Thursday, April 28, 2011

Menghadapi realiti memahami al-Quran

 

image

Ada kalanya kita tentu merasa iri hati pada bangsa Arab kerana bahasa ibunda mereka adalah bahasa Arab dan ini dengan automatik memudahkan mereka memahami al-Quran secara langsung dan terus.

Sedangkan kebanyakan orang Islam yang sememangnya tidak mengetahui bahasa Arab terpaksa bergantung kepada terjemahan al-Quran untuk memahami isinya. Itupun kita sedar bahawa terjemahan bagaimana baikpun tidak akan menepati makna sebenar al-Quran.

Untuk mengetahui makna al-Quran, maka seseorang mesti mempelajari bahasa Arab hingga mahir, suatu usaha yang sukar untuk dilakukan oleh kebanyakan orang dan sudah tentu memakan masa, tenaga, otak dan wang ringgit yang banyak bagi mencapainya.

Bagi bangsa Arab yang bahasa ibundanya Arab sudah tentu mereka akan lebih mudah memahami al-Quran daripada kebanyakan daripada orang bukan berbangsa Arab.

Tetapi realitinya tidak begitu. Bahasa Arab mempunyai dua bentuk. Satu bahasa percakapan yang pelbagai jenis dan dialek, dan berbeza dengan bahasa al-Quran. Bahasa percakapan inilah bahasa ibunda mereka. Bahasa Arab percakapan Mesir berbeza dengan apa yang dituturkan di Arab Saudi dan Maghribi, umpamanya.

Untuk memahami al-Quran, mereka mesti mempelajari bahasa persuratan Arab, yang digunakan dalam urusan rasmi dan pendidikan. Jadi, mereka juga kena belajar bahasa Arab persuratan untuk memahami al-Quran. Mereka yang mempunyai pendidikan akan dapat menguasai tetapi kebanyakan orang Arab juga tidak mampu memahami al-Quran.

Kita juga tertanya-tanya mengapakah bangsa yang boleh memahami al-Quran secara langsung tidak menyerlahkan suatu amalan agama Islam yang boleh menjadi model dan contoh kepada umat Islam? Apabila disebut sebagai negara Islam contoh buat pada masa ini, orang tidak merujuk pada Arab Saudi atau Mesir tetapi sebaliknya Malaysia dan Turki, yang kedua-duanya bukan berbangsa Arab dan sudah tentu tidak memahami al-Quran secara langsung.

Tetapi andai kata kita tahu makna al-Quran, adakah kita dengan mudah dapat menghayati dan mengamalkan Islam? Jawapannya ialah tidak. Untuk memahami al-Quran tidak cukup sekadar mengetahui maknanya. Malah, kalau mengamal kepada teks pengertian ayat-ayat al-Quran semata-mata, kita boleh terjerumus ke dalam salah faham. Ini kerana kita mesti pelajari juga tafsir yang melibatkan asbabun nuzul iaitu sebab-sebab turunnya ayat yang boleh memberikan kita konteks kepada sesuatu ayat itu. Sudah tentu ini melibatkan kefahaman tentang hadis dan sunah.

Memang sukar dan panjang untuk memahami al-Quran. Umur dan kemampuan kita terlalu pendek dan singkat untuk memahami al-Quran sepenuhnya. Sebab itu kita terpaksa bergantung pada ulama dan cendekiawan yang membuat kajian terhadap al-Quran bagi mendapatkan kefahaman.

Seperkara lagi ialah minat. Tidak semua orang mempunyai minat mendalam untuk mampu mempelajari al-Quran.

Justeru menjadi tanggungjawab kepada mereka yang berminat untuk meneruskan kajian dan menerangkan kepada masyarakat mengenai al-Quran.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...