Friday, April 29, 2011

Tanggungjawab bapa - Sebagai pelindung keluarga

 

image

Sebaik sahaja seorang lelaki yang telah akil baligh berumahtangga maka terpikul di bahu mereka pelbagai tanggungjawab yang diamanahkan untuk mereka laksanakan.

Lelaki yang telah berkahwin bertanggungjawab mengetuai keluarganya serta menjadi suami dan bapa kepada anak-anak yang lahir daripada perkahwinan itu.

Malah, tanggungjawab seorang anak lelaki terhadap kedua ibu bapanya juga tidak akan berakhir walaupun beliau telah berkahwin.

Sebagai ketua keluarga, seseorang lelaki yang bergelar suami dan bapa mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sangat besar dalam memberi dan menyediakan nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Mereka perlu menyediakan keperluan asas keluarga seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan.

Menurut Perunding Cara Kekeluargaan dan Keagamaan, Shafiee @ Sapien Khatib Jali, seorang suami perlu memastikan makanan yang diberikan kepada ahli keluarganya adalah berkualiti dan halal, memastikan pakaian yang dipakai oleh ahli keluarga sempurna dan menutup aurat, memberikan tempat tinggal yang selesa dan selamat serta memberikan pendidikan fardu ain dan kifayah kepada ahli keluarga.

``Seorang bapa yang baik ialah mereka boleh menjadi pemimpin, mo del ikutan serta contoh yang baik kepada anak-anaknya.

``Justeru, untuk menjadi seorang pemimpin dan model ikutan yang baik, seorang bapa perlu menjadi pendidik dan berpegang kuat kepada disiplin bagi mewujudkan unsur-unsur kemesraan di dalam keluarga dengan menunjukkan contoh yang terbaik, lahir dari dalam diri,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah `Strategi Kebapaan Efektif' pada kursus bulanan pembangunan keluarga untuk orang awam anjuran Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), baru-baru ini.

Selain itu, menurut Shafiee lagi seorang suami dan bapa juga bertanggungjawab menjadi pelindung keselamatan kepada semua ahli keluarganya.

Malangnya, pada masa sekarang terdapat sebahagian kecil bapa yang sanggup menodai anak kandung mereka.

Terdapat juga bapa yang terlalu garang sehingga anak-anak takut hendak berdekatan dengan bapa mereka dan tidak kurang juga suami yang hanya menjalankan tanggungjawab mencari sumber pendapatan semata tetapi menyerahkan tanggungjawab menjaga anak sepenuhnya kepada isteri.

Dalam pada itu beliau juga memberitahu sebagai seorang suami mereka perlu bergaul dengan isteri mereka secara baik, sentiasa bersabar, memberikan nafkah batin dan merahsiakan hubungan kelamin.

``Seorang suami juga perlu mendidik isteri, memberi mahar, menyediakan tempat tinggal yang layak, memberi nafkah (sara hidup) serta tidak mencampuri isterinya ketika isteri sedang haid,'' katanya.

Beliau juga sempat memberikan beberapa panduan kepada suami untuk menjadi seorang suami yang berkaliber.

Katanya, seorang suami perlu meletakkan matlamat dan visi yang perlu dicapai keluarga agar keluarga berkenaan sentiasa berada dalam keadaan bahagia.

Malah, suami perlu menjadi pemimpin yang berwibawa untuk memimpin keluarga ke jalan yang benar, merangsang keluarga agar lebih komited dalam menempuh hidup, bijak, sabar, sentiasa cuba memenuhi keperluan keluarga, bertoleransi, bertanggungjawab dan menjaga kebajikan keluarga.

``Seorang suami juga tidak boleh mencemuh atau menyalahkan isteri sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Suami tidak boleh merungut semasa atau selepas membantu isteri, tidak mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri, tidak mengambil sikap acuh tidak acuh atau tidak peduli terhadap isteri, bertolak ansur dan sedia membantu isteri dalam apa jua perkara,'' katanya.

Seorang suami yang baik harus memahami kekuatan dan kelemahan isteri, ikhlas ketika membantu dan bersikap empati.

``Suami yang memahami kekuatan isteri membantunya dengan memberikan semangat serta bantuan fizikal dan material diberikan oleh suami ketika isterinya berada dalam keadaan `lemah','' katanya.

Shafiee menjelaskan betapa pentingnya seorang suami menghormati isteri, tidak pernah lupa untuk mengucapkan terima kasih, benar-benar mendengar semasa isteri sedang bercakap, menguruskan rumah tangga dengan semangat sepasukan, mementingkan pendapat isteri serta berlaku adil dengan isteri.

Sebagai lelaki yang bergelar bapa pula, mereka wajib memberi nafkah, menjaga anak, memimpin, mendidik, menasihat mendisiplin dan memberikan kasih sayang kepada anak-anak mereka.

``Jika boleh sentiasa menghabiskan masa bersama anak-anak, beriadah dan berekreasi bersama mereka, menjauhkan keluarga dari persekitaran yang tidak sihat, menjadi teman kepada anak-anak dan mengawal anak-anak menggunakan disiplin.

``Tiga strategi untuk `mendisiplin-kasih' anak-anak ialah dengan cara mengukuhkan hubungan ibu-bapa dan anak secara profesional, komunikasi yang berkesan serta pendekatan psikologikal,'' ujarnya.

Sebagai anak pula, golongan ini juga perlu bertanggungjawab terhadap ibu bapa, memberi sumbangan kepada mereka, membantu, menziarah serta menjalin hubungan mesra dengan sanak saudara.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...