SUATU hari seorang wanita yang hamil kerana perzinaan datang bertemu Rasulullah s.a.w. Dia meminta supaya baginda menjatuhkan hukuman rejam ke atasnya. Bagaimanapun Rasulullah memanggil wali wanita itu dan bersabda, Jagalah dia baik-baik dan apabila dia sudah melahirkan anak, bawa dia kepadaku. Selepas melahirkan anak, wanita berkenaan sekali lagi mengadap Rasulullah dan dia dihukum rejam sampai mati. Baginda menyempurnakan sembahyang jenazah untuknya.
Ketika itu Umar al-Khattab bertanya, Ya Rasulullah, Kenapa Tuan menyembahyangkannya, sedangkan wanita itu telah melakukan zina? Rasulullah s.a.w. menjawab, Dia telah bertaubat, jika taubatnya dibahagikan kepada 70 orang di Madinah ini, ia masih mencukupi. Apakah ada orang yang lebih utama daripada seseorang yang telah menyerahkan dirinya kepada hukum Allah?'
Sememangnya di dalam menjalani kehidupan di alam fana ini, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Malah ada ketikanya ketenangan kita sering diganggu oleh dosa-dosa silam yang pernah kita lakukan. Ketika itu kita menjadi resah dan mungkin juga ada yang menitiskan air mata mengenang dosa-dosa yang pernah dilakukan. Namun menitiskan air mata sahaja tidak akan dapat memberi ketenangan kepada kita. Justeru, tiada jalan yang lebih baik selain menginsafi dosa-dosa yang telah kita lakukan dan bertaubat kepada Allah kerana sesungguhnya sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang-orang yang suka bertaubat.
Rasulullah s.a.w. bersabda, Seorang yang berbuat dosa lalu membersihkan diri (berwuduk atau mandi), kemudian dia solat dan memohon pengampunan Allah, maka Allah akan mengampuni dosanya.
Setelah berkata demikian Baginda mengucapkan firman Allah surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud, Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun atas dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu sedang mereka mengetahui. Taubat berasal daripada perkataan taaba-yatuubu-taubatan, iaitu kembalinya seorang hamba kepada Allah s.w.t. daripada segala perbuatan dosa yang pernah dilakukannya. Golongan sufi menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama yang harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk mencapai ma'rifatullah (hakikat). Adalah sesuatu yang sia-sia jika seseorang hamba itu terus melompat ke atas anak tangga seterusnya seperti zuhud, warak dan sabar tanpa terlebih dahulu membersihkan dirinya daripada segala dosa yang pernah dilakukannya dengan cara meminta keampunan kepada Allah dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.
Taubat harus dilakukan dengan segera tanpa menunggu ajal tiba, ini kerana taubat yang dilakukan ketika nyawa sudah di kerongkongan merupakan taubat yang sia-sia. Firman Allah dalam surah An Nisa ayat 17 hingga 18 yang bermaksud, Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera. Maka, mereka itulah yang diterima Allah taubatnya, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka, (barulah) ia berkata, Sesungguhnya aku taubat sekarang. Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedangkan mereka di dalam kekafiran. Bagi mereka Kami sediakan seksa yang pedih.''
Hati yang bersih setelah bertaubat merupakan sumber kedamaian dan ketenangan. Melalui ketenangan itulah ia akan membantu kita mengatasi masalah hidup dan tidaklah lagi berasa dibebani dengan dosa-dosa silam. Justeru selagi nyawa dikandung badan, selagi pintu taubat masih terbuka, maka ambil kesempatan tersebut untuk kembali ke jalan Allah.