Salah satu sunnah Rasulullah yang mungkin belum kita amalkan – termasuklah saya – ialah meninggalkan wasiat. Mungkin kerana tidak tahu, menganggap diri masih sihat, memandangnya remeh, jarang mengingati kematian secara benar atau salah tafsiran, tidak ramai di antara kita yang menulis wasiat kepada ahli keluarga kita. Justeru dalam ruangan kali ini, saya ingin mengajak diri saya dan para pembaca yang budiman merenung subjek ini.
Rasulullah pernah bersabda: “Tidaklah sepatutnya seorang muslim yang memiliki sesuatu untuk diwasiatkan, melalui dua malam melainkan wasiatnya sudah tertulis di sisinya.” Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 2533 (Kitab al-Washaya, Bab wasiat dan sabda Nabi).
Dalam hadis ini jelas tergambar kepentingan menulis wasiat kepada semua individu muslim sehingga tidak sepatutnya dua malam berlalu tanpa dia menulis apa-apa wasiat. Para ilmuan – sepertimana yang dinukil oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis di atas – berbeza pendapat sama ada hukum menulis wasiat adalah wajib atau sunat. Namun yang utama ialah segera melaksanakan tuntutan hadis sebagaimana yang dilakukan oleh ‘Abdullah ibn Umar: “Sejak mendengar sabda Rasulullah tersebut, maka tidak ada satu malam pun yang berlalu melainkan di sisiku telah terdapat surat wasiatku.” [Shahih Muslim, no: 3075]