Thursday, August 18, 2011

Menyebut “Amin” selepas membaca Al-Fatihah


Mengenai membaca amin selepas membaca surah Al-Fatihah di dalam solat seperti yang dilakukan oleh kebanyakan kita hari ini maka para ulama’ menyebut bahawa ianya ialah sunat yang dituntut dan hal ini merupakan pendapat jumhur ulama’. Walaubagaimanapun menurut Ibn Hazm pula ianya ialah wajib atas makmum dan sunat bagi Imam dan mereka yang bersolat sendirian (lihat Al-Muhalla m/s 262 Jilid 3 dan Ibn Abidin 320 Jilid 1 dan Mughni Muhtaj m/s 160 Jilid 1).

Perkataan Amin bermakna اللهم استجب “Ya Allah makbulkanlah” (lihat Ibn Katsir m/s 45 Jilid 1) dan disebut dari riwayat Abi Musa Al-Asya’ari yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
اذا قرأ (الامام) غير المغضوب عليهم ولا الضالين فقولوا آمين يجببكم الله
 

“Apabila Imam membaca “Ghoiril Maq’du bi’alaihim waladha’lin” maka sebutlah amin maka Allah akan memakbulkan kamu.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 404). Bahkan disebut oleh para ulama’ termasuk sunat membaca amin walaupun diluar solat sama ada berseorang diri atau bermakmum kepada orang lain atau menjadi imam jika setelah selesai membaca Surah Al-Fatihah.

Sesungguhnya perintah menyebut amin ini disebut sebagai mendapat ganjaran pahala dan manfaat seperti yang disebut dalam hadith riwayat Abu Hurairah r.a bahawa baginda Nabi s.a.w pernah bersabda:
 
اذا أمن الامام فامنوا فانه من وافق تأمينه تأمين الملائكة غفرله ما تقدم من ذنبه
 

“Jika Imam menyebut amin maka sebutlah amin sesungguhnya barangsiapa yang aminnya bertepatan (bersamaan) dengan amin para malaikat maka diampunkan dosanya apa yang telah berlalu.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 780 , Muslim no. 410 dan Tirmidzi no. 250 serta Abu Daud no. 936).

Begitulah juga dalam hadith-hadith yang lain seperti termasuk menyebut bahawa jika selesai Nabi s.a.w membaca Al-Fatihah baginda akan menyebut amin dan menjaharkannya (melantangkannya) dan meninggikan suaranya seperti dalam riwayat oleh Imam Abu Daud dalam Sunannya hadith no. 932 yang berdarjah sahih.

Walau bagaimanapun haruslah dingatkan bahawa pembacaan amin oleh makmum haruslah selepas imam menyebut amin bukan sebelum imam atau mendahului imam seperti dalam hadith di atas. Sesungguhnya amin para malaikat ialah selepas aminnya iman bukan sebelum atau bersama iman tetapi selepas imam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...