Wednesday, August 3, 2011

Bahagiakah Hidup Tanpa Iman?

 

image

Baru-baru ini saya dan isteri bergegas ke Kangar untuk mengambil seseorang. Ketika itu saya ada majlis di sekolah dan saya adalah antara tenaga utama untuk menjayakan majlis hari itu. Ketika majlis berada dikemuncak, saya terpaksa tergesa-gesa meninggalkan majlis kerana sudah berjanji untuk mengambil orang yang dijanjikan tadi. Disebabkan sedikit salah faham, saya terus ke Kangar sedangkan  sepatutnya tempat yang sepatutnya saya pergi hanya 2 atau 3 KM dari sekolah (MATRI)saya di Beseri (9 KM dari Kangar).

Isteri saya hanya diam walaupun terasa jalan yang saya lalui agak berbeza tetapi kerana matanya tidak boleh melihat dalam jarak yang jauh maka dia terdiam saja (Isteri saya mengidap Retinis Pigmentosa; Penglihatannya semakin hari semakin kurang, menurut doktor pakar, ia mungkin akan buta sepenuhnya apabila berumur 40 tahun tetapi itu hanyalah ramalan doktor… yang jelasnya tiap penyakit itu ada ubatnya kecuali tua dan mati). Hari itu pula hari Jumaat, pelajar-pelajar sekolah baru keluar dan mak ayah datang menjemput manakala pejabat-pejabat dan kilang-kilang  pula rehat untuk solat Jumaat. Anda boleh bayangkan betapa sibuk jalanraya ketika itu.

Tinggal beberapa ratus meter ke Kangar, isteri saya baru tanya “betulke jalan ni, rasa macam jauh saja?” . “Betullah, dah dekat nak sampai asrama dia” Jawab saya bersahaja. “asrama? Kita kan nak ambil dia kat kolej bukan asrama” Respon isteri saya. “La… pasal apa  tak bagitau awal-awal”. “biasalah, Ton mana boleh nampak, tapi memang rasa jalan ni lain sikit dan jauh sedangkan tempat tu dekat saja” balas isteri saya semula. “Kalau dah rasa lain macam , pasal apa tak tanya awal-awal? Isteri saya terdiam.

Memang dalam hati saya ada rasa tak puas hati. Saya cuba hayati perasaan saya pada masa itu; marah, bengang, kecewa dan macam-macam lagi. Saya cuba bayangkan jika perasaan dibiarkan terus menguasai diri saya.  Saya dapat rasakan keserabutan jiwa dan bahang kemarahan yang menguasai hati. Setelah beberapa minit terdiam melayani perasaan tadi saya tertawa kecil.

“Macamana kalau kita tak tak dapat kawal perasaan sekarang ni…dengan jalan yang sesak, nak patah balik pulak, kemudian nak hantar kawan dia ke stesyen bas Kangar kemudian nak rush balik ke MATRI untuk solat Jumaat? Tanya saya pada isteri saya. “Tentu kita dah bergaduh” katanya. “Tentu abi (panggilan anak-anak pada saya; ayah) tension, lepas tu ada pulak mak cik bawa kereta pelan-pelan kemudian kat simpang pula takut nak lintas jalan. Tentu kemarahan makin memuncak, balik rumah pula anak buat hal …. Dah tentu kena marah, kena tengking dan sebagainya” Sambung saya pula. “Tentu malang, kalau terpaksa menempuh hidup tanpa iman” saya cuba membuat rumusan ringkas.

Ya, alangkah malangnya hidup tanpa iman. Setiap masalah yang menimpa disambut dengan buruk sangka dan penuh kebencian hingga hati-hati kita menjadi keras dan kering. Tidak ada ruang untuk pasrah dan menerima atau bersabar dan meyakini kesempurnaan tadbir dan takdir Allah SWT.

Kadang-kadang, kerana sikap begini, musibah kecil yang Allah timpakan pada kita menjadi berganda besarnya.

Bayangkan ketika kita sedang sibuk hendak ketempat kerja, datang anak kita dalam keadaan berlari dan melanggar pinggan nasi lemak yang sedang kita nikmati. Pinggan bertaburan pecah dan kuah sambal bilis melekat pada baju kita yang putih. Dengan penuh kemarahan kita genggam lengan anak kita dan kita tinggikan suara semaunya, kita terus marah dan kita terus meleterinya hingga akhirnya anak kita ketinggalan bas.

Setelah puas menumpahkan kemarahan pada anak kita tadi kita terus bergegas kebilik untuk menukar pakaian. Selesai tukar pakaian kita terus heret anak kita yang masih menangis naik kekereta. Kita terus pecut ke sekolah untuk menghantar anak kita yang ketinggalan bas tadi. Tiba-tiba terdengar siren polis trafik dan ternampak pegawai polis tersebut mengarahkan kita berhenti ditepi jalan. Terus pagi itu kita dapat ‘surat cinta’ kerana memandu laju dan merbahaya.

