Kehidupan didunia ibarat sebuah madrasah pengajian, segala ilmu diajar
untuk memberi peluang kepada manusia bagi melengkapkan perbendaharaan
ilmu masing-masing. Allah SWT menyediakan tenaga pengajar yg cukup mahir
terdiri daripada para anbiya dan juga rasul a.s dan kemudiannya
disambung pula tugas mulia itu oleh para ulama sehingga kiamat.
Justeru Tuhan telah melengkapkan segala keperluan untuk manusia
melepaskan diri dari kejahilan, sehingga tidak seorang pun di dataran
Mashyar kelak boleh berdalih untuk menyatakan bahawa tidak ada kemudahan
untuk menimba ilmu, dan tidak mungkin dapat menafikan bahawa para rasul
telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna, kerana setiap rasul itu
memiliki sifat tabligh yakni menyampaikan setiap wahyu yang dikurniakan
oleh Allah SWT .
Para rasul sudah menyediakan garis panduan yg selengkapnya, dan
menunjukkan jalan-jalan lurus dan selamat yg mesti dilalui oleh manusia.
Setelah dibentangkan dihadapan mereka jalan yg lurus, para rasul juga
memberikan beberapa amaran adanya bahaya jalan yg berliku dan
bersimpang-siur itu agar manusia waspada kerana jalan yg bersimpang-siur
itu boleh menyebabkan manusia tersesat jalan.
Firman Allah SWT didalam surah al-An’aam ayat 153 yang bermaksud; “Dan
bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu
tempuhi jalan yang lain, kerana jalan yang bersimpang-siur itu akan
mencerai-beraikan (menyesatkan)kamu dari jalan –Nya . Yang demikian itu
diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.”
Setelah dibentangkan dihadapan mereka jalan yg lurus andainya masih ada
juga yg menyimpang ke jalan yg membawa mereka ke arah kesesatan, tiada
siapa yang patut dipersalahkan , kecuali mereka patut menyalahkan diri
sendiri serta mengakui bahawa mereka tidak mematuhi setiap petunjuk arah
yang telah disediakan di sepanjang jalan itu.
Ketika manusia terdampar di dataran Mashyar jutaan tahun (menurut ukuran
masa dunia), dikala mengharungi kesengsaraan yg amat dashyat, ramai
dikalangan penghuni Mashyar yg terkenangkan kampung halaman. Mereka
menyesali diri kerana memandang sepi seruan para Rasul dahulu dan
bersikap dingin terhadap seruan dakwah oleh para ulama terhadap para
penyeru ke jalan Allah.
Setelah mereka menyaksikan setiap perkara di Mashyar teringatlah dia
kebenaran hari Qiamat yg diberitahu oleh para Rasul dahulu.Dalam ratapan
ahli Mashyar, merintih merayu kepada tuhan agar memberi peluang mereka
kembali ke dunia walau sejenak untuk memperbaiki keimanan dan melakukan
amal soleh, seperti yang digambarkan didalam Al-Quran surah As-Sajadah
ayat 12;yang bermaksud:
“Dan (alangkah ngerinya ) jika sekiranya kamu melihat orang-oranng yang
berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, mereka berkata:Ya
Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar , maka kembalikanlah kami
(ke dunia),kami akan mengerjakan amal soleh , sesungguhnya kami adalah
orang-orang yang yakin”.
Kesedaran yg terlewat hanyalah penyesalan yang tidak berfaedah, kerana
planet bumi untuk tempat kembali seperti yg dirayu oleh ahli Mashyar itu
sudah hancur. Manusia ingin pulang ke dunia, tetapi tidakkah mereka
datang dari dunia? Apakah yang menyebabkan mereka abai terhadap
kesempatan yang tuhan berikan untuk hidup didunia dahulu?
Rasulullah s.a.w bersabda yg bermaksud : Di hari akhirat Tuhan akan
bertanya kepada setiap manusia :Hai manusia, bukankah Aku telah
kurniakan kepada engkau kemeriahan masa remaja? Untuk apakah kamu
habiskan masa remajamu? Tidakkah Aku telah kurniakan umur yang panjang?
Untuk apa umurmu itu kamu pergunakan? Bukankah telah Aku kurniakan
rezeki yang melimpah? Tetapi untuk apa kamu habiskan harta itu? Bukankah
Aku telah berikan kamu ilmu? Tetapi untuk apa ilmu itu kamu gunakan.
Empat soalan penting yg di kemukakan oleh Allah SWT diakhirat ialah yg
pertamanya mengenai alam remaja, suatu lembaran hidup selepas bermulanya
taflik syarak. Tuhan tidak menanyakan seseorang tentang alam kanak-kanak
kerana usia kanak-kanak belum diberi beban atau tanggungjawab memikul
suruhan dan larangan yg terkandung didalam syariat.
Alam remaja merupakan zaman kejutan kepada suatu perubahan emosi, saat
remaja mulai terdedah dengan persoalan kejantinaan. Suatu cabaran baru
mengenai panduan ,kawalan dan kejayaan dalam menghadapi masa remaja
bergantung kepada sejauh mana kefahaman supaya mampu mengendalikan
kehidupan yang lurus.
Runtunan masa remaja akan menjadi asas yang kukuh untuk menghadapi
cabaran usia yang berikutnya, tetapi kegagalannya akan menjadi titik
hitam yang merumitkan, terutama ketika menyediakan jawapan terhadap
soalan yang bakal dikemukakan oleh Allah SWT dihari Mashyar kelak.
Apabila menempuh usia dewasa dan hari tua , bererti Tuhan telah
mengurniakan umur yg panjang. Mengharungi kehidupan yg panjang bererti
lebih banyak peranan yang harus di pikul. Sebagai individu insan,
berbagai kelengkapan perlu disediakan, iaitu iman yg berasaskan ilmu
wahyu, amal soleh merupakan buah kepada ilmu.
