta ke mana digunakannya?
Seseorang yang menerima segala nikmat itu akan terus mengsyukuri Allah. Dia akan menggunakan pemberian itu ke jalan kebaikan dan selain dari itu, dia sentiasa redha mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka dengan limpah kurnia yang diperolehinya itu adalah pemberian yang diredhai Allah.
Pemberian yang diredhai Allah akan membuatkan seseorang itu ikhlas apabila bersedekah. Apabila dia melihat orang membawa list derma, dia lantas memanggil orang tersebut walaupun dia hanya ada wang 50 sen ketika itu. “Ini sedekah saya. Maaflah, hanya 50 sen”, katanya.
Akan tetapi pemberian yang tidak diredhai Allah akan membuatkan orang yang menerimanya enggan bersedekah atau berbuat kebajikan dengan ikhlas. Dia ada wang RM500 dalam sakunya. Ketika orang minta derma dia menyatakan dia tiada wang. Maknanya wang yang ada dalam sakunya adalah wang istidraj.
Pada ketika setelah itu, lalu seorang gadis cantik yang menjual tiket “pertunjukan amal”. Belum pun sempat gadis itu menawarkannya, dia pula yang memanggilnya terlebih dahulu. Dia pun membeli tiket untuk pertunjukan amal itu.
Pertunjukan amal? Ini juga satu kekeliruan bagi kita. Kita sering tertipu dengan label “amal” ini. Kadang-kadang pada waktu Maghrib, lalu sebuah van yang riuh rendah dengan muzik dan memberi pengumuman. “Tuan-tuan, silalah datang ke taman hiburan, kita akan mengadakan pertunjukan amal.” Ada ibu bapa yang terpengaruh lalu pergi dengan membawa keluarga. Pasal pertunjukan amal, dia ingat dapat pahala.
Inilah cakap-cakap yang mesti kita jaga. Begitu juga dengan orang yang bersyarah. Kita mesti tengok betul gerak-geri orang yang bersyarah tersebut. Ke mana pensyarah tersebut hendak membawa kita. Sebab kadang-kadang banyak kekeliruan dalam syarahan-syarahan.
Ada pensyarah yang berkata, “Kita sekarang hendaklah sesuaikan Islam dengan zaman.” Nampak jelas di sini otak kita hendak dikelirukannya. Hendaklah kita sedar, Islam itu tidak boleh disesuaikan dengan zaman, tetapi zaman itulah yang mesti disesuaikan dengan Islam.
Kalaulah Islam hendak disesuaikan dengan zaman, maka zaman orang bertelanjang, Islam sesuai dengan orang yang bertelanjang, zaman orang merompak, Islam mesti sesuai dengan perompak. Tidak boleh Islam disesuaikan dengan zaman. Islam tidak boleh tunduk kepada zaman, tetapi zaman itulah yang mesti tunduk dengan Islam.
Tidak beberapa lama dahulu, saya berjumpa dengan seorang ulama’. Ditanya tentang loteri, dia kata haram. Habis, bagaimana kalau kita hendak membantu orang, macam loteri kebajikan? “Halal.” Katanya.
Loteri haram, dibalut dengan label kebajikan jadi halal. Inilah kata-kata yang mengelirukan kita. Kiranya di samping seseorang yang menerima segala nikmat Allah, maka bertambah pula maksiat dan derhakanya kepada Allah, maka jelaslah segala kemudahan dan kemewahan yang diperolehinya itu adalah istidraj, iaitu pemberian nikmat yang tidak diredhai Allah S.W.T.
Namun, jangan pula apabila ada orang kaya datang ke masjid dengan kereta besar kita katakan istidraj. Orang naik pangkat istidraj atau orang-orang besar istidraj. Jangan! Orang-orang yang menggunakan nikmatnya untuk kebajikan, untuk mengabdikan dirinya kepada Allah, itu bukan istidraj namanya.
Bukan bermakna kita tidak boleh kaya. Kaya tidak salah di sisi Islam, tetapi masuk ke syurga agak lambat sedikit. Ibarat orang dari Singapura hendak masuk ke Johor. Orang yang membawa barang yang banyak akan diperiksa oleh kastam. Makin banyak barangnya, makin lama pemeriksaan, makin lambat dia masuk ke Johor. Orang yang tidak membawa barang akan lepas dengan mudah memasuki Johor.
Inilah yang sangat-sangat kita takuti dalam hidup ini dan kehidupan kita di dunia ini. Sebab itulah umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W sentiasa merintih di hati sanubari sambil berkata, “RedhaMu yang selalu kami rindukan dan marahMu yang sangat kami takuti Tuhan. Lebih baik kami hidup miskin asal dalam redhaMu, kami tak ingin kepada kekayaan di dalam marahMu.”
Inilah sajak yang penuh makna. Apakah maknanya? Hidup kita di dunia mesti ada target, mesti ada pedoman. Jangan hidup kita seperti kumbang di tengah kolam, ditiup angin ke tepi ia ke tepi, ditiup ke tengah ia ke tengah. Tidak ada pegangan langsung. Kita kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada target atau matlamat atau tujuan. Tujuan hidup kita di dunia ialah mencari keredhaan Allah S.W.T, baru kita selamat. Bukan kaya yang kita cari dan bukan juga miskin yang kita cari!
Kalau target kita hanya untuk kaya, akan jahanamlah diri kita. Jika ada kesempatan untuk kaya, kita lihat dulu. Kalau ada keredhaan Allah, barulah kita ambil. Kalau tidak, lebih baik kita miskin. Bukan tujuan kita untuk menjadi miskin, tetapi hendak mencari keredhaan Allah. Kalau hidup miskin ada keredhaan Allah, maka kita pilih miskin. Kalau mahu menjadi kaya dengan keredhaan Allah, katakan aku tidak mahu kekayaan tanpa keredhaanMu.
Bila hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan di akhirat. Wallahua’lam.
Dipetik dari buku Siri Syarahan Ustaz Yazid Jaafar