Thursday, December 16, 2010

Sebab Sebab Jahat Akhir Hayat

 

Sebahagian besar mereka yang menzahirkan Islam dan beramal dengan segala kewajipan yang diperintahkan tetapi akhir kehidupan mereka dalam keadaan jahat pengakhirannya(su' al-khatimah), kita berlindung dengan Allah daripada perkara ini. Perkara ini ada yang berlaku ketika masih hidup dan banyak juga yang berlaku ketika saat-saat terakhir sebelum datangnya kematian. Sodiq Hasan Khan telah menceritakan tentang perkara yang begitu menggerunkan hati kita yang sentiasa mengharapkan agar Allah mematikan kita dalam keadaan baik pengakhirannya(husnul khatimah) yang mana beliau telah menggariskan beberapa sebab yang menyebabkan seseorang itu penghujung hidupnya jahat(su' al-khatimah). Ini bertujuan agar kita semua mengambil perhatian yang lebih agar segala sebab ini dapat kita sama-sama hindarkan. Sebab-sebab itu adalah sebagaimana berikut :

1 - Rosak atau terpesong aqidah : Sekalipun dia seorang yang sentiasa beramal soleh dan zuhud(tidak mengejar kemewahan dunia), tetapi jika aqidahnya terpesong atau rosak sedangkan dia tetap meyakini bahawa aqidahnya masih betul dan tidak pernah merasa telah tersesat maka dia akan dapat melihat kesesatannya ketika tibanya saat sakaratul maut (hampir mati)nanti. Dia dapat melihat perkara ini kerana aqidahnya telah terpesong daripada jalan Islam yang sebenar sedangkan dia tidak pernah merasai perkara ini semasa hayatnya. Keluarnya ruhnya nanti dalam keadaan jahat kematiannya kerana tidak sempat lagi untuk kembali kepada aqidah yang sebenar dan terpisahnya ruh tanpa iman. Firman Allah dalam ayat 47 surah Az-Zumar yang bermaksud: .....Dan jelaslah bagi mereka azab Allah yang belum pernah mereka jangkakan.

Firman Allah lagi dalam ayat 103 hingga 104 surah al-Kahfi yang bermaksud : Katakanlah: "Apakah akan Kami beritahu kepadamu tentang mereka yang mana amalan mereka sia-sia?". Iaitu mereka yang telah sia-sia segala amalan mereka ketika hidup di dunia ini sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.

Setiap aqidah yang terpesong daripada landasan Islam yang sebenar sama ada pada pandangan, pendapat, aqal, perbuatan ataupun mengambil sesuatu yang tidak berlandaskan syariat Allah, maka segala amalan soleh dan keadaan zuhudnya tidak dapat menjadi bentang kepadanya. Aqidah yang sohih merupakan apa yang berteraskan kepada Al-Quran dan Hadis.

2 - Melakukan maksiat secara terang dan berterusan : Sekiranya dia sentiasa melakukan maksiat menyebabkan dia sentiasa mengambil mudah serta merasa serasi dengan segala maksiat yang dilakukan. Setiap perkara yang menjadi kebiasaan kepada seseorang itu akan kembali diingati ataupun terbayang disaat kematian. Sekiranya dia sentiasa beramal dengan amalah soleh maka ketika saat kematian dia akan mengingati segala kebaikan yang pernah dilakukan. Manakala jika dia sentiasa bergelumang dengan dosa maka ketika saat nafasnya akan dicabut oleh malaikat, dia akan kembali mengingati segala maksiat yang dilakukan.Kemungkinan besar ketika saat terakhir sebelum menghembuskan nafas yang terakhir sedangkan dia belum bertaubat daripada segala dosanya, hatinya akan terus terikat dengan maksiat sehingga menjadi penyekat antara dia dan Allah. Dan ia merupakan sebab kesukarannya ketika saat terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Segala maksiat merupakan utusan kepada kekufuran.

Orang yang mana memang pada permulaannya lagi tidak melakukan maksiat atau pun melakukannya kemudian diikuti dengan taubat tanda penyesalan maka dia dijauhkan daripada kegetiran ini. Manakala mereka yang sentiasa melakukan maksiat sehingga dosanya bertimbun banyaknya melebihi kebaikan dan ketaatan yang telah dilaksanakan dan dia tidak bertaubat kepada Allah atas segala dosanya disamping dia melakukan dosa secara berterusan serta terang-terangan maka dia akan menghadapai kegetiran ketika hampir dengan kematian nanti. Sebagaimana seorang yang tidur akan terbayang mengenai pekerjaan yang sentiasa dia lakukan, begitulah juga dengan mereka yang hendak mati ketika menghadapai sakaratul maut akan terbayang perkara yang mana dia sentiasa melakukannya sama ada baik atau jahat. Kita takut ketika menghadapi saat genting ini kita teringat segala maksiat yang sentiasa dilakukan dan ketika itu juga malaikat meragut nyawa kita yang menyebabkan kita termasuk dalam golongan yang buruk akhir penghidupannya. Pernah diceritakan bagaimana seorang yang suka minum arak, apabila hampir dengan kematian maka ada kawannya yang mengajarnya mengucap tetapi dia bukan sahaja tidak mampu menyucapnya malah dia meminta agar kawannya memberinya arak untuk diminum. Semoga Allah menjauhkan kita daripada perkara yang amat digeruni ini.

