Tidak pula merasa keluh kesah kerana ia telah melewat-lewatkan kewajipan solat fardhu itu..
Ada orang bertanya tentang tafsir ayat yang keempat dan kelima dari surah'Al-Ma'un. Yang bermaksud: "Maka kecelakaanlah akan didapati orang-orang
yang solat. Yang solat mereka itu dalam keadaan lalai."
Dalam ayat tersebut Allah SWT telah mencadangkan bahawa neraka tersebut
diperuntukkan bagi orang-orang yang mengerjakan solat, tetapi solat mereka itu dalam keadaan yang lalai dan lupa.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan lalai itu? Jawabnya ada beberapa perkara yang termasuk di dalam ertikata lalai itu, antaranya ialah; yang pertamanya: Mereka yang lupa ketika mengerjakan solat sehingga tidak disedarinya berapa rakaat solat yang sedang dikerjakannya itu, keduanya: Mereka lalai dengan waktu solat fardhu, ataupun mereka ingat waktu solat tetapi bertangguh-tangguh, nanti dulu, nanti
sebentar lagi dan sebagainya. Mereka bertangguh-tangguh itu sama ada disebabkan urusan pekerjaan dan seumpamanya.
Termasuk juga dalam ertikata lalai ialah mereka yang melupakan maksud sebenar solat yang diperintahkan oleh Allah SWT, walaupun ia mendirikan
solat namun bukan dari kesedaran akan maksud dan hikmat solat itu.
Ibnu Jarir pula mengertikan perkataan lalai itu ialah mereka tidak bersungguh-sungguh mengerjakannya, dalam solat ingatannya melayang kepada yang lain, tidak disegerakan untuk membulatkan ingatannya untuk Allah SWT. Adapun maksud sebenar tentang lalai dan lupa itu ialah mereka yang sekiranya melakukan solat di awal waktu itu merasa beruntung serta bersyukur kerana Allah telah mengurniakan kepadanya sehingga dapat melakukan solat di awal waktu. Dan jika melambat-lambatkan solatnya sehingga dihujung waktu pun tidak merasa sesuatu yang merugikan malah tidak pula merasa keluh kesah kerana ia telah melewat-lewatkan
kewajipan solat fardhu itu.
Orang yang telah sampai ke peringkat tidak merasai perbezaan antara solat
di awal waktu atau di hujung waktu, maka dalam keadaan tersebut jika pun
ia mendirikan solat tetapi malangnya ia telah direzabkan oleh Allah SWT untuk mendapat kedudukan yang selayaknya iaitu di dalam neraka.
Ada juga orang terlambat mengerjakan solat kerana ia tertidur,walaupun tertidur dan terlupa, itu suatu perbuatan yang tidak dikira salah di
sisi syariat, namun ia hendaklah diperhatikan dari beberapa sudut. Apakah
ia tidur setelah masuk waktu atau ketika waktu telah hampir tiba, jika dalam keadaan itu maka ia disifatkan sebagai cuai. Dengan kecuaian itu juga
Allah SWT akan mendatangkan balasannya sesuai dengan kecuaian yang
telah dilakukan.
Tidur yang dianggap sebagai ibadah hanyalah tidur yang dilakukan
sebagai modal untuk berjaga malam kerana hendak melakukan solat malam seperti yang digalakkan oleh Islam.