Wednesday, April 27, 2011

Tiket Ke Syurga

 

image

Untuk apa kita dicipta atau Kenapa kita dihidupkan?
Inilah di antara persoalan-persoalan yang sering
menjadi tanda tanya kepada seluruh manusia di muka bumi ini. Berbagai-bagai pendapat dan pandangan yang diperolehi.

Ada setengah mereka mengatakan hidupnya aku di dunia ini adalah untuk makan, minum, tidur, kahwin dan mati. Lepas mati habis kira. Waktu itu daging-daging reput dimakan ulat dan cacing-cacing.

Ada juga berpendapat begini, “aku hidup untuk cari

hiburan dan kumpul harta banyak-banyak agar puas dan

dimuliakan orang. Bila sudah kaya, semua orang sayang

dan puji aku.” Waktu itulah mereka merasakan “DUNIA

AKU PUNYA” bukan ‘ALLAH PUNYA”

Pendapat lain pula begini, “Aku hidup ini supaya

belajar tinggi-tinggi, setinggi yang mampu. Kemudian

bila ada lulusan Diploma, Ijazah, Ba, Ma, Phd dan

sebagainya, maka senanglah dapat pangkat tinggi,

senang dapat gaji besar, terkenal di sana sini. Aku

boleh jadi “BOOS”. Semua yang diidam-idamkan dapat,

cerah masa depan. Mahu kereta besar menjalar,

bila-bila masa saja. Mahu rumah banglo mudah saja,

mahu cakap besar pun boleh sebab sudah jadi “TUAN

BESAR”. Akan tetapi apakah pendapat dan pandangan ini

selari dengan kaca mata Islam?

Untuk mendapat jawapannya, mari kita lihat, berapa

ramai orang yang kaya, orang yang terkenal, yang

punyai kereta besar, pangkat dan gaji besar, orang

yang disanjung dan termasyhur seperti bintang-bintang

filem “HOLLYWOOD” telah membunuh diri kerana tidak

dapat ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki. Apakah

benar jutawan-jutawan akan dipuji orang?

Kalau benar kenapakah kita sering kali terdengar dan

terbaca dalam media massa cetak dan eletronik banyak

yang memaparkan kes-kes pecah rumah yang berlaku pada

hari ini? Orang-orang kaya nampaknya seringkali

terganggu fikirannya. Hatinya sentiasa bimbang, cemas

dan takut rumahnya dimasuki orang, malah untuk menjaga

rumah pun sehingga ada yang membela anjing atau

mengupah jaga. Takut hartanya disamun orang, takut

anak-anak gadisnya dicolek orang dan lebih parah lagi

takut dirinya sendiri menjadi mangsa pembunuhan.

Apakah itu ketenangan abadi?

Allah kurniakan akal yang waras pada kita supaya kita

berfikir. Berfikir tentang keEsaan dan keKuasaan-Nya,

berfikir tantang apakah tujuan kita dihidupkan,

berfikir ke mana kita akan pergi nanti dan apa yang

akan terjadi setelah kita kembali kepangkuan-nya

(Allah) tanpa membawa bekal yang cukup? Inilah yang

wajib kita fikir selalu? Bukannya fikir macam mana

hendak jadi orang kaya, macam mana hendak terkenal,

macam mana hendak itu dan ini tanpa fikirkan nasib

kita di akhirat kelak. Jawapan yang matang mengenai

apa yang perlu kita fikirkan akan kita perolehi,

sekiranya Al Quran dan Sunnah kita jadikan sebagai

tempat rujukan kita. Firman Allah dalam Al Quran

maksudnya:

“Tidak aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk

menyembah aku.”

