Saturday, August 20, 2011

Solat Sunat Tahiyyatul Masjid



Solat Sunat Tahiyyatul Masjid merupakan solat sunat yang didirikan ketika memasuki masjid sebaiknya sebelum duduk.

Solat ini amat digalakkan dan seseorang itu digalakkan melakukan sunat Tahiyyatul Masjid walaupun ketika kutbah Jumaat sedang dibacakan pada hari Jumaat. Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika Nabi s.a.w. sedang berkhutbah pada hari Jumaat, datanglah seorang lelaki. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Adakah engkau telah mendirikan sembahyang Tahiyyatulmasjid, Wahai Polan! Orang itu menjawab: Belum! Rasulullah s.a.w bersabda: Bangun dan sembahyanglah! (Sahih Muslim)

Hadis Berkaitan

Dari Abu Qatadah r.a. berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Kalau sekiranya salah satu di antara kalian masuk ke dalam masjid maka dilarang untuk duduk di dalamnya sebelum mengerjakan solat dua rakaat (solat Tahiyatul Masjid) [2]

Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: "Nabi berhutang denganku. Lalu baginda membayarnya lebih daripada hutang baginda itu. Seterusnya aku memasuki masjid, lalu baginda berkata kepadaku: Sembahyanglah dua rakaat!" [3]

Hadis Kaab bin Malik r.a:

Kebiasaannya Rasulullah s.a.w kembali dari musafir pada waktu siang hari iaitu pada waktu Dhuha. Apabila kembali, baginda terus menuju ke masjid dan selepas mendirikan sembahyang dua rakaat baginda pun duduk [4]

Imam Malik berpendapat dan berpegang bahawa larangan mengerjakan solat selepas menunaikan solat Asar lebih keras daripada suruhan mengerjakan solat tahiyat masjid. Dengan demikian, beliau melarang penuntut-penuntutnya mengerjakan solat tahiyat masjid sekiranya mereka masuk ke masjid di antara waktu asar dan Maghrib. [5]

Pendapat Imam Malik

Pada suatu hari Imam Malik masuk ke masjid selepas Asar di Masjid Nabawi dan terus duduk tanpa terlebih melakukan solat tahiyat masjid. Ketika beliau hendak duduk, seorang budak menyuruhnya mendirikan solat tahiyat masjid. Imam Malik segera bangun dan menunaikan solat tahiyat masjid.

Apabila selesai mengerjakan solat dua rakaat itu, penuntutnya bertanya sama ada pendapat dan pegangannya sudah berubah. Beliau menyatakan pendapatnya tidak berubah, tetapi beliau melakukan solat sunat ketika itu kerana takutkan Allah menggolongkan dirinya dalam golongan mereka yang ingkar pada ayat Quran Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): Taatlah dan kerjakanlah sembahyang, mereka enggan mengerjakannya. (al-Mursalat 77:48) [6]

Permasalahan Mengenai Solat Sunat Tahiyyatul Masjid

Seorang jemaah sampai ke masjid pada waktu Zuhur dan bilal sedang melaungkan azan Zuhur, dan jemaah tersebut belum menunaikan solat Tahiyyatul Masjid. Dalam keadaan ini, apabila masuk waktu solat Zuhur, jemaah tersebut mempunyai dilema sama ada untuk menunaikan solat Tahiyyatul Masjid ataupun Solat Sunat Rawatib. Dalam keadaan ini, Islam mensyariatkan bahawa solat yang lebih berhak ke atas jemaah tersebut pada waktu itu adalah solat sunat Rawatib Zuhur dan bukannya solat sunat Tahiyatul masjid. Dengan mendirikan Rawatib Qabliyyah Zuhur, ulama mengira sudah memadai dan mendapat fadilat sunat Tahiyatul Masjid. (Mohd. Farid Ravi Abdullah - Utusan Malaysia Bicara Agama)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...