Saturday, August 27, 2011

Wajib berwasiat apabila didatangi tanda kematian


Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syeikh al-Maghari berkata: Kalam pada ayat yang terdahulu berkenaan dengan qisas terhadap pembunuhan yang merupakan satu daripada jenis-jenis kematian. Maka amat munasabah disebut apa yang ditentu bagi siapa yang hampir mati untuk berwasiat.

Ucapan ini adalah umum kepada seluruh manusia supaya berwasiat dengan sesuatu yang baik. Lebih-lebih lagi ketika keadaan hampirnya sebab-sebab kematian dan zahirnya alamat tersebut supaya jadilah penutup amalan mereka dengan kebaikan dan telah terdahulu bahawa kita menyebut berkenaan dengan ummah atau bangsa yang saling bantu membantu secara takaful.

Ia ditujukan kepada orang ramai sebagaimana ditujukan pada orang perseorangan. Melaksanakan hak-hak syariah bagi orang perseorangan tidaklah sempurna kecuali dengan sikap tolong menolong dan bantu-membantu dengan segala arahan-Nya dan larangan-Nya. Apabila sebahagian tidak dapat melaksanakannya maka yang lain juga perlu melaksanakannya sebagai kewajipan bersama.

Allah berfirman, Diwajibkan ke atas kamu apabila seseorang kamu didatangi (gejala-gejala) mati, jika ia meninggalkan harta yang banyak hendaklah ia berwasiat untuk ibu bapa dan kerabat-kerabatnya dengan suatu habuan kebaikan sebagai kewajipan kepada orang-orang yang bertakwa.

Kemudian barang siapa yang mengubah wasiat itu setelah didengarnya, maka dosanya (dibebankan) ke atas orang-orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha mendengar dan Maha Melihat.

(Akan tetapi) barang siapa yang merasa bimbang terhadap pembuat wasiat itu melakukan sesuatu yang tidak adil atau membuat sesuatu dosa dalam wasiatnya lalu ia bertindak mendamaikan antara pewaris-pewaris, maka tidaklah berdosa kepadanya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih. (Al-Baqarah: 180-182)

Firman Allah s.w.t: Diwajibkan ke atas kamu apabila seseorang kamu didatangi (gejala-gejala) mati, jika ia meninggalkan harta yang banyak hendaklah ia berwasiat.

Ibnu al-Jauzi berkata: Terdapat enam pendapat berkenaan berlakunya wasiat pada kadar harta:

Pertama: 1,000 dirham ke atas, mengikut riwayat Ali dan Qatadah.

Kedua: 700 dirham ke atas, seperti Towus daripada Ibnu Abbas.

Ketiga: 40 dinar ke atas, seperti riwayat ‘Ikrimah daripada Ibnu Abbas.

Keempat: Harta yang banyak melebihi nafkah keluarga.

Kelima: Daripada 1,000 dirham hingga ke 500 dirham seperti kata Ibrahim al-Nakha’ie.

Keenam: Harta sama ada sedikit atau banyak, seperti riwayat Ma’mar daripada Zuhri.

Seterusnya, apakah hukum wasiat? Terdapat dua pandangan mengenai hal ini. Pertama; hukumnya sunat. Kedua; hukumnya wajib dan ia lebih sahih berdasarkan maksud ayat dengan kalimah kutiba.

Walaupun begitu Ibnu Umar berkata: Ayat ini dinasakhkan dengan ayat pewarisan.

Firman Allah s.w.t: Untuk ibu bapa dan kerabat-kerabatnya dengan suatu habuan kebaikan sebagai kewajipan kepada orang-orang yang bertakwa.

Wasiat untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabat merupakan satu kefarduan jika seseorang itu akan meninggalkan harta kekayaan. Kata-kata khair di dalam ayat ini ditafsirkan dengan erti kekayaan. Para ulama berselisih pendapat dalam menentukan kadar harta kekayaan yang diwajibkan wasiat itu.

Pendapat yang rajih ialah penentuan ini merupakan satu persoalan pertimbangan mengikut adat. Sesetengah ulama berpendapat seseorang itu tidak dikatakan meninggalkan harta kekayaan jika ia tinggalkan harta kurang daripada 60 dinar.

Menurut satu pendapat yang lain, 80 dinar dan satu pendapat lagi 400 dinar dan satu pendapat yang lain pula 1,000 dinar.

Tidak syak lagi bahawa kadar peninggalan yang dikira sebagai satu kekayaan yang memerlukan wasiat itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman dan dari satu masyarakat ke satu masyarakat.

Ayat-ayat mengenai hukum pusaka diturunkan selepas ayat-ayat wasiat ini. Ia menentukan bahagian-bahagian kepada pewaris-pewaris dan menjadikan ibu bapa sebagai pewaris dalam segala keadaan. Oleh sebab itulah kedua-duanya tidak mendapat habuan wasiat kerana tidak ada habuan bagi pewaris berdasarkan sabda Rasulullah.

Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya Allah telah memberi setiap yang berhak itu haknya masing-masing oleh itu tiada habuan wasiat bagi pewaris. Adapun kaum kerabat maka nas wasiat itu secara umumnya kekal untuk mereka, iaitu sesiapa yang mendapat bahagian pusaka yang ditentukan oleh ayat-ayat pusaka maka ia tidak dapat bahagian wasiat, dan sesiapa yang tidak mendapat bahagian pusaka maka nas wasiat di sini mencakupi mereka.

Inilah pendapat sebahagian sahabat dan tabi’in yang kami pegangi. Tujuan memberi hak wasiat kepada yang lain selain para pewaris dapat dilihat dengan jelas dalam kes-kes yang memerlukan hubungan yang baik dengan sesetengah keluarga apabila mereka tidak mendapat bahagian pusaka mengikut penentuan ayat-ayat pusaka kerana mereka telah dihijab oleh pewaris yang lain.

Ini merupakan satu daripada bentuk-bentuk takaful am kekeluargaan di luar sempadan pusaka. Oleh sebab itulah ayat ini menyebut kata-kata kebaikan dan takwa.

Firman Allah: Dengan (suatu habuan) kebaikan sebagai satu kewajipan kepada orang-orang yang bertakwa. Yakni dalam wasiat ini seseorang itu janganlah menganiayai para pewaris dan jangan pula mengabaikan kerabat-kerabat yang bukan pewaris, dan hendaklah ia berpandukan taqwa dengan adil dan saksama, dengan membuat kebaktian dan pemberian budi yang baik.

Namun demikian al-Sunah membataskan wasiat itu tidak melebihi kadar 1/3 dan 1/4 itu adalah afdal supaya kepentingan pihak pewaris tidak digugatkan dengan kerabat yang bukan pewaris.

Ini bererti urusan wasiat itu dilaksanakan mengikut dasar undang-undang dan semangat takwa dan itulah sifat-sifat, peraturan-peraturan kemasyarakatan yang diwujudkan oleh Islam dengan penuh keselarasan dan aman damai.

Oleh itu sesiapa yang mendengar wasiat maka ia akan menanggung dosa jika ia mengubahkan wasiat itu selepas kematian si mati yang diwarisi (pemberi wasiat), dan si mati ini tidak berdosa dengan pengubahan itu.

Firman Allah:
Kemudian barang siapa yang mengubah wasiat itu setelah didengarnya, maka dosanya (dibebankan) ke atas orang-orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha mendengar dan Maha Melihat. Kata Sayid Qutub, Allah menjadi saksi atas apa yang didengar dan diketahui olehnya. Dialah saksi si mati yang diwarisi, dan Dia tidak akan mempersalahkan perbuatan pengubahan wasiat yang dilakukan selepas kematiannya, dan Dialah saksi terhadap orang yang mengubah wasiat itu dan mengenakan dosa perbuatan ke atasnya.

Hanya terdapat satu kes sahaja, di mana penerima wasiat boleh mengubah wasiat pemberi wasiat, iaitu apabila dia mengetahui bahawa pemberi wasiat itu bertujuan memilih kasih atau menzalimi pihak pewaris dengan wasiat itu.

Dalam kes yang seperti ini tidak menjadi kesalahan bagi pihak yang mengendalikan pelaksanaan wasiat itu bertindak dan dapat memulangkan perkara itu kepada keadilan dan kesaksamaan.

Firman Allah: (Akan tetapi) barang siapa yang merasa bimbang terhadap pembuat wasiat itu melakukan sesuatu yang tidak adil atau membuat sesuatu dosa dalam wasiatnya lalu ia bertindak mendamaikan antara pewaris-pewaris, maka tidaklah berdosa kepadanya. Sesungguhnya Allah maha pengampun dan maha pengasih. Sayid Qutub berkata: Perkara ini terserah kepada keampunan dan rahmat Allah terhadap kedua-dua pihak itu dan dan terikat kepada pemeliharaan Allah dalam semua keadaan. Itulah jaminan terakhir bagi keadilan dan kesaksamaan.

Demikianlah kita dapati urusan wasiat itu diikatkan dengan ikatan yang sama dengan ikatan yang mengikat urusan qisas sebelum ini. Ikatan inilah juga yang mengikat segala perkara di dalam urusan kefahaman dan pemikiran Islam dan urusan masyarakat Islam.

Iktibar dan pengajaran ayat:

* Wasiat amat penting dalam kehidupan manusia.

* Takwa merupakan kemuncak perhambaan kepada tuhannya.

* Mewasiatkan dengan kebaikan kepada waris berhubung dengan isu harta amat penting supaya tidak berlaku persengketaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...