Bukan saja Allah yang menghendaki kita menyembahnya,

malah akal dan hati kita sendiri pun bersetuju kita

ini tunduk dan patuh pada Allah. Buktinya katalah

suatu hari kawan kita kepada kita begini:

Hai saudara, saudara ni hamba Allahlah apakah perasaan

kita ketika itu? Tentu gembira, senyum-senyum simpul

kita dibuatnya, malah secara “OTOMATIK” akal kita

mengiakan perkataan itu. Ketika itu hati rasa puas,

lega, seronok, lapang dan rasa berterima kasih

padanya, walaupun pada hakikatnya kita tidak pernah

tunduk dan rukuk pada Allah swt, tidak pernah ikut

perintah Allah bahkan tidak pernah fikir cara hidup

mengikut Al Quran dan Sunnah.

Sebab apa hati kita rasa puas? Sedangkan kita tidak

taat pada perintah Allah? Inilah dia bukti dan

jawapannya bahawa sudah menjadi fitrah semula jadi

manusia inginkan kebaikan walaupun pada hakikatnya

dirinya tidak mampu hendak membuat kebaikan.

Sebaliknya apa kata akal dan hati sekiranya kawan kita

kata begini: “Hai saudara! Saudara ni hamba

syaitanlah, saudara ni hamba discolah, saudara ni

hamba nafsulah, apa perasaaan kita ketika itu? Tentu

melenting, marah walaupun memang betul kita ni hamba

nafsu, hamba kereta, hamba syaitan, hamba video, VCD

dan gambar lucah, hamba disco dan hamba-hamba yang

lain selain dari hamba Allah.

Ketika itu hati kita memberontak tidak setuju.

Kenapakah ini berlaku dan lahir dalam diri kita? Sebab

hati dan akal kita tidak bersetuju, malah kalaulah

kita tidak tahan sabar mahu rasanya tempeling kawan

kita itu. Hendak tahu benar atau tidak, cubalah kita

dikatakan begitu di khalayak ramai. Hai mahu gugur

kulit muka rasanya. Sebab apa? Malu!!!! jelas,

kehendak Allah sama dengan kehendak hati dan akal kita

sejak azali lagi.

Kalau benar akal dan hati setuju kita menyembah Allah,

mengapa masih lagi angkuh dan sombong dengan Allah?

Mengapa masih lagi mencabar kekuasaan Allah? Jawabnya,

renungilah beberapa potong ayat suci Al Quran di bawah

ini:

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang

nyata.”

Dan maksudnya lagi:

“Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada

kejahatan.”

Kini tahulah kita bahawa nafsu dan syaitanlah yang

punya angkara. Ia menggoda hati dan akal kita daripada

terus mengingati Allah. Antara bisikan-bisikan nafsu

syaitan, :Kalau kamu sembah Allah nanti susah, kalau

kamu ikut Quran dan Sunnah, nanti jiwa kamu menderita,

terkongkong, kalau taat pada perintah Allah umpamanya

menutup aurat, nanti kamu tiada kawan, tinggal seorang

diri macam kera sumbang jadinya. Selain dari itu

macam-macam lagilah bisikan-bisikan yang benar-benar

mengganggu fikiran kita. Benarlah firman Allah

bermaksud:

“Syaitan telah menakut-nakutkan kamu dengan

membisik-bisikkan pada hati dan akal kamu.”

Jadi atas dasar itulah kita takut hendak sembah Allah.

Takut hendak ikut Quran dan Sunnah, takut disisih

masyarakat, takut emak dan ayah tidak mengaku anak dan

macam-macam lagi. Nampaknya syaitan dan nafsu sudah

berjaya menguasai fikiran kita. Kini ia sudah berjaya

menawan hati kita, sehinggakan umat Islam hari ini

seringkali diburu oleh perasaan takut.

Buktinya lagi, kita lihat hari ini umat Islam takut

hendak bersedekah atau mengeluarkan zakat. Kenapa?

kerana takut miskin, takut papa kedana, takut kering

periuk nasi, manakala ada yang takut hendak menutup

aurat kerana takut tidak laku, takut tidak dilamar

orang, takut jadi “ANDARTU” dan sebagainya. Oleh

kerana hati sentiasa diburu oleh perasaan takut,

menyebabkan mereka takut hendak sembah dan patuh

kepada perintah Allah.