Sebagai ketua keluarga dia adalah ‘murabbi’, yang memikul peranan dan
tanggungjawab memimpin rumahtangga , mengasuh keluarga dengan didikan
berasas ketaqwaan. Sebagai anggota masyarakat, dia mempunyai peranan
sebagai pemimpin yang mengajak manusia ke arah mematuhi ajaran Islam,
atau menjadi manusia yang sedia dipimpin dalam suatu wadah perjuangan
Islam. Terlaksanakah semua beban kewajipan itu?
Selain itu, Tuhan menjanjikan rezeki kepada setiap hamba-Nya yang
diciptakan dimuka bumi ini. Manusia yg mempunyai peranan sebagai
khalifah, adalah makhluk istimewa yg dikurniakan berbagai kekayaan
dunia, samada kekayaan yg terpendam diperut bumi, kekayaan di lautan,
kekayaan didaratan dan juga kekayaan di udara.
Tetapi semua itu hanyalah merupakan alat-alat yg mesti dipergunakan
untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Bagaimana cara mendapatkan
kekayaan harta tersebut,samada dgn cara betul dan halal atau cara yg
terlarang.Untuk apa pula dipergunakan harta yg melimpah ruah, adakah utk
menjadi penghimpun kekayaan dan lupa daratan seperti Qarun, samada Qarun
klasik atau Qarun moden.
Segala yg bersangkutan dengan harta kekayaan Allah kurniakan itu, adalah
diantara soalan yg mesti dijawab didataran Mashyar kelak. Harta halal
yang terhimpun banyak, akan melambatkan seseorang masuk syurga
sebaliknya harta yang diperoleh dengan cara haram, akan menjadi api
pembakar untuk dirinya sendiri didalam neraka( wal iyazu billah)
Persoalan ke empat didalam hadith Nabi s.a.w itu ialah mengenai
ilmu.Tuhan bertanya”Bukankah Aku telah kurniakan engkau ilmu?
Bagaimanakah ilmu itu dimanfaatkan?”
Sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia sebagai makhluk istimewa
mengatasi makhluk yang lain hatta malaikat sekalipun, tidak lain kerana
manusia dikurniakan ilmu pengetahuan. Justeru itu manusia adalah makhluk
sejak dari manusia pertama iaityu Adam a.s.
Firman Allah didalam surah al-Baqarah ayat 31; ”Dan Dia mengajarkan
kepada Adam (ilmu) nama-nama (benda)seluruhnya, kemudian mengemukakan
kepada Malaikat lalu berfirman “Sebutkanlah kepada –Ku nama benda –benda
itu jika kamu memang dari golongan yang benar”.
Ternyata cabaran Allah SWT terhadap para Malaikat tentang kelebihan ilmu
pengetahuan yang dikurniakan kepada Nabi Adam a.s itu tidak dapat
disahut oleh Malaikat, sebagaimana pengakuan Malaikat yang dinyatakan
oleh Al-Quran surah al-Baqarah ayat 32; yang bermaksud:
“Mereka menjawab :Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain
dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami sesungguhnya Engkaulah
Yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana”. Allah SWT mengiktiraf orang-orang
yang berilmu kerana dengan ilmu itu Allah telah mengangkatnya ke satu
martabat yang tinggi, sebagaimana firman Allah didalam surah
Al-Mujaadilah ayat 11; yang bermaksud:
‘Nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman
diantaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat”.
Di samping itu,Allah SWT juga menyifatkan orang yang jahil itu sebagai
seteru-Nya seperti yang di perjelaskan oleh sebuah hadith Rasulullah
s.a.w;yang bermaksud:
“Orang alim itu adalah kekasih Allah sekalipun dia fasiq, sementara
orang yang jahil itu adalah seteru Allah meskipun dia seorang ‘abid’.
Meskipun demikian Tuhan akan persoalkan juga tentang ilmu yg di
kurniakan oleh Allah SWT terhadap hamba-Nya, kerana ilmu juga boleh
digunakan untuk kebaikan yang memberi manfaat dan mengangkat darjat
manusia . Sebaliknya ilmu juga boleh disalah gunakan, hingga
mendatangkan malapetaka dan kebinasaan terhadap manusia sendiri. Terlalu
banyak contoh manusia binasa oleh ilmu.
Demikianlah diantara beberapa perkara yang akan ditanya oleh Allah SWT
di hari Mashyar kelak, malah perilaku dan amalan baik atau sebaliknya
tidak akan terkecuali walau sedikitpun.
Firman Allah SWT didalam surah AL-Hijr ayat 92-93 yang bermaksud; “Maka
demi Tuhanmu Kami pasti akan menyoal mereka semuanya tentang apa yang
telah mereka kerjakan dulu”. Soalan dihari Mashyar bukanlah soalan
bertaraf ijazah yang bagaimana sulitpun pasti akan dijawab oleh mereka
yang menguasai ilmu.
Sesungguhnya soalan di dataran Mashyar tidak akan terjawab oleh lidah,
lantaran itu lidah yang petah tidak mendatangkan manfaat lagi.
Sebaliknya yang bakal menjawab adalah setiap indera , iaitu
tangan-tangan mereka , sementara kaki pula akan menjadi saksi bagi
mengesahkan pengakuan yang telah mereka lakukan.
Firman Allah SWT didalam surah Yasin ayat 65;yang bermaksud ……”Pada hari
Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan
memberi kesaksian kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka
usahakan.
Sesungguhnya tergamamlah lidah apabila tangan dan anggota lain saling
membuat pengakuan terhadap berbagai dosa yang telah dilakukan semasa di
dunia dahulu.
wallahuallam