Friday, April 29, 2011

Seni mushaf - Kepentingan budayanya

 

SEDANG khalifah asyik memerhati satu demi satu huruf al-Quran disalin, tangannya erat menggenggam bekas tinta untuk celupan pena si juru tulis ( khattat ).

Begitulah gambaran betapa prihatin seorang khalifah suatu masa dahulu terhadap penyalinan mushaf al-Quran. Budaya ini telah melahirkan satu seni agung, iaitu seni mushaf.

Mushaf ( sebutan: mus-haf atau mas-haf ) bermaksud kitab atau buku. Setiap kali disebut perkataan mushaf, maka tergambar pada fikiran kita kitab suci al-Quran dan bukannya buku-buku yang lain.

Seni mushaf al-Quran pula menjadi tunjang pemakmuran budaya Islam kerana ia adalah seni yang kudus. Seni mushaf lahir dari tahap spiritual / ruhaniyah yang digerak untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

Justeru itu, ia juga menjadi asas kepada sistem penilaian seni yang lain dan ia tidak dapat dinilai dengan kebendaan.

Seni barat bertitik tolak dari hati individualistik dan pengagungan keindahan material, sebaliknya seni mushaf dihasilkan untuk manfaat ummah dan mencari keredhaan Allah s.w.t.

Ilmu seni mushaf al-Quran adalah lahir daripada budaya penyalinan al-Quran yang berlaku sejak awal wahyu diturunkan.

Para pelopor mengilhamkan sistem mushaf al-Quran untuk membina sesuatu perkara berkaitan dengan pemeliharaan kitab suci al-Quran.

Usaha pemeliharaan ini akan berterusan, kerana Allah s.w.t. akan memelihara kitab suci-Nya menurut kebijaksanaan dan iradah-Nya sendiri.

Seni mushaf ialah suatu ilmu mengenai pembinaan manuskrip al-Quran, sama ada sesebuah manuskrip itu beriluminasi ( berhias ) penuh ataupun tanpa iluminasi.

Malah lebih daripada itu ia menjadi `ibu' kepada pengembangan pelbagai aspek khazanah tamadun Islam yang lain, seperti seni bina, seni ukiran dan berbagai-bagai lagi.

Pada zaman permulaan Islam, ayat al-Quran direkod di dalam wadah-wadah seperti kulit dan tulang binatang, kepingan batu, pelepah tamar dan sebagainya.

Para Muzahhib (ahli mushaf al-Quran) dan ilmuan Islam sejak permulaan Islam memberikan perhatian yang mendalam terhadap bidang ini, kerana menyedari kepentingannya terhadap pembangunan tamadun Islam.

Seni mushaf mencapai kemuncak pada abad ke-14 Masihi semasa Mesir di bawah pemerintahan Sultan Syaaban (1363-1367M) era kerajaan Mamluk dan mengalami kejatuhannya pada abad ke-I6.

Menjelang pertengahan tahun 80-an seni ini dibangunkan kembali di Indonesia. Malaysia adalah negara kedua yang menghidupkan kembali budaya pembinaan mushaf beriluminasi penuh.

Sejak dahulu, dunia Melayu tidak kurang hebat dengan manuskrip-manuskrip al-Quran indah seperti Al-Quran Mushaf Syeikh Arsyad Al-Banjari, Al-Quran Mushaf Selangor ( kini tersimpan di Belanda ) dan lain-lain.

Kekayaan khazanah mushaf yang terdapat di alam Melayu merupakan hasil daripada perkembangan budaya penyalinan al-Quran yang pesat di Nusantara.

Di Chester Beatty, Dublin tersimpan sebuah manuskrip al-Quran beriluminasi penuh karya Ruzbihan ( Era Safawiyah abad ke-16M ) yang merupakan manuskrip al-Quran terindah yang pernah dihasilkan oleh dunia Islam.

Pemilik ( negara ) asalnya telah menawarkan sebanyak 20 juta pound sterling untuk memilikinya kembali, tetapi pihak Chester Beatty enggan melepaskannya walaupun ditawarkan dengan harga yang sebegitu tinggi.

Kini hanya tiga tempat sahaja di dunia ini yang memiliki kompleks khas bagi memelihara manuskrip al-Quran, iaitu Baitul Quran di Bahrain, Baitul Quran di Jakarta Indonesia dan Kompleks Taman Seni Islam Selangor di Shah Alam, Selangor.

Pembinaan manuskrip al-Quran beriluminasi mempunyai sistemnya yang tersendiri. Pada tahun 1995, syarikat Black & Brown telah menggariskan sistem pembinaan seni mushaf atau Manhaj Al-Mushaf. Ia mewakili sembilan kategori kerja iaitu konsep, &D, reka bentuk, komputer, khat, zukhruf, emas, mewarna dan tashih.

Pembinaan seni mushaf memerlukan penguasaan terhadap beberapa bidang ilmu seperti seni khat, seni zukhruf, tajwid, pewarnaan, matematik, penentuan strategi dan banyak lagi.

Seni mushaf menjadi sumber perkembangan seni khat yang eksotik. Ia juga menjadi asas perkembangan seni hiasan (zukhruf) Islam yang berciri floral dan geometrik yang menjadi elemen yang paling dominan dalam setiap hiasan dan reka bentuk Islam.

Seni mushaf boleh dikembangkan dalam bidang seni bina bangunan, seni hiasan dalaman dan luaran serta berbagai-bagai bidang seni yang lain.

Selain itu, ia juga boleh berkembang kepada pelbagai bidang seni seperti seni halus, seni alkaf (seni arca Islam), seni replika manuskrip, seni kertas kudus, seni sakina ( seni aksesori pada binaan ), seni nipah dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun penampilannya, matlamat sebenar seni mushaf ialah membawa masyarakat untuk membaca dan seterusnya memahami kandungan al-Quran.

Usaha memperindah wadahnya hanyalah satu perantara untuk sampai kepada matlamat tersebut.

Pemakmuran seni Islam merupakan satu tanggungjawab yang besar dalam pembinaan budaya, bangsa dan negara.

Ia memerlukan penglibatan daripada ramai pihak, khasnya di kalangan seniman kerana seni Islam ditegakkan daripada berbagai-bagai kepandaian dan bidang kemahiran.

Justeru itu, para seniman dan karyawan tidak kira apa jua latar belakang dan pengkhususannya, dijemput untuk sama-sama menceburi pemakmuran seni Islam, khasnya seni mushaf al-Quran dan kepelbagaian aplikasinya.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...