Kita sebenarnya telah berjaya diperkotak-katikkan oleh

musuh batin kita sendiri. Alangkah ruginya empunya

diri, kerana dapat ditipu oleh hasutan syaitan dan

hawa nafsu sendiri. Tetapi alangkah beruntungnya bagi

orang-orang yang beriman, mereka berjaya menundukkan

dan menewaskan musuh-musuh tersebut. Nafsu dan syaitan

telah mengaku kalah dengan mereka ini, sebab itulah

tidak hairan kalau kita lihat orang-orang yang beriman

mereka sanggup bersusah payah demi mencari keredhaan

Allah. Mereka sanggup mengorbankan harta, jiwa,

fikiran, tenaga dan sebagainya demi mencari kasih

sayang Allah dan Rasullullah saw.

Mereka menerima hukuman-hukuman Allah dengan dada yang

lapang, tanpa sebarang bantahan dan alasan. Bagi

mereka “KAMI DENGAR DAN KAMI PATUH”, inilah antara

ucapan yang mereka lafazkan sekiranya Allah

memerintahkan sesuatu kepada mereka.

Umpamanya Allah menyuruh mereka mendirikan solat,

mereka tidak tanya lagi untuk apa aku sembahyang?

Bagitulah juga dalam bidang-bidang yang lain. Akhirnya

bila Allah berfirman:

“TidakKu jadikan jin dan manusia kecuali menyembah

diriKu.”

Maka mereka tidak tanya lagi Kenapa perlunya aku

sembah Allah, mengapa perlunya aku beribadah pada-Nya?

Jadi dapatlah kita ukur diri kita masing-masing.

Apakah kita ini sudah benar-benar menyembah Allah?

Apakah kita sudah benar-benar menjalani hidup di

pentas sandiwara sementara ini dengan tunduk dan patuh

pada Allah? Apakah kita sudah merelakan jiwa raga kita

semata-mata untuk mencari “MARDHAATILLAH” yakni

“KEREDHAAN Allah” atau sebaliknya? Suluh-suluhlah diri

kita selalu, sering-sering kalilah bertafakkur

mengenangkan dosa-dosa kita dan mengenangkan apakah

tugas kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini

sudah selesai atau belum. Rasulullah pernah bersabda

maksudnya:

“Orang yang bertafakkur (berfikir) sejanak lebih baik

daripada orang yang mengerjakan sembahyang sunat 1000

rakaat dalam keadaan lalai.”

Kalau belum, mulailah dari sekarang jalankanlah

peranan kita yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki

Allah dan Rasulullah saw.

Jika kita mahu menjadi seorang lelaki atau suami yang

benar-benar soleh serta diredhai Allah maka

jalankanlah tanggungjawab kita sebagai seorang mukmin.

Seorang lelaki yang sempurna ialah dia yang tidak

mempermudahkan dalam kewajipan-kewajipan kepada Allah.

Dan seorang lelaki yang kurang ialah dia bersifat

sebaliknya. Maksud dari penjelasan ini ialah seorang

suami yang sudi memaafkan jika isterinya tidak

menghias dirinya dan tidak melayaninya dengan sempurna

dan lain-lain lagi tetapi ia bersikap keras jika

isterinya tidak melakukan solat atau puasa dan

lain-lain kewajipan itulah suami yang sempurna. Dan

seorang suami yang bersifat keras jika isterinya tidak

menghias dirinya atau tidak melayaninya dengan

sempurna dan lain-lain tetapi dia bersikap ach tidak

acuh jika isterinya meninggalkan kewajipan-kewajipan

kepada Allah seperti meninggalkan solat, puasa dan

lain-lain, maka dia adalah seorang suami yang kurang.

