Thursday, August 18, 2011

RENUNGAN RAMADHAN 13


Salah satu perkara menghantui umat Islam kini ialah isu Palestin yang belum selesai. Kita merasa amat sedih dengan penderitaan harian yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di sana. Rumah mereka diruntuhkan, anak-anak mereka di bunuh, wanita mereka dicabuli. Ini berlaku dalam tanah air kita dan mereka. Palestin adalah tanahair kita. Bumi Baitul Maqdis adalah tanah suci Islam.

Walau apa pun yang cuba disembunyikan oleh pihak zionis, Palestin adalah tanah suci Islam. Ia menjadi tanah suci Islam bukan hanya dengan isra’nya Nabi Muhammad (saw) pada tahun ke 10 kenabian. Ia menjadi bumi Islam bukan dengan penaklukannya pada zaman khalifah Umar (ra). Malah ia telah menjadi tanah air kita umat Islam sejak zaman zaman Nabi Daud (as) dan Sulaiman (as), kerana kedua-dua Nabi ini membawa agama Islam. Mereka membawa risalah tauhid dan menyeru manusia untuk tunduk dan patuh kepada Ilahi; menyerah diri atau Islam kepada Tuhan yang Maha Esa. Umat Islam kinilah yang mewarisi risalah para Nabi (as) termasuk risalah Nabi Daud (as) , Sulaiman (as) dan Muhammad (saw). Maka Palestin dan Baitul Maqdis adalah sejak asalnya tanah milik umat Islam.

Tanah ini diceroboh kini. Hanya dengan cebisan nota oleh Lord Balfour pada 1917, dan mandat PBB pada 1947 negara parasit zionis telah ditubuhkan. Pada 1922, Yahudi merupakan 11% daripada penduduk Palestin tetapi apabila PBB menubuhkan negara Israel pada 1947 rakyat Yahudi diberikan 56% tanah Palestin. Virus kini merebak sehingga mereka menjajah dan menakluk sehinggakan selepas Perang Arab-Israel pertama pada 1949, mereka telah menguasai 80% dari tanah manakala 800,000 penduduk asal Palestin terpaksa menjadi pelarian.

Tetapi isunya bukan sekadar tanah-tanah yang diduduki selepas perang 1949 atau 1967. Bahkan, tanah asal Israel seperti diputuskan oleh PBB pada tahun 1947 itu pun sudah haram diduduki kerana ia dirampas dari milik kita.

Kini mereka bermaharajalela lagi. Setiap hari kita akan mendengar kematian anak-anak kita, penangkapan saudara-saudara kita, pencerobohan oleh tentera Israel ke atas rumah tangga saudara-saudara kita. Bolehkah kita berdiam diri, berpeluk tubuh melihat mereka terus menoda’i bumi tanah suci kita yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“ Tidak perlu disiapkan kenderaan untuk bepergian kecuali untuk mengunjungi tiga Masjid; Masjidil Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa” (hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud )


Mungkin kita merasa kecewa; tidak dapat berbuat apa-apa. Mungkin kita putus asa kerana Amerika sentiasa berada di belakang dan membela segenap tindakan ganas Israel. Kita mungkin merasa lemah melihat bagaimana Israel yang telah membelakangkan begitu banyak resolusi PBB di biarkan lepas tanpa hukuman sedangkan negara Islam yang lain seperti Iraq ditekan habis-habisan walaupun hanya dengan satu resolusi PBB.

Namun, Allah akan memenangkan agamanya dan mewarisi bumi ini kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh.


Apa yang kita perlu buat ialah berusaha untuk menukar keadaan ini dengan apa juga cara yang termampu. Paling kurang kita boleh berdo’a dan memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat kita. Setidak-tidaknya kita boleh menyumbang kepada Tabung Palestin. Dan paling penting tetapi tidak terlalu sukar ialah kita menjayakan program boikot barangan Amerika. Jika terdapat alternatif, maka tidak perlulah kita berurusan atau membeli apa juga jenama produk atau perkhidmatan yang mempunyai kepentingan Amerika; samada yang diimport terus atau dibuat secara berlesen atau francais oleh syarikat tempatan. Paling terkehadapan dalam bab ini ialah Mcdonalds dan Starbuck Coffee yang jelas memberi sokongan dan sumbangan kepada perjuangan zionis. Syarikat lain juga mempunyai saham dengan membayar cuka kepada kerajaan Amerika. Jika kita tidak mempunyai alternatif lain kecuali barangan Amerika, maka jadikanlah ia pilihan terakhir; buy American last.

Kita tidak mahu hasil wang yang kita berikan kepada syarikat-syarikat ini akan dibawa pulang ke Amerika dan seterusnya disalurkan kepada rejim zionis dalam bentuk senjata dan peluru untuk meratah tubuh-tubuh kerdil anak-anak kita di Palestin.

Ya Allah! Bantulah saudara-saudara kami di Palestin dan segenap tempat. Menangkanlah mereka, ringankanlah penderitaan mereka. Ya Allah! Musnahkanlah musuh-musuh kami dan musuh-musuhmu, hancurkanlah kekuatan musuh dan gagalkanlah perancangan jahat mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...