Anak kita semakin takut dan terasa bersalah, ia hampir-hampir kehilangan dirinya sendiri. Dinding kereta ayahnya terlihat umpama palang-palang penjara dan dia umpama pesalah yang sedang menanti hukuman. Wajah kita semakin bengis hingga hilang sinar kasih sayang pada riak wajah kita bahkan yang terlihat adalah kebencian dan kemarahan yang meluap-luap. “Ini semua salah kamu!” Kita menengking untuk melepaskan kemarahan kita. “Tengok! Ayah dah kena saman, siang malam ayah kerja keras untuk makan pakai kamu, yuran sekolah kamu dan sekarang nak bayar saman pulak” Kemarahan kita umpama empangan pecah yang menyapu bersih rasa kasih, simpati dan sikap pemaaf sebagai ayah. Sampai di sekolah kita renung wajah anak kita tadi dengan renungan yang begitu tajam hingga ia melangkah lemah dan penuh kekecewaan. Tidak ada kata-kata yang mampu terucap, lidahnya kelu seribu bahasa  tetapi jiwanya bergejolak. Rasa bersalah, takut bahkan mungkin rasa benci dan teraniaya dengan kekasaran kita. Ya, dia mempelajari sesuatu: kemarahan, kebencian dan mahalnya kemaafan.

Adakah dari jiwa anak ini akan lahir sifat penyanyang, pemaaf dan lapang dada? Adakah peribadinya akan tumbuh sebgai seorang yang sabar, tabah dan tenang menghadapi kehidupan?

Kita terus memecut kepejabat sambil menyumpah seranah pegawai polis, anak kita dan sesiapa saja yang menghalangi jalan kita KECUALI diri kita sendiri. Ya, kita tidak pernah bersalah. Hanya beberapa ratus meter untuk sampai ke pejabat baru kita perasan, beg kita yang mengandungi fail yang kita perlu serahkan pada boss kita pagi itu tertinggal dirumah. Kita terus patah balik dan akhirnya sampai begitu lewat sekali kepejabat dan ……

SEKARANG cuba kita rewind semula.

Ketika anak kita melanggar kita yang sedang bersarapan.

Apabila anak kita terlanggar… terus kita ucapkan Innalillahi wa inna ilaihi roji’un kerana itulah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW; apabila ditimba musibah, ucapkan innalillahi wa inna ilaihi roji’un. Allahummarjuni fi musibati wa akhlufli khairan minha (Dari Allah kita datang dan kepadaNya kita kembali, ya Allah berilah ganjaran dari musibah ini dan gantikanlah ia dengan yang lebih baik). Bahkan pernah Rasulullah SAW duduk dengan para sahabat, tiba-tiba pelita terpadam… lalu Rasulullah mengucapkan Innalillahi wa inna ilaihi roji’un, hingga ada sahabat yang bertanya “Ya Rasulullah, adakah ini pun musibah?” Jawab baginda “Apa saja yang menyulitkan mukmin(Orang yang beriman)  adalah musibah.”

Ya, setiap kesulitan itu adalah musibah dan setiap musibah itu ada pintu untuk syaithan masuk kedalam hati kita lalu membisikkan kebusukan, kebencian dan kemarahan. Jadi cepat-cepat kita tutup pintu itu dengan kembali mengikat diri kepada Allah SWT dan hakikat kekerdilan diri kita serta hakikat datang dan kembali pada Allah SWT.

Lalu kita dengan tenang memegang tangan anak kita dan berkata lembut padanya “Cuba tengok …kalau banyak sangat kita main-main kita akan cuai. Tentu Allah tak suka kalau kita selalu bermain-main dan cuai dalam hidup kita. Tak salah kalau nak bermain-main tetapi ada masa dan tempatnya…..” Kita terus menasihatinya untuk beberapa minit kemudian terus menukar pakaian kita dan anak kita terus berlari mendapatkan bas yang lalu dihadapan rumah kita. Kita pun bertolak ketempat kerja tanpa sebarang masalah.

Subhanallah…. Musibah tadi dapat kita jadikan sebagai medan untuk bersabar disamping memperbetulkan akhlaq anak kita. Dari musibah yang kecil tadi… kita semakin akrab kepada Allah dan anak kita merasakan dirinya terdidik. Anak kita dapat melihat indahnya kemaafan dan kesabaran, bahkan ia merasakan dirinya begitu berharga dan disayangi. Tentu langkahnya diiringi rasa bangga dan yakin diri.

Cuba kita bandingkan dengan kisah yang pertama tadi… tentu malang memiliki hati yang begitu bahkan anak kita terpaksa menempuh kehidupan yang penuh keraguan dan ketakutan. Peribadi bagaimanakah yang akan tumbuh pada diri anak kita dan apakah keuntungan yang kita dapat di dunia dan akhirat nanti.

Namun, bukan mudah untuk bersabar dan pasrah dengan kehendak Allah SWT kerana semua itu adalah natijah atau buah dari keimanan yang benar. Keimanan yang terbina diatas ma’rifatullah (mengenal Allah dengan jalan-jalan ilmu yang benar) sehingga melahirkan syu’ur atau perasaan yang dapat merasai kehadiran Allah dalam kehidupannya bahkan dapat merasai kesempurnaan urus tadbir Allah SWT sehingga ia sentiasa berinteraksi dengan Allah melalui doa dan munajatnya.

sumber: http://langitilahi.com/3135/bahagiakah-hidup-tanpa-iman/#more-3135

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...