Thursday, April 28, 2011

Perancangan Allah mengatasi perancangan manusia

 

image

Kalamullah
Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun) kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. (AT-Takwir : 29)

Huraian:
Manusia mampu merancang perjalanan kehidupan mereka. Setiap perancangan disusuli dengan usaha dan harapan untuk mencapai matlamat tersebut.

Manusia hanya mampu merancang dan Allah s.w.t. sahaja yang berhak menentukan segala perkara yang menjadi ketentuan-Nya.

Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah menaruh sangkaan baik kepada Allah s.w.t. kerana Dialah Tuhan yang Maha Mencipta dan Maha Mengetahui segala yang dilakukan oleh hamba-Nya.

Sudah tentu ada hikmah yang tidak diketahui oleh manusia di sebalik setiap kejadian.

Setelah mendapat hasil daripada usaha yang dirancangkan, kita tidak seharusnya mendabik dada, malah kita hendaklah sentiasa meningkatkan rasa kesyukuran kepada Allah s.w.t.

Begitu juga sebaliknya jika tidak mencapai sasaran perancangan, usahlah bersikap putus asa dan kecewa.

Semuanya adalah ketentuan daripada Allah s.w.t. untuk menguji hamba-Nya.

Kesimpulan:
Kehendak dan kuasa manusia adalah anugerah Allah s.w.t. Namun begitu, bukan semua kehendak dan kemahuan manusia boleh dicapai walaupun melalui perancangan rapi.

Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Berkuasa atas tiap-tiap perancangan manusia.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sumber: Utusan Online (05/08/04)

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...