Nabi Idris A.S adalah nabi kedua yang wajib diketahui oleh umat Islam. Dikisahkan bahawa Nabi Idris diangkat ke syurga kerana setiap hari dia membuat amal yang diterima sebanyak alam penduduk bumi. Melihat akan hal itu, maka malaikat Izrail begitu sayang kepadanya. Pada suatu hari, Izrail meminta izin kepada Allah untuk turun ke bumi untuk berjumpa dengan Nabi Idris dan Allah memperkenankannya.
Lalu turunlah Izrail ke bumi dalam bentuk rupa seorang manusia biasa dan memberi salam pada Nabi Idris serta duduk di sampingnya. Nabi Idris yang sedang berpuasa ketika itu memperlawa tamunya untuk makan setelah tiba waktu berbuka puasa, namun tamunya itu hanya mendiamkan diri. Nabi Idris pun meneruskan ibadahnya sambil dilihat Izrail sehingga terbit fajar.
Melihat akan hal tamu yang duduk di sebelahnya, maka Nabi Idris pun bertanya, “Hai lelaki, mahukah kamu berjalan-jalan denganku supaya kita berasa senang?” Lalu Izrail menjawab, “Ya, aku mahu”. Mereka berdua pun berjalan-jalan dan tiba di sebuah ladang yang sangat subur tanamannya. Malaikat Izrail berkata, “Bolehkah kamu izinkan aku mengambil buah-buahan itu?” Berkata Nabi Idris, “Maha suci Allah, semalam kau tak mahu makan benda yang halal dan kini kau mahu memakan benda yang haram”. Mendengar jawapan Nabi Idris, Izrail pun terdiam.
Setelah itu, mereka pun berjalan selama 4 hari dan dalam tempoh itu Nabi Idris merasakan perbezaan tamunya itu dengan manusia biasa, lalu Nabi Idris bertanya, “Aku dapati kau amat berbeza sekali daripada manusia biasa lain. Oleh itu aku harap dapatlah kau memberitahu aku siapakah dirimu”. Izrail menjawab, “Aku adalah malaikat pencabut nyawa bernama Izrail”. Nabi Idris bertanya lagi, “Sudah 4 hari kamu bersamaku, bagaimanakah kamu mencabut roh yang lain?” Izrail pun berkata, “Memang kerjaku mencabut roh dan sesungguhnya ia adalah perkara yang mudah seperti hidangan makanan yang aku hadapi”.
Kemudian Nabi Idris bertanya lagi, “Wahai Izrail, adakah kau datang sekadar untuk menziarahi aku atau pun mencabut rohku?” Jawab malaikat Izrail, “Aku datang menziarahimu dan aku telah mendapat keizinan Allah”. Setelah mendengan jawapan Izrail, maka berkatalah Nabi Idris, “Wahai Izrail, aku mempunyai hajat”. “Katakan hajatmu itu”, jawab Izrail. Ujar Nabi Idris, “Hajatku padamu ialah kamu hendaklah mencabut rohku. Kemudian Allah akan menghidupkan aku supaya aku boleh kembali beribadah kepadaNya sesudah aku merasakan sakitnya mati”. Izrail menjawabnya dengan tenang, “Sebenarnya aku tidak mempunyai kuasa untuk mencabut roh seseorang kecuali dengan izin Allah”.
Atas permintaan Nabi Idris itu, Allah mewahyukan kepada Izrail, “Hai Izrail, cabutlah nyawa Idris itu”. Maka Izrail pun menurut perintah dan mencabut nyawa Nabi Allah itu dan kematian Nabi Idris ditangisinya. Lalu Izrail memohon supaya Allah menghidupkan kembali Nabi Idris yang menjadi teman baiknya. Allah memperkenankan doa Izrail lalu Dia menghidupkan semula Nabi Idris.
Setelah hidup semula, maka Izrail bertanya kepada Nabi Idris, “Wahai Idris, bagaimanakah rasanya mati itu?” Jawab Nabi Idris, “Rasanya seperti mengupas kulit binatang yang hidup, rasa sakitnya adalah lebih seribu kali ganda”. Berkata Izrail pada Nabi Idris, “Aku mencabut nyawamu dengan cara yang paling lembut sekali dan tidak pernah aku mencabut roh selembut ini”.
Nabi Idris kemudian menyatakan hasratnya untuk melihat neraka jahanam kepada Izrail supaya dia boleh beribadah dengan lebih tekun lagi selepas ini. Izrail pun berkata, “Aku tidak dapat membawa kamu pergi tanpa izin dari Allah”. Lalu Allah mewahyukan kepada Izrail, “Bawalah oleh kamu dan tunjukkanlah kepada Idris akan neraka jahanam itu”. Lalu dibawanya Nabi Idris melihat neraka jahanam dan Nabi Idris dapat melihat suasana yang mengerikan dalam neraka tersebut.
Setelah keduanya kembali dari melihat neraka jahanam, maka berkatalah Nabi Idris akan hajatnya lagi, “Wahai Izrail, aku ingin sangat melihat syurga yang Allah ciptakan untuk hambaNya yang taat”. Izrail menjawab, “Aku tak dapat membawamu kecuali dengan izin Allah”. Kemudian Allah mewahyukan lagi kepada Izrail, “Wahai Izrail, bawalah Idris melihat syurga. Aku memberi izin kepadamu”.
Setelah sampai di pintu syurga, amaka nampaklah Nabi Idris akan kecantikan syurga yang tidak ada tolok bandingnya. Melihat hal yang demikian, Nabi Idris pun berkata, “Wahai malaikat Izrail, aku telah merasakan sakitnya mati. Aku juga telah melihat neraka serta siksaan di dalamnya. Oleh itu aku harap kamu mohonlah pada Allah supaya aku dapat duduk di dalam syurga dan meminum airnya supaya hilang rasa sakit mati dariku dan minta hindarkanlah aku dari api neraka jahanam”.
Kemudian Izrail memohon kepada Allah dan Allah memberi izin kepada mereka untuk masuk dan keluar dari syurga. Setelah mendapat izin, Nabi Idris masuklah ke dalam syurga dan meletakkan kasutnya di bawah sebatang pohon syurga. Nabi Idris kemudiannya keluar dari syurga sambil berkata, “Wahai Izrail, aku tertinggal kasutku. Oleh itu bawakan aku kembali ke dalam”. Nabi Idris segera masuk kembali ke dalam syurga, tetapi setelah ditunggu beberapa lama oleh Izrail, dia masih belum keluar lagi.
Maka risaulah Izrail lalu berkata, “Wahai Idris, keluarlah kamu dari syurga”. Jawab Nabi Idris, “Aku tidak mahu keluar dari syurga ini kerana Allah telah berfirman, ‘Kullu nafsin dzaaiqatul mauti‘ (dan tiap-tiap yang bernyawa itu mesti merasakan mati) dan sesungguhnya aku telah mati”. Sambung Nabi Idris lagi, “Allah juga telah berfirman, ‘Wa-in minkum illaa waariduhha‘ (dan tidak adalah di antara kamu kecuali dia memasukinya) dan aku telah masuk neraka”. Kemudian Nabi Idris berkata lagi, “Allah berfirman, ‘Wamaahum bimukhrijiina‘ (dan tidaklah mereka itu dikeluarkan daripadanya). Maka siapakah yang mengeluarkan aku daripadanya?”
Akhirnya Allah mewahyukan kepada malaikat Izrail, “Hai Izrail, biarlah Idris itu. Sesungguhnya Aku telah memutuskan di zaman azali bahawa sesungguhnya Idris itu adalah termasuk dalam ahli syurga”.