Friday, August 26, 2011

Beberapa larangan dalam ibadat haji





Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syeikh al-Maghari berkata: Selepas Allah menyebut amalan-amalan haji dan menerangkan apa yang wajib kepada orang yang terkepung dengan melakukan sembelihan untuk keluar daripada ihram, kemudian Allah menyebut berkenaan dengan masa atau Miqat Zamani bagi ibadat haji.

Begitu juga adab-adab ketika melakukan haji.

Kemudian disudahi dengan menyuruh supaya berpegang dengan adab-adab dan etika baik serta menyediakan bekalan untuk hari akhirat.

Firman Allah: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Al-Baqarah: 197)

Zahir nas ini menjelaskan bahawa haji itu mempunyai waktu yang tertentu iaitu pada beberapa bulan yang tertentu iaitu syawal, Zulkaedah dan 10 hari pertama Zulhijjah. Berdasarkan nas ini tidak sah ihram dengan haji melainkan di dalam bulan-bulan yang ditentukan sahaja, walaupun ada sesetengah mazhab mengatakan sah berihram dengan haji di sepanjang tahun dan menentukan bulan-bulan yang tertentu ini untuk menunaikan syiar-syiar haji pada masa-masanya yang termaklum. Pendapat yang akhir ini dipegang oleh Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad Ibn Hambal.

Pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibrahim al-Nakh’i, al-Thauri dan al-Laith Ibn Sa’ad, sementara pendapat yang pertama pula dipegang oleh Imam al-Syafie dan pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibn Abbas, Jubayr, `Atta’, Tawus dan Mujahid dan ia merupakan pendapat yang azhar.

Firman Allah: Maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Makna al-Rafath ialah perbuatan menyebut kata-kata persetubuhan dan kata-kata yang mendorong ke arahnya sama ada secara umum atau di hadapan perempuan.

Makna al-Jidal ialah perbuatan bertengkar atau berbalah yang menimbulkan kemarahan, dan makna al-Fusuq ialah melakukan maksiat sama ada besar atau kecil. Larangan ini bertujuan meninggalkan segala sesuatu yang bertentangan dengan suasana sopan santun terhadap Allah dan suasana penumpuan diri kepada Allah dalam masa ihram. Juga bertujuan meningkatkan diri dari keinginan-keinginan bumi dan melakukan latihan rohani supaya bergantung kepada Allah sahaja, beradab sopan di rumah-Nya bagi sesiapa yang berkunjung kepada-Nya dengan diri yang bersih dari segala-galanya hingga dari segala pakaian yang berjahit.

Secara tafsirnya orang-orang yang sedang mengerjakan haji itu dilarang mengerjakan perkara-perkara yang berikut:

1. Dilarang mencampuri isterinya sebelum tahallul awal, kerana yang demikian itu akan merosakkan hajinya. Orang yang berbuat demikian akan dikenakan denda (kafarah), iaitu menyembelih seekor unta dan mesti meneruskan pekerjaan hajinya, kemudian mengqada hajinya pada tahun hadapan.

2. Dilarang berbuat maksiat. Berbuat maksiat dalam ayat ini diertikan, segala perbuatan yang terkeluar dari mentaati Allah. Juga diertikan, perkara-perkara yang diharamkan pada masa berpakaian ihram seperti membunuh buruan darat yang tidak buas, mengerat kuku dan mencabut bulu atau rambut. Atau juga diertikan, mengejek-ngejek orang dengan gelaran yang tidak baik.

Dari Abu Hurairah katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Barang siapa mengerjakan haji, tiada ia bersetubuh dan tiada berbuat maksiat, kembalilah ia (bersih dari dosa) sebagaimana pada hari ia dilahirkan oleh ibunya.

3. Dilarang bertengkar, berjidal atau berdebat yang menyebabkan kemarahan antara seseorang dengan yang lain.

Perkara fusuq dan jidal dalam ayat ini adalah ditegah di dalam sebarang masa. Tetapi tersangat besar larangannya jika dilakukan pada waktu mengerjakan haji, kerana sangat buruknya dan tidak layak.