3 - Berpaling daripada istiqamah atau tetap dalam Islam : Sekalipun dia seorang yang tetap pendirian dengan Islam pada mulanya kemudia berubah ketetapannya sebagaimana permulaannya maka ini akan membawa kepada jahat akhir hidupnya. Sebagaimana yang berlaku kepada iblis yang mana pada awalnya merupakan ketua kepada para malaikat dan guru kepada mereka dan ia juga merupakan makhluk yang begitu menitik beratkan masalah ibadat tetapi apabila disuruh oleh Allah agar sujud kepada nabi Adam, dia enggan dann bongkak maka ia menjadi kafir. Begitu juga yang berlaku kepada Bal'am ibnu Ba'ura yang mana merupakan seorang ulama' yang hebat pada masanya tetapi akhirnya menjadi hina kerana menurut hawa nafsunya. Begitu juga yang berlaku kepada seorang abid yang bernama Barsisa yang mana akhirnya menurut jejak langkah syaitan kerana terpengaruh dengan kata-kata syaitan. Tetapi apabila dia telah kufur maka syaitan mengatakan bahawa dia tidak bersangkut paut lagi dengannya dan dia juga tidak bertanggungjawab jika Barsisa dimasukkan ke dalam neraka akibat kekufurannya.Kisah ini kita boleh baca dalam tafsir mengenai ayat 16 dan 17 surah al-Hasyr yang bermaksud : (Pujukan mereka yang munafik itu adalah) seperti pujukan syaitan ketika mana dia berkata kepada manusia :"Kufurlah kamu!" maka tatkala manusia itu kufur maka dia berkata:"Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan semesta alam". Maka adalah kesudahan keduanya adalah akan dimasukkan keduanya ke dalam neraka, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan mereka yang zalim.

4 - Lemah keimanan : Sekiranya iman seseorang itu lemah maka akan lemahlah kasih sayangnya kepada Allah dan kan bertambahlah kecintaannya kepada dunia dalam hati sanubarinya.Apabila terlalu banyak perasaan cintanya kepada dunia menyebabkan tiada lagi tempat untuk merasai kecintaan kepadaAllah dalam hatinya. Ini menyebabkan dia tidak merasa salah apabila melakukan maksiat dan tidak terasa adanya kewajipan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Dia akan merasai bebas daripada ikatan agama yang mana membawa kepada merasai bahawa agama ini mengikat kebebasannya.Apabila tiba saat kematian, akan bertambah kecintaannya kepada dunia yang akan berpisah dengannya. Dia rasa begitu sayu dan payah untuk meninggal dunia yang penuh penipuan ini. Maka ketika nafasnya berpisah daripada jasad ketika ini, maka dia termasuk golongan mereka yang jahat akhir hidupnya.

Sodiq Hasan Khan juga tidak lupa untuk memberitahu kepada kita tentang apa yang telah dinukilkan oleh imam Al-Ghazali di dalam kitab "Ihya' Ulumuddin" yang mana beliau telah menggariskan bahawa martabat jahat akhir penghidupan ada dua martabat iaitu :

1. Maratabat yang paling besar ialah apabila hati diperdayakan ketika saat sakaratul maut dan pada ketika itu juga timbulnya perasaan syak atau menolak kebenaran Islam. Maka ruhnya yang dicabut ketika itu sedangkan ia dibentengkan antaranya dan Allah selama-lamanya. Ini akan membawa kepada jauh daripada Allah dan dia akan diazabkan di neraka.

2. Martabat yang mana timbulnya perasaan cinta kepada dunia dan kelazatannya yang mana dia terus hanyut serta tadak ada lagi ruang untuk mencintai Allah. Ini merupakan perkara yang menggerunkan yang mana sesorang itu akan mati mengikut apa yang telah dikerjakan. Sekira keimanannya kuat sehingga seberat zarah maka dia akan dikeluarkan daripada neraka dalam masa terdekat tetapi jika keimanannya lebih ringan daripada itu maka dia akan diseksa lebih lama dalam neraka. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan segala rukun iman yang lain tetapi bersalahan dengan apa yang digariskan oleh al-Quran dan Hadis maka dia menempah bahaya walaupun dia seorang yang soleh dan zuhud. Oleh itu, marilah kita sama-sama menghitung diri dan keimanan kita supaya tidak tergelincir daripada keimanan yang sebenar.

Biografi:
1)Al-Quran Al-Karim
2)Yaumul Qiamah As-Sughra jil.1 ,Profesor Umar Ashqar

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...