Wednesday, August 24, 2011

Beratnya amanah sebagai hakim




Dalam sebuah kitab yang cukup terkenal di dunia tasawuf, Kasyful Mahjub, diceritakan bahawa suatu ketika Khalifah al-Mansur dari kerajaan Abbasiyah mengundang empat ulama besar datang ke istananya.

Mereka ialah Abu Hanifah, Sufyan al-Tsauri, Mis'ar bin Qidam dan Syuraih.

Khalifah berhasrat melantik salah seorang daripada mereka menjadi hakim agung kerajaan, satu jawatan yang sangat strategik dan menjadi idaman banyak orang.

Bagaimanapun keempat-empat ulama besar itu sepakat menolak permintaan Khalifah al-Mansur. Sufyan al-Tsauri memilih melarikan diri ke sebuah pelabuhan dan bersembunyi di bawah kapal yang hendak berlayar, sementara yang lain berangkat menuju istana untuk menyatakan penolakan mereka.

Apabila tiba di istana, Khalifah al-Mansur melantik Abu Hanifah untuk menjadi hakim agung. Abu Hanifah berusaha menolak dengan menegaskan: "Wahai Amirul Mukminin, aku bukanlah orang Arab melainkan sahabat orang-orang Arab. Pemimpin Arab tidak akan menerima keputusan hakim agung seperti aku."

Khalifah pun menerima penolakan Abu Hanifah dan memanggil Mis'ar bin Qidam.

"Engkaulah yang harus menjadi hakim agung," kata Khalifah al-Mansur. Namun, Mis'ar berpura-pura berkelakuan seperti orang gila.

"Keluarkan orang ini, dia sudah gila," teriak Khalifah al-Mansur.

Tinggallah seorang ulama lagi, Syuraih pun dititahkan mengisi kekosongan jawatan hakim agung. Syuraih menyatakan keberatannya seperti mana dilakukan oleh dua ulama sebelumnya.

Syuraih berkata: "Wahai Khalifah, aku ini mudah bersedih dan suka bergurau. Padahal orang yang bersedih dan suka bergurau tidak layak menjadi hakim."

Bagaimanapun alasan Syuraih itu tidak diterima oleh Khalifah al-Mansur. Syuraih dilantik menjadi hakim agung, sebab tidak ada lagi ulama yang sesuai untuk memegang jabatan tersebut.

Kisah ini mencerminkan keteguhan ulama dalam memegang prinsip untuk tidak tergoda oleh kekuasaan.

Bagi mereka, kekuasaan merupakan wajah yang sangat menakutkan. Oleh itu, ia berpotensi menyempitkan ruang gerak dan pendirian berkecuali seorang ulama.

Selain itu, jawatan sebagai hakim sangat berat, kerana ia amanah besar dan mampu memalingkan mereka daripada ibadah kepada Allah SWT.

Justeru para ulama berusaha menghindari segala macam bentuk kekuasaan dan godaan duniawi daripada diri mereka dengan melakukan pelbagai cara.

Sudah pasti keadaan ini amat berbeza dengan situasi sekarang di mana ramai para ulama yang berebut-rebut untuk merebut kuasa terutamanya politik.

Dalam usaha berkenaan mereka berusaha mengumpul kekuatan bagi membolehkan cita-cita tercapai.

Akibat tindakan tersebut, sesetengah ulama tidak lagi dilihat membimbing umat sebaliknya banyak daripada mereka menjadi punca kepada perpecahan umat Islam.

Apa yang lebih malang situasi itu berlaku hanya kerana perbezaan politik. Segala kenyataan serta tindakan yang dibuat bukan lagi berlandaskan kebenaran dan tuntutan Islam. Sebaliknya atas perhitungan sejauh mana ia menguntungkan politik pihak yang mereka sokong atau sertai.

Situasi umat Islam juga menjadi semakin bercelaru apabila ada ulama yang dilihat berpengaruh membuat kenyataan-kenyataan kontroversi.

Lanjutan itu umat Islam di negara ini terus berpecah belah disebabkan semakin ramai ulama yang tidak memainkan peranan sebagai pembimbing umat sebenar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...