TIDUR secara mudahnya didefinisikan sebagai berada di dalam keadaan tidak sedar dengan mata terpejam kerana berehat. Ajaran Islam melihat tidur sebagai satu nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Qasas :
"Daripada rahmat-Nya, (Allah) menjadikan bagi kamu malam dan siang untuk kamu berehat dan mencari rezeki, mudah-mudahan kamu bersyukur".
Menurut perspektif Islam, persoalan mengenai tidur boleh dibahaskan meliputi perkara-perkara seperti berikut :
- Berapakah jumlah jam patut kita tidur dalam sehari ? Bagi menjawab persoalan ini, sebenarnya tiada peraturan tertentu mengenainya. Ahli perubatan menyarankan tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari. Namun sebenarnya, tidur bagi tujuan istirahat ini bergantung kepada usia, jenis pekerjaan dan keadaan setiap individu.
Sebagai contoh, seorang bayi memerlukan tidur yang lebih banyak berbanding orang dewasa. Orang yang bekerja dengan menggunakan fikirannya sudah tentu memerlukan lebih banyak tidur dibandingkan dengan orang yang bekerja dengan fizikalnya. Orang sakit pula memerlukan lebih banyak tidur daripada orang sihat.
- Bilakah waktu yang sesuai untuk tidur ? Malam hari adalah waktu terbaik untuk tidur berdasarkan fitrah alamiah kejadian manusia. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : Dan kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat, Dan Kami menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi), Dan Kami menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki. (An-Naba': 9 - 11).
Perlakuan tidur di luar aturan alamiah ini akan menimbulkan suatu beban yang lebih besar dan menghasilkan keadaan yang tidak sihat. Sebagai buktinya, kita dapat melihat pelajar yang terlalu berjaga malam dengan pelbagai aktiviti akan gagal ke kuliah pada awal pagi atau berasa mengantuk pada siang hari.
Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam Madarij al-Salikin, waktu tidur yang lebih baik ialah pada pertengahan malam yang awal iaitu kira-kira pukul 10 malam. Waktu-waktu yang tidak seharusnya kita tidur ialah selepas waktu Subuh sehingga terbit fajar, waktu selepas Asar sebelum terbenam matahari dan dari waktu Maghrib ke Isyak.
Menurutnya, tidur pada waktu-waktu ini tidak memberi manfaat kepada tubuh badan, malah boleh mendatangkan kemudaratan dan makruh hukumnya.
- Bagaimana patut kita tidur ? Tidur mempengaruhi metabolisme tubuh dan merangsang daya penyerapan. Oleh yang demikian, banyak tidur juga tidak sihat untuk tubuh badan. Ini kerana tubuh kita menyerap wap-wap kotor di udara.
Tidur banyak bukan menjadikan kita segar bersemangat tetapi malah berasa lemah tubuh badan. Ibn Qayyim menyatakan bahawa banyak tidur akan mematikan hati, memberatkan badan, membazirkan masa, mewarisi sifat kelalaian dan malas. Beliau menyatakan hukum banyak tidur sebagai sangat makruh di sisi Allah.
Dipetik daripada karya Imam an-Nawawi, Riyadhus Salihin dalam Kitab Kesopanan Tidur, contoh tidur yang terbaik adalah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda biasanya pergi tidur tidak terlalu malam, kemudian bangun beberapa saat setelah lewat tengah malam untuk melakukan sembahyang Tahajud dan berehat menunggu fajar menyingsing untuk bersembahyang Subuh berjemaah.
Solat tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali sebagai solat malam. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkan solat ini sepanjang hayatnya sebagai ibadah tambahan.
Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam, begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi s.a.w. mengenai perkara ini.
Daripada Aisyah .a. katanya : Nabi s.a.w. bersembahyang pada sebahagian waktu malam sebanyak sebelas rakaat. Kemudian apabila fajar menyingsing, baginda bersembahyang dua rakaat yang ringan sekali, kemudian baginda berbaring atas bahagian tubuhnya yang sebelah kanan, sehingga muazzin datang lalu memberitahukannya - tentang sudah berkumpulnya orang ramai yang hendak bersembahyang Subuh secara berjemaah. (Muttafaq `alaih )
Firman Allah dalam al-Quran bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir, sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam. Dan pada akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah. (Az-Zariat : 15-18 )
Menurut Dr. Mohammed Osman Nasir, solat tahajud juga boleh menjauhkan penyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat daripada tidur malam.
