Rasulullah SAW pernah bersabda "Haji Itu Arafah". Pada hari-hari yang berkat ini datang msuim haji yang merupakan rukun kelima dalam Rukun Islam. Haji dalam bahasa arab membawa erti tuju atau qasad manakala dalam istilah syarak adalah "Amal ibadah tertentu yang dilakukan pada waktu dan tempat tertentu mengikut cara-cara yang telah ditentukan".
Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis yang maksudnya: "Sesiapa yang memiliki bekalan yang mampu menyampaikannya ke Baitullah tetapi tidak melakukan haji, maka tiada hujah ke atasnya melainkan mati dalam keadaan Yahudi atau Nasrani". (Riwayat Tarmizi). Nauzubillah min Zalik. Kesempatan ini bukanlah untuk membincangkan haji dari sudut fiqh, kerana perbincangan dari sudut fiqh merupakan perbahasan ahli fiqh. Tetapi cuba membawa atau membincangkan konsep haji dari sudut ma'rifatullah dan ubudiyah kita kepada Allah. Apabila kita memahami bahawa haji itu adalah tujuan atau qasad maka untuk menuju destinasi tersebut, maka kita akan berhajat kepada NIAT. Niat tempatnya di hati, manakala hati merupakan mahkota keikhlasan. Sekiranya terjelma segala yang diniatkan, maka kita akan melihat amalan kita itu dikira dari aspek keikhlasan dalam melakukan ibadah kepada Allah. Ibadah haji akan membuktikan bahawa niat yang kita tanamkan dalam menuju Tanah Suci. Ini bermakna, sekiranya qasad yang sebenar, mereka akan membawa diri menuju Baitullah semata-mata kerana Allah ditambah lagi adalah tetamu Allah dan Nabi Muhamad SAW.
Dan kita menyatakan haji itu Arafat (kenal) sebagaimana yang telah didefinasikan oleh para fuqaha' dan ahli Hadis. Kita menyatakan bahawa kenal itu adalah mengenal Allah dengan sebenar-benarnya, bukan sekadar tahu, tetapi tidak kenal. Sebab itu, haji dikatakan sesiapa yang mengerjakan haji dia telah mengenal Allah dan diri sendiri iaitu sentiasa berhajat, hina, merendah diri dan tahu akan hukuman Yang Maha Perkasa yang berkuasa melakukan apa sahaja. Haji itu hakikat ialah kita mencabut segala hawa nafsu yang keji dan menyerahkan segalanya kepada Allah dan niat yang betul.
Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah naik ke Bukit Aba Qubais, lalu menyeru, "Wahai Manusia sekelian, berhajilah kamu ke Baitullah". Lalu Allah memperdengarkan seruan Rasul SAW kepada seluruh ruh maka menjawab ruh yang mampu melakukan haji dengan katanya " Labbaika Allahumma Labaik". Pernah diriwayatkan bahawa Muhamad b Yasin berkata, telah bertanya kepadaku oleh seorang Syeikh ketika kami sedang tawaf, Kamu dari mana? Jawabku" Dari Khurasan. Dia bertanya lagi, "Berapa jauh dari rumahmu ke Baitullah?", aku menjawab "Perjalanan selama dua atau tiga bulan". Kata Syeikh itu lagi, "kamu masih jiran Baitullah". Lalu aku bertanya, "Kamu datang dari mana?" Dia menjawab "Aku datang dari perjalanan yang jauhnya kira-kira selama lima tahun. Aku keluar ketika aku masih muda dan kini aku telah tua". Aku berkata kepadanya "Demi Allah, ini ketaatan yang cukup indah dan cukup setia". Lalu dia tersenyum dan berkata"Ziarahilah orang yang kau cintai walaupun jauh dari rumahmu dan dihalang dengan pelbagai rintangan dna sekatan, janganlah disebabkan jauh, menghalang kamu dari menziarahi kekasih Allah dan kekasih umat ini, sesungguhnya seseorang yang berkasih dan bercinta pasti menziarahi kekasihnya".
Tentang hari sembelihan binatang korban di sisi Imam Malik dan Imam Syafie ialah hari pertama, kedua dan ketiga (Hari Tasyrik) dan tidak harus menyembelih di malam Hari Raya di sisi Imam Hanafi berdasarkan firman Allah yang bermaksud "Pada hari yang telah ditentukan" bukannya "malam yang ditentukan". Zikrullah disebut bersama ketika sembelihan dijalankan dan penyempurnaan ibadah haji. Bagi mereka yang mengikuti sirah Haji, dapatlah dilihat bahawa amalan haji itu teradun dengan zikir kepada Allah seperti Talbiah, Tahlil, Takbir dan Selawat ke atas Rasul SAW. Ta'zim (mengagungkan) ialah merasakan dan menghadirkan diri dengan kebesaran Allah. Pada hari yang penuh berkat dan agung ini, marilah kita bersama-sama membesarkan Allah, berzikir dengan penuh keinsafan dan merasa diri ini penuh dengan dosa dan kehinaan. Hadapi Hari raya Aidil Adha ini dengan penuh keikhlasan dan keinsafan bahawa diri ini bukannya yang dapat menandingi insan-insan lain dan kita berubah dengan mengisi dengan akhlak yang mulia dan terpuji.
Akhir sekali, mari kita merenung Sabda RAsul SAW yang bermaksud" Sesiapa yang melakukan haji dan tidak celupar, tidak melakukan fasiq pulangnya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya".