Wednesday, April 6, 2011

Tidak Hina Orang Yang Merendah Diri

 

image

Sombong, bongkak, angkuh dan takabur atau
kibir mempunyai pengertian yang sama. Iaitu
salah satu daripada sifat-sifat mazmumah (sifat
tercela/terkeji). Sifat ini menjadi kebencian dan kemurkaan Allah kepada sesiapa yang memilikinya, walaupun hanya sedikit, dan menjadi penghalang daripada syurga. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat walau seberat zarah dari perasaan takabur atau sombong."

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hambaKu, mereka akan masuk Jahanam sebagai makhluk yang hina dina." (Almukmim:60)

Sifat sombong atau takabur ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu, takabur lahir dan takabur batin. Takabur lahir dapat dilihat melalui perbuatan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggapnya lebih rendah (pangkat, kealiman, darjat keturunan) daripadanya.

Ketakburan itu adakalanya dapat dilihat melalui perbicaraan, seperti tidak mahu mengalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak
mahu mendengar dan mengikut nasihat. Imam Al Ghazali berkata; "Orang yang takabur itu ialah orang yang apabila ditegur, ia marah dan benci, sedangkan kalau ia menegur orang lain ditegurnya dengan keras dan kasar."

Orang yang sombong atau takabur ini mudah menghina orang lain dan akan marah jika ada yang mengatasinya.; ia akan dengki apabila orang lain mendapat nikmat dan akan berdendam dengan orang yang menandingnya.

Takabur batin ialah membesarkan diri di dalam hati. Inilah maksiat di dalam hati yang dicela. Dengan adanya rasa angkuh di dalam hatilah lahirnya kata-kata membanggakan diri. Iblis menganggap dirinya lebih mulia dari Nabi Adam, katanya, "Aku lebih baik dan mulia dari dia (Adam), aku dijadikan dari api sedangkan dia dijadikan dari tanah," lalu dengan angkuhnya Iblis enggan tunduk kepada Nabi Adam, sehingga dengan itu menyebabkan Allah melaknat Iblis dan keturunannya.

Takabur boleh dibahagi kepada tiga: Takabur terhadap Tuhan, Takabur terhadap RasulNya dan takabur sesama manusia.

Takabur kepada Tuhan ialah tidak memperdulikan ancamanNya dan memandang remeh segala syariat dan peraturanNya. Takabur dengan Rasulullah ialah enggan mengikuti petunjuknya. Orang Quraisy zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda adalah anak yatim yang miskin. Orang Yahudi pula tidak mahu mengikut Nabi Muhammad kerana baginda bukan dari keturunan Bani Israel. Kebanyakan orang sekarang pula tidak mahu mengikut ajaran Rasulullah kerana menganggapnya kolot, orthodoks, ketinggalan zaman dan berbagai alasan lagi.

Merasa lebih tinggi dari orang lain adalah takabur sesama manusia. Orang berpangkat tinggi merasa patut dihormati, dimuliakan dan menganggap orang lain rendah. Apabila seorang isteri berpangkat tinggi dan ada nama, susah untuk taat dan memuliakan suaminya, sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat.

Seorang alim ulama' bersikap takabur apabila ia memandang remeh terhadap orang lain kerana menganggap dia sahaja yang benar, jika ditegur walaupun benar, teguran itu ditolaknya.

Takabur ialah penyakit hati yang merbahaya. Orang yang berpenyakit ini tidak boleh menjadi pendakwah. Ditakuti melalui tindak tanduknya akan menampakkan akhlak yang buruk. Kata-katanya pula akan menyakiti orang hingga menyebabkan mereka hilang kepercayaan. Lebih bahaya lagi jika ia mewakili jemaah atau parti, nama parti akan terlibat akibat sikap angkuhnya dan akhlaknya yang buruk.

Imam Al Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takabur atau sombong ini. Apabila kita berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia dari kita. Kerana kanak-kanak itu belum diberati dosa, sedangkan kita sudah berlarut-larut hampir setiap langkah berbuat dosa.

Apabila kita berhadapan dengan orang tua, anggaplah orang tua itu lebih mulia, kerana ia lebih lama beribadah daripada kita.

Ketika kita berjumpa dengan orang alim, anggaplah beliau lebih mulia dari kita kerana banyak ilmu-ilmu yang tidak kita ketahui tetapi beliau mengetahuinya.

Kalau kita melihat orang yang jahil, anggaplah dia lebih mulia dari kita , kerana dia berbuat sesuatu kesalahan atau dosa kerana kejahilannya sedang kita berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahuinya.

Kalau kita berjumpa dengan orang jahat, janganlah anggap kita mulia atau lebih baik daripadanya, tetapi katakanlah bahawa orang jahat itu mungkin di masa tuanya ia bertaubat, memohon ampun dari perbuatannya. Sedangkan kita sendiri belum tahu lagi bagaimana kita akhirnya.

Apabila berjumpa dengan orang kafir, katakanlah dalam hati, bahawa si kafir itu belum tentu kafir selamanya, mungkin di suatu hari datang keinsafan padanya, dia memeluk Islam dan semua dosanya di dalam kekafiran dulu diampuni Tuhan, sedangkan kita ini sejak lahir sudah Islam, tetapi dosa terus dikerjakan juga dan balasan pahala belum tentu lagi.

Lawan daripada sifat sombong ialah sifat tawadhuk atau rendah diri . Sekiranya seseorang telah berjaya mengikis sifat sombongnya akan datanglah sifat tawadhuk padanya, sifat terpuji yang disukai Allah dan makhluk seluruhnya.

Dari Ibnu Abbas, bersabda Rasulullah; "Tidak seorang pun kecuali di kepalanya terdapat dua rantai, satu rantai sampai ke langit ke tujuh dan satu rantai yang lain sampai ke bumi yang ketujuh. Apabila seseorang itu merendahkan diri, Allah mengangkatnya dengan rantai yang di langit ketujuh dan apabila ia sombong, Allah merendahkannya dengan rantai yang di bumi ke tujuh."

Urwah bin Azzubair berkata; "Tawadhuk ialah alat untuk mencapai kemuliaan. Lantaran itu Rasulullah, para Nabi, para sahabat , para aulia' dan orang-orang soleh suka merendahkan diri dan memiliki sifat tawadhuk. Rasulullah S.A.W. bersabda: "Aku diberi kunci kekayaan bumi, lalu disuruh pilih di antara menjadi hamba dan Nabi atau menjadi Nabi dan Raja, maka Jibril memberi isyarat kepadaku supaya bertawadhuk dan menjadi Nabi dan hamba, maka saya pilih Nabi
dan hamba, maka diberikan kepadaku itu dan aku pertama manusia yang keluar dari bumi kelak dan aku yang pertama memberi syafaat kelak."

Tegasnya untuk menghilangkan sifat sombong dan takabur perlulah bermujahadah bersungguh-sungguh. Buat sesuatu yang menyebabkan kita dipandang rendah. Datangkan rasa rendah diri dan berlaku tawadhuk. Sesungguhnya tidak hina orang yang merendah diri. Allah telah memuji hambaNya yang tawadhuk dan akan mengangkat darjat mereka.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...