Monday, May 16, 2011

Soalan 01: Rasulullah s.a.w. Kepada Iblis laknatullah

 

Mengikut sejarah, Allah s.w.t. telah menitahkan kepada Malaikat supaya menyuruh Iblis pergi mengadap Rasulullah s.a.w dan menjawab segala soalan yang akan ditanya oleh Rasulullah s.a.w dan Iblis juga diperingatkan bahawa hendaklah dia menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya dijawab dengan betul, tanpa ada tipu daya. Sekiranya Iblis menipu nescaya Allah s.w.t. akan memutuskan suku-suku dari tubuhnya dan menceraikan urat sarafnya, dan dia akan disiksa dengan sehebat-hebat siksa nanti.

Setelah Iblis mendengar perintah dari Tuhan dia pun merasa takut dan patuh, kemudian dia pun pergi mengadap Rasulullah s.a.w dengan merupakan diri sebagai seorang manusia tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut panjang sekali.

Apabila Iblis sampai dihadapan Rasulullah s.a.w. maka Iblis pun memberi salam dengan ta'zimnya hingga tiga kali. Walaupun dia memberi salam sebanyak tiga kali, Rasulullah s.a.w. tidak menjawab salamnya.

Iblis berkata, "Ya Rasulullah, mengapa engkau tidak menjawab salamku itu? Bukankah salam itu satu penghormatan dan juga do'a kepadamu yang datang dari Allah s.w.t.?"

Berkata Rasulullah s.a.w., "Wahai A'duwallah kepada akukah yang engkau hendak menunjukkan tipu dayamu? sebagaimana engkau telah menipu Nabi Adam a.s. sehingga menyebabkan keluarnya ia dari Syurga bersama-sama isterinya Hawa? Atau seperti anaknya (anak Adam) iaitu Qabil yang engkau telah melakukan tipu daya sehingga dia (Qabil) sanggup membunuh adiknya sendiri iaitu Habil, cuma disebabkan hal yang sangat kecil? Atau sebagaimana engkau telah membuat tipu sulit kepada nabi Ayub a.s. dengan menghembuskan asap beracun sewaktu beliau sedang bersujud kepada Allah s.w.t. sehingga menyebabkan dia sakit yang melarat beberapa lama?Atau sebagaimana yang kamu tipu Nabi Daud a.s. dan anaknya Nabi Sulaiman? Atau sebagaimana engkau tipu Nabi Sulaiman dan mencuri cincinnya dan banyak lagi orang yang telah engkau laksanakan dengan tipu dayamu yang licin itu?Adakah kini engkau hendak menipu aku pula? Wahai Iblis aku kenal sangat dengan engkau ini,oleh itu aku kenal dengan engkau itulah sebabnya aku tidak menjawab salam yang engkau berikan itu walaupunn sampai tiga kali.

Memang salam itu sangat baik di sisi Allah, dan didalam salam itu mengandungi Rahmat dan Selamat serta Berkat dari Allah. Tetapi salam dari kamu sahaja aku tidak mahu menjawabnya, kerana kepadamu adalah diharamkan memberi salam ini disebabkan kutukan laknat dari Allah s.w.t. terhadapmu hingga Hari Qiyamat kelak. Jadi adalah haram menjawab salam dari orang yang kena kutukan seperti dirimu. Kini jelaslah maksud sebenar kamu datang untuk bertemu denganku ini!"

Berkata Iblis, "Ya Rasulullah, jangan engkau marah wahai Khatamun Nabiyin. Sebenarnya aku datang mengadapmu adalah atas perintah Allah s.w.t dan diberitahu kepadaku oleh Malaikat dan mereka memperingatkanku supaya aku menjawab semua soalan yang engkau tanyakan nanti. Sekiranya aku berdusta nescaya akan hancur luluhlah diri dan badanku ini walaupun dengan sepatah kata yang dusta."

Setelah Rasulullah s.a.w. mendengar kata dan sumpah Iblis itu maka Rasulullah s.a.w pun tersenyum dan berkata didalam hatinya, ini adalah satu peluang baik bagiku menyiasat semua perbuatan Iblis dan akan didengar oleh semua para sahabatku nanti. Semoga akan menjadi peringatan dan pengajaran kepada mereka dan semua umatku kelak.

Soalan Pertama Rasulullah s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w : "Wahai Iblis siapakah musuhmu yang paling utama dan paling besar sekali, bagaimana pula perasaanmu terhadapku?"

Jawab Iblis : "Ya Nabi Allah, engkaulah musuhku yang paling utama dan engkau juga musuhku yang paling besar di dunia ini."

Iblis berkata lagi : "Wahai Nabi Allah, aku ini boleh merubahkan wajahku kepada beberapa bentuk dan rupa serta mempunyai suara yang berlainan. Suaraku boleh menyerupai suara manusia atau binatang dan lain-lain, tetapi tidak boleh menyerupai rupa dan bentukmu wahai Muhammad. Aku sekali-kali tidak sanggup untuk melanggar tegahan Allah s.w.t. kalau aku menjelma dalam bentuk wajahmu maka nescaya diriku ini akan hancur menjadi abu ya Nabi Allah."

Iblis meneruskan kata-katanya : "Ya Nabi Allah, sebagaimana engkau bersungguh-sungguh berusaha dan berikhtiar siang dan malam dengan tidak mengira penat dan susah payah untuk memberi nasihat bagi menunjukkan kejalan yang benar iaitu jalan Allah, dengan iktikad yang sah dan jelas sehingga mereka berada didalam Islam yang suci. Maka aku pun begitu juga berusaha sedaya upayaku dengan seluruh kekuatan dan tenagaku dan beserta dengan segala bala tenteraku, aku akan terus menjalankan tipu muslihat, mengacau, dan akan mendorong umat Adam supaya mereka terpedaya dan terjerumus kedalam kekafiran dan keingkaran. Aku akan membawa mereka kepada murtad dan munafik sebanyak yang mungkin agar mereka ini akan bersama-samaku di dalam Neraka kelak. Aku tetap akan berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya umat yang sudah Islam pun dapat aku jebakkan mereka supaya meninggalkan jalan lurus dan berbalik kepada jalan yang salah dan bathil."

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...