Anas bin Malik R.A. berkata, “Sewaktu kami bersama-sama Rasulullah S.A.W berada di Tabuk, maka terbitlah matahari yang mana cahayanya belum pernah terlihat seperti itu sebelumnya. Jauhnya cahaya itu dari Rasulullah dengan kota Madinah ialah sebulan perjalanan. Maka dalam keadaan matahari yang redup itu, turunlah malaikat Jibrail ke bumi”.
Apabila melihat kedatangan Jibrail, maka Rasulullah pun bertanya, “Wahai Jibrail, kenapa matahari ini terbit dalam keadaan redup?” Malaikat Jibrail menjawab, “Matahari hari ini nampak seperti redup adalah kerana terlampau banyaknya sayap para malaikat”. Rasulullah terkejut lalu bertanya, “Apa halnya maka terjadi yang sedemikian?”
Kata Jibrail, “Ini adalah kerana Mu’awiyah meninggal dunia di Madinah, lalu Allah telah mengutuskan sebanyak 70,000 malaikat supaya membaca selawat untuk Mu’awiyah”. Rasulullah yang kehairanan bertanya lagi, “Apakah sebabnya?” Maka Jibrail pun menjawab, “Ini adalah kerana Mu’awiyah selalu banyak membaca ‘Qul huallahu Ahad‘ (surah Al-Ikhlas) pada waktu malam, siang, berjalan, berdiri, duduk, pergi dan balik pada setiap keadaan”.
Malaikat Jibrail menambah lagi, “Ya Rasulullah, mahukah kamu jika aku menggenggam bumi ini supaya bumi dapat membaca selawat untuk Mu’awiyah?” Rasulullah berkata, “Ya Jibrail, teruskanlah”. Setelah mendapat perintah dari Rasulullah, maka malaikat Jibrail pun memukul kedua-dua belah sayapnya pada bumi sehingga bumi menjadi sempit. Kemudian diangkatnya sehingga Rasulullah dapat melihat di belakangnya diiringi oleh malaikat yang berbaris-baris. Setiap satu baris itu terdapat 70,000 para malaikat.
Setelah itu Rasulullah pun mengerjakan solat untuk Mu’awiyah. Rasulullah bersabda, “Barang siapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka mayatnya tidak akan busuk di dalam kubur dan dia akan selamat dari kesempitan kubur. Para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian Siratul Mustaqim menuju ke syurga”.
Sumber: Himpunan kisah-kisah teladan