Wednesday, December 29, 2010

Terkena Api Di Kuburan

 

Diceritakan dari Ibnu Hajar bahawa serombongan orang dari kalangan Tabi’in pergi berziarah ke rumah Abu Sinan. Baru sebentar mereka di rumah itu, Abu Sinan telah mengajak mereka untuk berziarah ke rumah jirannya.

“Mari ikut saya ke rumah jiran untuk mengucapkan ta’ziah atas kematian saudaranya.” kata Abu Sinan kepada tetamunya.

Sesampainya di sana, mereka mendapati saudara si mati sentiasa menangis kerana terlalu sedih. Para tetamu telah berusaha menghibur dan memujuknya agar jangan menangis, tapi tidak berjaya.

“Apakah kamu tidak tahu bahawa kematian itu suatu perkara yang mesti dijalani oleh setiap orang?” tanya para tetamu.

“Itu aku tahu. Akan tetapi aku sangat sedih kerana memikirkan seksa yang telah menimpa saudaraku itu.” jawabnya.

“Apakah engkau mengetahui perkara yang ghaib?”

“Tidak. Akan tetapi ketika aku menguburkannya dan meratakan tanah di atasnya telah terjadi sesuatu yang menakutkan. Ketika itu orang-orang telah pulang, tapi aku masih duduk di atas kuburnya. Tiba-tiba terdengar suara dari dalam kubur “Ah....ah....Mereka tinggalkan aku seorang diri menanggung seksa. Padahal aku mengerjakan puasa dan solat”. Jeritan itu betul-betul membuatku menangis kerana kasihan. Aku cuba menggali kuburnya semula kerana ingin tahu apa yang sudah terjadi di dalamnya. Ternyata kuburan itu telah penuh dengan api dan di leher si mayat ada rantai dari api. Kerana kasihan kepada saudara, aku cuba untuk melepaskan rantai itu dari lehernya. Apabila aku hulurkan tangan untuk membukanya, tanganku terbakar.”

Lelaki itu menunjukkan tangannya yang masih hitam dan mengelupas kulitnya kerana kesan api dari dalam kubur kepada tetamu. Dia meneruskan ceritanya: “Aku terus menimbus kubur itu semula dan pulang dengan segera. Bagaimana kami tidak akan menangis apabila mengingati keadaan itu?”

“Apa yang biasa dilakukan oleh saudaramu ketika di dunia?” tanya teman-teman Abu Sinan.

“Dia tidak mengeluarkan zakat hartanya.” jawabnya.

Dengan jawapan ini, teman-teman Abu Sinan membuat kesimpulan tentang kebenaran ayat Suci Al-Quran surah Ali Imran yang ertinya: “Janganlah mereka yang bakhil itu menyangka terhadap rezeki yang diberikan oleh Allah kepada mereka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat.”

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...