Wednesday, August 17, 2011

Al-Qur’an adalah kunci kemuliaan


Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi kemuliaan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya? [al-Anbiya’ 21:10]



Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan). [az-Zukhruf 43:44]

Perkataan (ذكر) dalam kedua-dua ayat di atas ditafsirkan oleh ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh sebagai kemuliaan dan ini dipersetujui oleh al-Imam Ibn Jarir al-Tabari rahimahullah (310H). Berdasarkan dua ayat di atas, jelas kepada kita bahawa al-Qur’an adalah kunci kepada kemuliaan. Ini terbukti melalui sejarah bangsa Arab di mana sebelum diturunkan al-Qur’an, mereka adalah satu bangsa yang hina lagi tidak dikenali oleh dunia. Akan tetapi setelah diturunkan al-Qur’an, mereka berpegang dan mempraktikkan seluruh ajarannya sehingga bangkitlah mereka menjadi bangsa yang mulia, mengalahi bangsa-bangsa lain khasnya Rom dan Parsi, dua tamadun yang agung pada saat itu.

Apabila Islam berkembang kepada bangsa-bangsa yang lain, mereka turut berpegang teguh kepada ajaran al-Qur’an dan mempraktikkannya dalam seluruh urusan kehidupan. Berdasarkan sikap ini, mereka – yakni umat Islam – bangkit menjadi umat yang mulia dari timur hingga barat. Umat Islam menjadi umat yang disegani, dicontohi dan dihormati.

Sayang sekali beberapa kurun kemudian umat Islam mula mengabaikan ajaran al-Qur’an kepada ajaran-ajaran yang lain. Atas sikap ini keadaan mereka berubah ke arah kehinaan sebagaimana yang dapat diperhatikan sekarang ini. Benarlah sabda Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam:

إِ
نَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.

Sesungguhnya Allah mengangkat kedudukan satu kaum dengan kitab ini (al-Qur’an) dan merendahkan kedudukan satu kaum yang lain (dengan al-Qur’an).[2] Maksudnya, seseorang itu akan dapat memperoleh kemuliaan jika dia menggunakan al-Qur’an dan memperoleh kehinaan jika dia mengabaikan al-Qur’an.

Sesuatu yang lebih menyedihkan, umat Islam masa kini bukan sahaja mengabaikan al-Qur’an sebagai kunci kejayaan tetapi mereka mencari kunci tersebut daripada orang-orang bukan Islam. Umat Islam masa kini mencari kemuliaan di sisi orang bukan Islam. Umat Islam meniru bulat-bulat apa sahaja yang berasal daripada orang bukan Islam, malah menggunakan skala ukuran orang bukan Islam untuk menilai dan membezakan antara kemuliaan dan kehinaan. Umat Islam masa kini lupa atau tidak tahu bahawa skala ukuran yang sebenar bagi kemuliaan ialah apa yang ada di sisi Allah Azza wa Jalla:

Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. [Fatir 35:10]

Kemuliaan yang hendak dicari di sisi Allah ialah dengan menggunakan al-Qur’an. Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam menerangkan bahawa:
إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ.

“Sesungguhnya bagi Allah ada orang yang istimewa daripada kalangan manusia.” Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Siapakah mereka?” Rasulullah menjawab: “Mereka adalah Ahl al-Qur’an, merekalah orang yang istimewa di sisi Allah dan khusus di sisi-Nya.”[3]

Adapun menjadikan orang bukan Islam sebagai kunci dan skala kemuliaan, maka ia adalah salah satu daripada ciri-ciri munafik[4] yang wajib dihindari. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengingatkan:

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (Iaitu) mereka yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu kerana sesungguhnya kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah (sahaja). [an-Nisa’ 4:138-139]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...