Firman Allah: Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah. Bagi hati seorang mukmin, ketenangan bahawa Allah mengetahui segala kebajikan yang dilakukan olehnya sudah cukup untuk menjadi pendorong ke arah melakukan perbuatan yang baik supaya Allah melihat dan mengetahuinya. Ini sahaja merupakan satu balasan sebelum mendapat balasan akhirat.

Firman Allah: Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). Takwa merupakan bekalan dan makanan hati dan jiwa. Dengan takwa hati mendapat tenaga dan kekuatannya, mencapai kesuburan dan kegemilangannya.

Takwa merupakan tempat pergantungan hati untuk sampai kepada Allah dan mencapai keselamatan, dan orang-orang yang berakal merupakan orang yang pertama dapat memahami bimbingan kepada takwa dan merekalah sebaik-baik orang yang mendapat manfaat dari bekalan takwa ini.

Sebagai penutup penulis menukilkan kisah kefahaman al-Junaid tentang syiar haji melalui Mabadi’ al-Tasawuf al-Islami oleh Syeikh Abdul Hafiz Faraghli Ali al-Qarani -129-130. Iaitu seorang lelaki yang baru menunaikan haji telah datang berjumpa dengan al-Junaid.

Lalu al-Junaid bertanya kepada lelaki tersebut: “Adakah kamu meninggalkan semua dosa-dosa kamu ketika meninggalkan rumah?” Jawab lelaki tersebut: “Tidak.” Kata al-Junaid: “Sebenarnya kamu tidak pergi mana-mana.” Tanya al-Junaid lagi: “Dan setiap tempat di mana kamu bermalam adakah kamu berhenti untuk Allah.” Jawab lelaki itu: “Tidak.”

Berkata al-Junaid: “Kamu tidak berhenti dari satu tempat ke satu tempat.” Kemudian ditanya lagi: “Ketika kamu memakai ihram pada tempatnya adakah kamu meninggalkan sifat-sifat basyari (kemanusiaan) tatkala kamu menanggalkan baju kamu?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Sebenarnya kamu tidak berihram.”

Ditanya lagi: “Ketika wukuf di Arafah adakah kamu berfikir tentang Allah walaupun dalam satu saat?” Jawabnya: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak wukuf di Arafah. Ketika kamu pergi ke Mudzalifah untuk menunaikan rukun-rukun kamu adakah kamu menolak semua hawa nafsu?” Jawab lelaki tersebut: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak menunaikannya di Mudzalifah. Ketika kamu bertawaf di Baitullah adakah kamu memahami keindahan ilahi di rumah suci itu?” Jawab lelaki itu: “Tidak.”

Berkata al-Junaid: “Kamu tidak bertawaf di Baitullah. Dan ketika kamu bersaie antara safa dan marwah adakah kamu memahami apa itu al-Safa dan al-Muru’ah?” Jawab lelaki tadi: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak bersaie.” Kemudian ditanya lagi: “Ketika kamu sampai ke tempat korban dan kamu berkorban adakah kamu mengorbankan sebab-sebab keseronokan dunia?” Jawabnya lagi: “Tidak.”

Berkata al-Junaid: “Kamu tidak berkorban. Dan ketika kamu melontar Jamrah adakah kamu melontar juga pemikiran-pemikiran jasadmu?” Jawab lelaki tersebut: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak melontar Jamrah bahkan kamu tidak menunaikan haji.”

Inilah kisah yang digambarkan kepada kita, contoh roh ibadat yang diamalkan oleh ahli sufi. Ia menunjukkan sejauh mana mereka mempertingkatkan diri mereka untuk sampai ke darjat yang tinggi dengan menunaikan syiar-syiar agama yang bertujuan untuk beribadat kepada Allah.

Iktibar Ayat :

* Ibadat haji mempunyai Miqat Zamani.

*Disiplin dan sifat mahmudah hendaklah diterapkan dalam masyarakat Islam lebih-lebih lagi ketika melaksanakan ibadat seperti haji.

*Berbekal dalam kehidupan amat wajar lebih-lebih lagi bekalan dengan takwa untuk hari akhirat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...