Wednesday, August 17, 2011

Al-Qur’an adalah “Roh” yang memberi kehidupan




Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Roh daripada perintah Kami. [as-Syura 42:52]
 
Terdapat beberapa tafsiran terhadap perkataan “Roh” dalam ayat di atas. Kebanyakan ilmuan menafsirkannya sebagai sesuatu yang memberi kehidupan kepada rohani manusia. Sama-sama diketahui bahawa manusia terbahagi kepada dua unsur, jasmani dan rohani. Jika yang menghidupkan jasmani adalah perkara-perkara materialistik maka yang menghidupkan rohani adalah al-Qur’an. Jika yang mengubati jasmani yang sakit adalah ubat maka yang mengubati rohani yang sakit adalah al-Qur’an. Ini sebagaimana yang disebut dalam ayat lain:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. [Yunus 10:57]

Rohani yang hidup adalah sesuatu yang dicari-cari oleh manusia masa kini. Setelah sekian lama memberi tumpuan kepada kehidupan jasmani, mereka sedar bahawa ia sebenarnya tidak memberi kehidupan kepada rohani. Tanpa rohani yang hidup, jasmani terasa sakit, malah seolah-olah mati, sekalipun ia dihiasi dengan pelbagai keindahan materialistik.

Untuk menyembuh dan menghidupkan rohani, manusia mencipta berjenis-jenis kaedah. Namun kaedah yang mereka cipta memiliki pelbagai kekurangan di dalamnya. Ia mungkin berkesan untuk sebahagian individu tetapi tidak kepada yang lain, berkesan untuk sebahagian keadaan tetapi tidak untuk yang lain dan berkesan untuk satu tempoh masa tertentu, tidak berpanjangan. Lebih memburukkan, kaedah-kaedah yang dicipta adalah berdasarkan konsep “cuba dan lihat” (trial and error).

Terlepas dari semua itu, kaedah-kaedah tersebut adakalanya dicipta semata-mata kerana mencari kedudukan duniawi dan ia kembali kepada nilai materialistik semata-mata. Ini kerana apabila seseorang individu itu berjaya mencipta satu kaedah yang didakwanya dapat “mengubat dan menghidupkan” rohani, dia akan menjadi tumpuan orang ramai. Hal ini dapat kita perhatikan dalam pelbagai aliran penyembuhan rohani (healing of the soul) masa kini. Orang ramai akan merujuk kepada guru aliran tersebut, menyerahkan diri kepadanya, menyanjungnya dan menghadiahkannya dengan pelbagai pulangan materialistik.

Faktor utama yang menyebabkan kekurangan ini adalah kerana yang mencipta cara-cara tersebut adalah manusia itu sendiri yang sedang sakit dan kematian rohaninya. Tidak ada ubat yang mujarab melainkan apa yang dikurniakan oleh Allah yang telah mencipta rohani manusia itu sendiri. Hanya dengan al-Qur’an rohani manusia akan hidup dan terus hidup dengan sihat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...