Dari segi cara dan posisi tidur, cara berbaring dengan posisi terlentang adalah kurang sihat. Ini kerana cara demikian akan menekan atau menyesakkan tulang punggung, bahkan kadangkala dapat menyebabkan kita ingin ke tandas.
Tidur secara menelungkup pula tidak praktis untuk pernafasan. Tidur pada sisi kiri badan (menghadap ke kiri) juga akan mengganggu kesihatan kita, kerana menghimpit jantung sehingga peredaran darah terganggu dan mengurangi aliran darah ke otak, jika ini terjadi kita akan mengalami mimpi-mimpi sedih dan buruk.
Posisi tidur terbaik menurut sains adalah pada sisi kanan tubuh (menghadap ke kanan). Fakta ini telah diuji melalui kajian perubatan moden. Malah ia membenarkan cara dan ajaran Rasulullah s.a.w. yang bersumberkan wahyu, di mana Rasulullah s.a.w. menganjurkan kepada para pengikutnya untuk tidur berbaring pada sisi badan bahagian kanan.
Perlu diketahui dan diingat sehubungan dengan fenomena tidur ini, iaitu jika terdapat suatu keinginan dan niat di dalam fikiran kita sebelum tidur, maka hal-hal tersebut akan terserap di dalam alam bawah sedar kita sepanjang malam dan tanpa disedari akan mempengaruhi fikiran dan tindakan kita.
Sebagai contoh, jika seorang anak kecil tertidur dalam keadaan menangis maka pada umumnya saat anak itu bangun dia akan menangis lagi. Oleh sebab itu, kita dianjurkan agar mengarahkan perhatian kita sebelum tidur pada hal-hal yang berhubungan dengan moral dan spiritual.
Rasulullah s.a.w. menyuruh kaum Muslimin untuk membaca dan merenungkan ayat-ayat al-Quran, iaitu ayat Kursi dan tiga surah terakhir daripada al-Quran sebelum tidur. Ayat-ayat tersebut dibacakan bukan bertujuan untuk dijampi-jampi atau mantera tetapi sebaliknya dibaca bagi mengingatkan kita kepada Pencipta.
Sebagaimana dapat diketahui, ayat-ayat tersebut banyak berbicara mengenai keagungan dan keindahan sifat-sifat Tuhan, dan hal ini akan memberikan kesan yang dalam serta kuat pada alam fikiran kita. Merenungkan sifat-sifat ketuhanan tersebut akan membersihkan dan meninggikan rohani serta mendapat perlindungan Allah s.w.t. terhadap segala godaan syaitan dan hal-hal yang merugikan.
Amalan seperti ini jika kita laksanakan dengan baik, akan menjadi sumber yang besar bagi kekuatan moral.
Rasulullah s.a.w. memberikan contoh yang baik untuk tidur, lengkap dengan doa-doanya. Abu Bakar Jabir al-Jaza'iri dalam Minhaj al-Islam telah menghimpunkan adab-adab tidur dalam Islam seperti berikut :
1. Jangan dilewatkan tidur selepas solat Isyak melainkan ada hal penting seperti bermuzakarah ilmu, melayani tetamu dan sebagainya. Diriwayatkan daripada Abu Barzah, sesungguhnya Nabi s.a.w. membenci untuk tidur sebelum solat Isyak.
2. Berwuduk sebelum tidur. Sabda nabi s.a.w. jika kamu mendatangi tempat tidur kamu, maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat.
3. Mulakan tidur atau berbaring atas rusuk kanan sebagaimana sabda nabi s.a.w. kepada al-Barra' Mulakanlah tidur kamu di atas rusuk kanan.
4. Jangan tidur dengan cara meniarap yang menekan perut kerana sabda nabi s.a.w. Sesungguhnya cara tidur meniarap adalah tidur ahli neraka.
5. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah s.a.w. seperti membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sebanyak 33 kali atau membaca surah al-Fatihah dan awal surah al-Baqarah sampai al-muflihun, ayat Kursi dan akhir surah al-Baqarah daripada lillahi ma fis samawat.... hingga akhir dan sebagainya.
Ringkasnya pengajaran Islam dalam persoalan tidur memberi penekanan bahawa tidur itu sebagai satu nikmat daripada Allah dan Islam juga turut mengaitkannya dengan prinsip-prinsip kesihatan yang bersifat alami.
Demikianlah, ajaran-ajaran Islam sungguh sempurna bagi manusia menurutinya hatta merangkumi tentang persoalan-persoalan harian kita seperti tidur, makan dan yang seumpama dengannya.