Rasulullah saw bersabda:

“Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab

atas yang dipimpinnya, seorang imam yang memimpin

manusia adalah pemimpin, dan ia bertanggungjawab atas

rakyatnya, seorang suami adalah pemimpin dalam

mengurusi ahlinya, ia bertanggunjawab atas yang

dipimpinnya, seorang isteri adalah pemimpin di dalam

rumahtangga dan bertanggunjawab atas yang dipimpinnya

dan seorang pelayan adalah pemimpin dalam mengurusi

harta tuannya ia bertanggungjawab atas

pemeliharaannya, seorang lelaki itu adalah pemimpin

dalam mengurusi harta ayahnya, ia bertanggungjawab

atas peliharaannya. Jadi setiap kau sekelian adalah

pemimpin dan setiap kamu harus bertanggunjawab atas

yang dipimpinnya.”

Jika kita mahu menjadi isteri atau wanita yang

benar-benar solahah serta diredhai Allah, maka

sahutlah seruan Rasulullah saw yang bermaksud:

“Apabila perempuan itu mengerjakan sembahyang lima

waktu dan mengerjakan puasa di bulan Ramadhan dan

menjaga farajnya (maruahnya) dan mentaati suaminya,

dikatakan padanya masuklah olehmu akan syurga daripada

mana-mana pintu yang kamu kehendaki.”

Tidak gembirakah kita (kaum wanita) di atas jaminan

syurga dari Allah dan Rasulullah ke atas kita yang

memenuhi syarat-syarat tersebut? Yakinlah, empat

syarat di atas adalah tiket untuk melayakkan kita

menduduki syurga Allah di akhirat kelak yakni

menyempurnakan sembahyang lima waktu sehari semalam,

berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah diri

(menutup aurat) dan sebagainya dan mentaati segala

perintah suami walaupun kita dimadukan.

Sekiranya empat syarat tersebut diabaikan, bermakna

kaum wanita menempah neraka, bermakna kita telah

merelakan diri kita dicampak ke dalam tempat yang

paling hina dan celaka. tahukah kita bahawa neraka itu

adalah seburuk-buruk tempat dan tempat yang paling

panas, paling pedih seksanya, di mana bahan-bahan

bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, manakala

makanannya pula terdiri daripada buah yang berduri dan

pahit. Minumannya pula terdiri daripada air-air danur

(nanah) dan darah yang hanyir dan busuk baunya.

Sanggupkah mencampakkan diri kita ke tempat yang

paling ngeri dan menggerunkan itu?

Cuba kita bayangkan betapa panasnya api neraka, 70

kali ganda panasnya dengan api yang ada di dunia ini.

mengikut riwayat yang mengatakan seringan-ringan seksa

dalam neraka ialah seksaan yang dikenakan kepada Abu

Talib (bapa saudara Nabi saw) di mana beliau diseksa

dengan memakai selipar dari api neraka sehingga

menggelegak otak kerana kepanasan selipar tersebut.

Bayangkanlah, mampukah kita yang kerdil-kerdil lagi

dhaif ini menerima azab yang sedemikian rupa di

akhirat kelak? Tanyalah diri masing-masing, “mampukah

aku menanggung azab yang sangat pedih itu,” Jika

rasa-rasanya tidak mampu, marilah kita sama-sama

berjanji pada diri sendiri mahu tunduk dan patuh pada

segala perintah Allah.

Yakinlah bahawa hari kiamat pasti datang walaupun ada

yang tidak mahu menyahut kedatangannya. Beruntunglah

bagi orang-orang yang tahu matlamat dan tujuan ia

dihidupkan di muka bumi Allah ini? Beruntunglah bagi

mereka yang memenuhi usia muda dan tuanya dengan

beramal ibadah kepada yang Maha Esa kerana mereka

mendapat kasih sayang Allah di dunia lagi apatah lagi

di akhirat kelak, pasti mereka ini memperolehi

keuntungan dan kemenangan yang paling besar nilinya di

sisi Allah swt.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...