PADA suatu hari seorang bapa membuat wasiat kepada anak perempuannya (daripada isteri kedua) yang telah menjaganya semasa sakit dengan menulis Wasiat yang berbunyi demikian:
``Wasiat haji. Wahid Bin Sani adalah saya pada hari ini 24 Jun 1990 ini mewasiatkan agar rumah di No. 18 Jalan Kenanga 1 Taman Merbau Jaya diberikan kepada anak saya Zakiah Binti Wahid''.
Setelah meninggal dunia, berlaku persengketaan keluarga dan Zakiah dihalau oleh anak-anak Wahid daripada isteri pertama.
Zakiah membawa kes ini ke Mahkamah Syariah untuk mendapat pembelaan di sisi undang-undang.
Malangnya wasiat Wahid didapati tidak sah dan tidak dapat dilaksanakan kerana dibuat kepada waris tanpa ada persetujuan waris lain selepas kematian.
Ini adalah contoh kes yang berlaku dalam masyarakat akibat kurang fahaman terhadap wasiat pemberian.
Wasiat ialah ikrar pemberian kepada bukan waris dengan kadar tidak melebihi 1/3 nilai keseluruhan harta dan hanya akan dilaksanakan selepas kematian.
Walau bagaimanapun, wasiat boleh diberikan kepada waris atau melebihi kadar 1/3 dengan syarat mendapat persetujuan semua waris selepas kematian. Wasiat ikrar pemberian ini adalah sunat dan amat digalakkan dalam Islam.
Kelebihan membuat wasiat pemberian dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis yang bermaksud, ``Sesiapa yang mati meninggalkan wasiat maka ia mati atas jalan Islam, mati dalam keadaan mengikuti sunah, mati dalam keadaan takwa, mati dalam syahadah dan matinya diampuni.''
Islam membenarkan wasiat pemberian dibuat secara lisan, tulisan atau isyarat pada bila-bila masa sahaja semasa hidup.
Walaupun begitu, umat Islam digalakkan membuat wasiat tersebut secara bertulis kerana memudahkan pembuktian di Mahkamah Syariah sekiranya ada pertikaian.
Di Zar Perunding Pusaka Sdn. Bhd., wasiat ikrar pemberian ini merupakan satu daripada strategi perancangan pusaka. Ia disediakan dalam satu dokumen yang dinamakan Surat Wasiyyah.
Matlamat penulisan Surat Wasiyyah ialah untuk memastikan umat Islam yang ingin membuat wasiat pemberian membuat dokumen yang sah dan menepati semua syarat yang digariskan syara.
Untuk memastikan pelaksanaan Surat Wasiyyah ini, Zar Perunding Pusaka menggalakkan umat Islam untuk melantik seorang wasi yang diyakini bertanggungjawab, dengan membuat pengamanahan melalui Surat Wisoyah (Surat Pentadbiran Harta Pusaka) sebagaimana yang pernah dibincangkan sebelum ini.
Dari aspek perancangan pusaka Islam, Surat Wasiyyah merupakan satu bentuk amal kebajikan dan alternatif kepada beberapa isu dalam hukum pusaka Islam, misalnya terdapat kaum keluarga yang terhalang daripada mendapat pusaka.
Begitu juga anak angkat dan ibu bapa serta saudara mara yang masih belum memeluk agama Islam, tidak berhak mendapat pusaka menurut hukum faraid. Walaupun begitu, mereka ini berhak menerima wasiat pemberian.
Di sini umat Islam diberi peluang untuk memperuntukkan tidak melebihi 1/3 hartanya, sama ada untuk kebajikan atau diberikan kepada mereka yang tidak mendapat pusaka.
Sehubungan itu, terdapat golongan tertentu yang amat perlu dan berkepentingan untuk menulis Surat Wasiyyah, antaranya ialah :
1. Golongan yang berharta/ berpendapatan tinggi sebagai satu amal kebajikan yang boleh menyumbang kepada `saham akhirat'. Maklum sahajalah saham dunia sudah banyak, perlulah seimbang dengan saham akhirat.
2. Pasangan yang mempunyai anak angkat atau anak angkat itu sendiri kepada keluarga angkatnya.
3. Mereka yang memeluk Islam dan ingin membuat wasiat pemberian kepada ibu bapa dan keluarga yang masih belum Islam.
4. Golongan yang lambat berkahwin.
5. Datuk kepada cucu (yang kematian ibu atau bapanya).
Wasiyyah datuk kepada cucu ini dinamakan `Wasiat Wajibah' yang berkesan untuk dilaksanakan kepada keluarga terdekat yang terlindung daripada mendapat pusaka.
Ini berlaku dalam masalah hak dan bahagian cucu lelaki atau perempuan yang telah kematian bapa atau ibu, sedangkan datuk mereka masih hidup.
Sekiranya datuk meninggal dunia, mereka ini adalah terhalang dengan kehadiran bapa dan ibu saudara. Beberapa negara Islam telah membuat peruntukan undang-undang berkenaan wasiat wajibah.
Contohnya undang-undang Mesir memperuntukkan bahawa seorang cucu yang kematian bapa atau ibunya sebelum kematian datuk atau neneknya berhak kepada bahagian bapa atau ibunya seolah-olah bapa atau ibunya masih hidup.
Enakmen Selangor juga membuat peruntukan yang sama, cuma berbeza dari segi cucu daripada anak lelaki sahaja yang berhak mendapat wasiat wajibah.
Kadar agihan wasiat wajibah ini adalah mengikut kadar agihan yang diberikan kepada ibu bapanya yang telah meninggal dahulu, dengan syarat kadar tersebut tidak melebihi 1/3 nilai keseluruhan harta pusaka.
Selain itu, Surat Wasiyyah juga dilihat sebagai satu bentuk ibadah dan tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan kerana ia secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan sosio ekonomi umat Islam, iaitu melalui sedekah jariah.
Amalan ini adalah antara amalan yang kekal ganjaran pahalanya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Apabila meninggal dunia seorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.
Dalam hal ini umat Islam diingatkan agar sentiasa membuat keputusan berdasarkan darjah kepentingan (aulawiyyat), terutamanya berkenaan kewangan dalam ibadah.
Seorang sahabat, Abdullah Ibn Mas'ud .a. pernah berpesan : ``Pada akhir zaman akan banyak orang yang pergi haji tanpa sebab; dengan mudah mereka melakukan perjalanan dan membelanjakan harta, namun kembali tanpa membawa sebarang pahala dan ganjaran. Ini kerana mereka pergi dengan senang, sementara jiran tetangganya atau masyarakatnya jatuh di lembah kesusahan tanpa sebarang pertolongan daripadanya.''
Sehubungan dengan itu, demi menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang pemurah dan penyayang, Zar Perunding Pusaka menyeru mana-mana badan kebajikan atau individu untuk menggunakan instrumen Surat Wasiyyah ini sebagai satu sumber dana kebajikan.
Setakat ini, Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan PENGASIH telah bersama kami untuk berkongsi manfaat daripada produk perancangan pusaka yang ada, khususnya Surat Wasiyyah.
.